05Disember2019

Agenda Daily

Akta Pencegahan Jenayah: Pembangkang riuh kosong...

pca-parlimen513Pagi Isnin berhampiran Tasik Perdana Kuala Lumpur, sekumpulan lebih kurang 20 individu 'melalak' kononnya mahu menjadi jaguh hak asasi manusia di negara ini. Wajah-wajah yang sama, yang selalu rakyat Malaysia tengok dalam siri demonstrasi anti kerajaan.

Mereka berarak dari situ ke bangunan Parlimen dan kemudian masuk ke dalam duduk di lobi hendak tunggu menteri, kononnya bagi desak kerajaan tarik balik pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang telah dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama pada 25 September lalu.

Kaki demo ini orangnya sama, cuma isunya berubah-ubah, kadang-kadang pilihanraya bersih, soal LGBT, isu kalimah Allah, hari ini isu Akta Pencegahan Jenayah pulak, tapi wajah itu-itu juga.

Antaranya Datuk S Ambiga, bos Bersih dan semua yang berkaitan dengan lawan kerajaan. Apa saja janji 'balun' kerajaan ada muka dia yang bergerak atas nama NGO.

pca-demo-lead513

Antara isu penting di Parlimen minggu ini adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan membacakan kali kedua Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 pada Selasa.

Ia akan membabitkan pindaan 13 seksyen dalam Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan akan menjadi sandaran utama pihak berkuasa mencegah jenayah berkumpulan dan terancang di negara ini.

Pindaan ini dibuat berikutan kenaikan mendadak kadar jenayah terancang dan berkumpulan di negara ini terutamanya selepas kerajaan menghapuskan undang-undang pencegahan sebelum ini seperti ISA dan EO.

pca-demo-ambiga

Jika selama ini pembangkang menjerit mengenai indeks jenayah yang tinggi, jangan percaya ianya kerana memperjuangkan isu rakyat, tetapi jeritan mereka hanyalah untuk mempolitikkan isu tersebut.

Merendahkan peranan polis dan menjejaskan kredibiliti kerajaan selain menampakkan diri mereka jaguh dalam soal tersebut.

Kisah ragut, rombak, tembak sana-sini memang merisaukan sesiapa saja. Persoalannya bagaimana mahu mengekang perkara tersebut.

Persoalan inilah yang tidak dijawab oleh pembangkang yang hanya melalak kosong saja. Salahkan polis, kerajaan, tapi dalam masa yang sama tidak menawarkan kaedah penyelesaian kepada isu yang membelenggu orang ramai ini.

Mari kita lihat bagaimana cara mereka menentang pindaan 13 seksyen dalam Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Belum apa-apa lagi, NGO-NGO pro pembangkang sudah buat bising kononnya pindaan yang memberikan 'kuku' kepada polis ini akan menyebabkan hak asasi rakyat (atau sebenarnya penjenayah) terjejas.

Sedangkan PCA ini jelas mensasarkan kepada penjenayah semata-mata.

pca-demo2

PCA terbahagi kepada lima kategori iaitu ahli kumpulan haram atau kongsi gelap, seseorang menyertai kumpulan terbabit dalam aktiviti jenayah, penyeludupan dadah, penyeludupan manusia dan perjudian atau mesin judi haram yang menyalahi undang-undang.

Pindaan 13 seksyen dalam Akta Pencegahan Jenayah 1959 yang akan dibahaskan di Parlimen minggu ini adalah penting sebagai satu dari kaedah 'pencegahan' kepada penjenayah yang dikategorikan bawah PCA..

Pepatah Melayu sebut 'cegah lebih baik dari mengubati'.

Antara yang penting dalam Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 adalah kuasa untuk membenarkan penahanan tanpa perbicaraan bagi tujuan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah.

Ia akan mengembalikan ‘sengatan’ kepada polis untuk menguatkuasakan undang-undang pencegahan yang sebelum ini dihapuskan seperti ISA dan EO berikutan dasar tranformasi politik Datuk Seri Najib Razak.

Namun apa yang jelas berbeza dengan ISA dan EO yang memberikan kuasa penahanan kepada Menteri Dalam Negeri, dalam undang-undang pindaan ini, kuasa perintah tahanan itu diberikan kepada Lembaga Pencegahan Jenayah yang dipengerusikan sama ada oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan atau Hakim Mahkamah Tinggi bersama dua anggota.

Lembaga tersebut akan ditubuhkan di bawah rang undang-undang tersebut boleh mengeluarkan arahan penahanan seseorang penjenayah, tidak melebihi dua tahun tanpa bicara.

pca-parlimen1

Selain mempunyai kuasa melanjutkan tempoh tahanan kepada dua tahun lagi sekiranya didapati perlu demi kepentingan ketenteraman awam, keselamatan awam atau pencegahan jenayah.

Bagaimanapun arahan tahanan oleh pihak lembaga terbabit boleh disemak semula di Mahkamah Tinggi.

Peruntukan bagi penubuhan lembaga itu serta tanggungjawabnya merupakan bahagian baharu iaitu bahagian IVA di bawah seksyen 19A berhubung Perintah Tahanan.

Rang undang-undang itu juga membenarkan polis menggunakan peranti pengawasan elektronik terhadap orang yang direman dan dibenarkan dilepaskan sementara menunggu inkuiri.

Selain itu, rang undang-undang ini juga memasukkan satu seksyen baharu iaitu 7B dan 7C untuk menubuhkan Lembaga Pencegahan Jenayah bagi menggantikan menteri, dan anggota lembaga itu dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Juga seseorang yang ditahan dibawah PCA dengan alasan munasabah akan diberikan tempoh reman selama 28 hari, sekiranya gagal membuat pendakwaan dalam tempoh itu tertuduh akan dilepaskan oleh majistret.

Ini berbeza dari EO yang membenarkan penahanan 60 hari tanpa arahan mahkamah.

Selain itu, penjenayah yang didapati bersalah atas pelbagai kesalahan kini akan menjalani hukuman mengikut tempoh bagi setiap jenayah yang dilakukan dengan hukuman serentak tidak dibenarkan di bawah pindaan Kanun Prosedur Jenayah.

Sebagai contoh, individu yang disabitkan atas kesalahan pecah rumah dan curi perlu menjalani hukuman untuk setiap kesalahan secara berasingan.

Dan memandangkan kesalahan pecah rumah dan curi masing-masing memperuntukkan penjara maksimum dua dan tujuh tahun, pesalah boleh dipenjarakan selama sembilan tahun.

Perenggan baru (e) Seksyen 282 Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2013 menyatakan:"Apabila seseorang didapati bersalah dalam satu perbicaraan melibatkan dua atau lebih kesalahan, mahkamah tidak boleh memerintahkan hukuman berjalan serentak.

Pindaan 13 seksyen ini sudah tentulah akan memberi impak kepada pencegahan jenayah di Malaysia.

Pembangkang tahu mereka tidak boleh lagi menakut-nakutkan rakyat dengan cerita indeks jenayah tinggi, kini sedaya upaya hendak menimpulkan keraguan rakyat terhadap undang-undang tersebut.

Orang-orangnya masih sama, wajah serupa pada latar berbeza.-30/9/2013 OLEH HELME HANAFI

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 288  tetamu dalam talian