12November2019

Agenda Daily

SPR bersiap sedia pastikan PRK Pengkalan Kubor berjalan lancar

Keputusan Pilihanraya kecil DUN  Pengkalan Kubor pada 25 Sept ini dijangka diumumkan pukul 10 malam, hari berkenaan.

Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN itu, Mohd Sobri Ramli berkata pihaknya yakin proses pengiraan undi akan berjalan lancar memandangkan lokasi pusat pengundian itu berdekatan dengan pusat penjumlahan undi.

"Di DUN ini tidak ada pulau-pulau yang memerlukan helikopter malah kawasan ini adalah kecil dan dekat. Kita jangkakan semuanya berjalan lancar dan pengumuman dapat dilakukan pada masa itu," katanya kepada pemberita di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, pada Khamis.

Sementara itu, menurut Pengarah SPR Kelantan Mohamad Mahmud, pihaknya akan menubuhkan tiga pasukan penguat kuasa pemantau kempen bagi memastikan proses pilihanraya berjalan lancar.

Mohamad berkata, pasukan yang ditubuhkan itu akan dianggotai penjawat awam.

"Setiap pasukan yang mempunyai tiga anggota itu akan bertanggungjawab memastikan kelancaran proses berkempen sehingga hari pengundian.

"Mereka akan memantau segala aktiviti kempen termasuk ceramah yang diadakan dan poster yang ditampal mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.

Menurut Mohamad, pasukan itu akan melakukan rondaan di setiap mukim di DUN Pengkalan Kubor sepanjang tempoh berkempen yang bermula pada hari penamaan calon, 13 September ini.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi pemerhati tempatan.

"Bagaimanapun, kita menjangkakan akan menerima beberapa permohonan tidak lama lagi daripada NGO seperti Majlis Belia Malaysia bagi mendapatkan kebenaran melihat proses penamaan calon, pengundian serta pengiraan undi," ujar Mohamad.

Sebanyak 11 pusat mengundi melibatkan 12 daerah mengundi di DUN itu manakala pusat penjumlahan undi akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Biji Wangsa di sini.

Pusat penamaan calon pada 13 Sept ini akan diadakan di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari Barisan Nasional (BN), akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.-5/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 254  tetamu dalam talian