21November2019

Agenda Daily

Amaran PM... orang Melayu ada perasaan... orang Melayu juga ada hadnya

Dua hari selepas Himpunan Rakyat Bersatu yang menyaksikan ribuan orang Melayu berhimpun di Padang Merbok...Jumaat malam, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka mengiktiraf dan mengucapkan tahniah pada 'kebangkitan' orang Melayu itu.

Tanpa berselindung dalam ucapan yang bernada tegas dan garang di himpunan 15,000 pesilat di Dataran Merdeka beliau mengingatkan himpunan itu adalah mesej bahawa orang Melayu juga boleh bangun jika maruah tercabar.

"Jangan lupa orang Melayu juga ada perasaan... orang Melayu juga ada hadnya," tegas beliau disambut oleh sorakan peserta himpunan Silat Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Ini adalah himpunan raksaksa pesilat yang kedua diadakan tahun ini selepas himpunan 12 ribu pesilat Cekak Hanafi di Stadium Merdeka 30 Ogos lalu.

Dalam ucapannya, Najib menyifatkan penganjuran himpunan Bersih 1,2,dan 3 ' tampar kita' manakala Bersih 4 sudah melampaui batas.

"Sekali tampar, kita tak buat apa. Dua kali tampar...tak buat apa..tiga kali tampar..tak buat apa..tapi empat kali tampar sudah melampaui batas memijak gambar dan menghina kepimpinan negara.

"Orang Melayu juga ada hak...orang Melayu juga tunjukkan bahawa kita boleh bangun bila maruah kita tercalar, bangun apabila pimpinan kita dihina dan dimalukan. Cukuplah... jangan sesiapa ulang perbuatan durjana seperti ini," katanya.

LEBIH 20 KEPING GAMBAR ACARA INI TERDAPAT DI FACEBOOK AGENDADAILY

Perdana Menteri berkata kalau orang lain hormat pada orang Melayu maka orang Melayu juga hormat pada orang lain.

"Orang Melayu sentiasa bertimbang rasa, bersikap adil dari dulu sampai sekarang... tapi jangan carik-carik orang Melayu,"ucapnya.

Beliau memuji Himpunan Rakyat Bersatu kerana secara keseluruhan telah berlangung dengan aman.

"Walaupun, sebelumnya dimomokkan kalau orang Melayu berhimpun pasti ada kekecohanan tetapi jelas perhimpunan itu berlangsung aman," katanya.

"Tak ada sepanduk yang menghasut atau perkauman, tak ada pihak pijak gambar... jadi orang lain tidak harus khuatir, kita bukan orang yang buat himpunan atau demonstrasi jalanan untuk menukar kerajaan," katanya.

Najib dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa kerajaan tidak akan boleh ditukar melalui demonstrasi jalanan.

"Jangan fikir kerajaan hari ini tidak ada sokongan...15,000 yang berhimpun malam ini adalah penyokong kita," katanya disambut lagi dengan tepukan gemuruh para hadirin.

Menurut Najib, kerajaan mempunyai tiga kategori penyokong, pertama penyokong lemah, kedua penyokong tegar, yang ketiga kita ada penyokong yang berani mati.

Beliau kemudiannya bertanya "tuan-tuan penyokong yang mana...?" sambil dijawab serentak "berani mati" oleh pesilat-pesilat yang memenuhi Dataran Merdeka.

Najib meneruskan ucapannya dengan berkata, "Kita berani mati bukan sebagai pengebom berani mati... tapi berani mati kerana inilah kerajaan yang berhak mendokong negara kita. Kita yakin dengan kerajaan ini," ujarnya.

Najib turut menyeru seluruh masyarakat untuk tidak termakan 'racun' yang ditaburkan dari dalam dan luar, mahupun di alam maya yang mahu mengoncang kerajaan.

Sebelum Najib berucap, satu ikrar sumpah setia dibacakan semua hadirin yang diketuai Presiden Pesaka Tan Sri Ali Rustam dihadapan Presiden UMNO itu.

Sebagai menghargai peranan pesilat sebagai bentang ketiga pertahanan negara, di akhir ucapannya Najib mengumumkan silat diiktiraf secara rasmi sebagai seni bela diri negara dan akan terus dikembangkan dalam setiap sudut.

"Masuklah dalam pejabat kerajaan pejabat, syarikat  GLC, universiti, di semua tempat, kita bukan nak saja tubuh badan yang kuat dan tegap, tapi  kita nak juga roh perjuangkan...

"Kita belum sampai garis penamat, maruah orang Melayu masih terus kita perkasakan berdasarkan hubungan baik antara kaum. Sumpah setia yang dilafazkan tadi. Ada di tangan saya.... akan saya simpan baik-baik," katanya.

Turut hadir Pengerusi Pesaka, Tan Sri Ali Rustam, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan.- OLEH HELME HANAFI…GAMBAR OLEH MOHAMED HIEKAL

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 244  tetamu dalam talian