08Disember2019

Agenda Daily

Apa Pemuda BN buat di pedalaman Sarawak...?

Selalu disebut sebagai 'budak bandar' dan golongan elitis, Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin menyahut cabaran dengan mengarahkan 'budak-budaknya' ke kawasan pedalaman.

Ketika umat Islam di Malaysia bercuti menyambut Hari Raya Aidiladha, Pemuda BN tanpa mengira agama dan bangsa 'berkorban' kesenangan untuk bersama-sama masyarakat di pedalaman Sarawak.

Program Pemuda BN bersama Komuniti yang diadakan pada 24 hingga 27 September kali ini menghimpunkan kira-kira 200 Pemuda BN untuk melaksanakan berbagai kerja khidmat masyarakat di tempat paling terpencil di Malaysia iaitu Long Busang, Belaga, Sarawak.

Menurut Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Liwan Lagang beliau mencabar Khairy untuk melihat penyokong-penyokong kuat BN di kawasan pedalaman.

Untuk sampai ke Long Busang memerlukan perjalanan menaiki kereta selama tiga jam ke Sungai Asap, sebelum menaiki bot selama 45 minit ke Bakun dan menaiki bot lain selama lapan jam dari ke Long Busang.

Long Busang merupakan kawasan penempatan berkelompok paling terpencil di Malaysia di dalam DUN Belaga.

"Saya puji YB Khairy yang berani menyahut cabaran #gorural ini....

"Bayangkan DUN Belaga seluas negeri Pahang, saya perlukan empat bulan untuk menjelajah seluruh kawasan ini," katanya yang merupakan wakil rakyat penggal kedua DUN Belaga.

Tujuan beliau mengajak Pemuda BN ke Long Busang adalah supaya pemimpin-pemimpin muda menghayati sendiri kehidupan di kawasan pedalaman.

"Penduduk pedalaman ini merupakan penyokong setia BN sejak merdeka tapi hayatilah kehidupan mereka, mereka ini sepatutnya mendapat pembelaan lebih daripada kita," katanya ketika ditemui selepas melepaskan konvoi program tersebut dari Medan Jaya Bintulu pada Khamis.

Mengikut jadual rombongan kira-kira 200 Pemuda BN itu akan singgah bermalam di Rumah Panjang Uma Belor Sungai Asap Belaga pada hari pertama.

"Berbagai program bersama masyarakat diatur di dua penempatan Rumah Panjang Balor dan Rumah Panjang Uma Belur untuk malam pertama program ini," kata Setiausaha Kerja Pemuda BN Zaidel Baharuddin.

"Semua Pemuda BN ini akan tidur di Rumah Panjang mengikut tradisi lama iaitu tetamu tidur beramai-ramai di ruai rumah,"katanya.

Semua program diatur dengan memastikan Pemuda BN bercampur dan bergaul dengan penduduk setempat.

Pada Jumaat rombongan tersebut akan bertolak ke Long Busang tetapi dalam perjalanan akan singgah bertemu masyarakat di Long San.

"Kita makan tengah hari di situ sebelum menyambut perjalanan ke Long Busang,"ujarnya.

Antara acara utama di Long Busang adalah gotong royong membina klinik bagi kegunaan penduduk setempat.

Selain acara pertandingan bolasepak antara rombongan dengan anak muda tempatan.

"Dialog dengan pemimpin juga akan diadakan supaya YB Khairy dan rombongannya mendengar sendiri hasrat anak-anak muda kami" kata Liwan.-24/9/2015- OLEH HELME HANAFI

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 357  tetamu dalam talian