14Ogos2020

Agenda Daily

SAH...PKR lepas pada PAS berentap dengan BN di pilihanraya kecil Pengkalan Kubor

Tak ada teka teki dan spekulasi lagi.Sudah sah PKR undur diri dan beri laluan kepada PAS untuk berentap dengan BN di pilihanraya kecil Pengkalan Kubor pada 25 September ini.

Keputusan itu diumum oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail menerusi satu kenyataan media awal petang Selasa.

Kenyataan itu cuba mengambarkan macam ia satu diplomasi berbaik-baik dan demi kesepakatan dalam Pakatan Rakyat.

PKR sebelum ini dua kali tewas pada BN di kerusi DUN itu pada pilihanraya umum 2008 dan 2013.

Ia merupakan satu-satunya kerusi DUN BN menang di dalam kawasan Parlimen Tumpat yang ada empat kerusi DUN.

Tiga lagi DUN dimenangi PAS yakni Pasir Pekan diwakili Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Wakaf Baharu dan Kelaboran.

Parlimen Tumpat juga diwakili PAS.

Sekalipun PAS memang menuntut balik kerusi itu namun ia dikatakan bukan satu keputusan yang mengejutkan.

Ini dilihat dalam kontek ketegangan antara PAS dan PKR dalam isu Menteri Besar Selangor kebalakangan ini.

Bukan menjadi rahsia kebelakangan ini jentera PAS yang banyak membantu PKR yang kurang kekuatan dari segi itu.

"Ini macam melepas beban kepada PAS pada kebetulan waktu yang tengah sesak nafas ,"kata seorang pemerhati.

Apapun berdasarkan perkembangan ini BN dijangka akan menghadapi saingan lebih sengit di kawasan DUN yang dikepung oleh kubu PAS di Tumpat itu.

Penamaan calon pilihanraya kecil Pengkalan Kubor akan berlangsung pada 13 September.

Ia terpaksa diadakan berikutan kematian ADUN BN Datuk Noor Zahidi Omar di Guangzhou,China pada pagi 20 Ogos semasa menjalani rawatan sakit kanser di sana.

Allahyarham yang juga Ketua Umno Bahagian tumpat mempertahankan kerusi DUN Pangkalan Kubor pada PRU13 dengan majoriti 1,736 undi.

Beliau yang memperoleh 10,174 undi menewaskan dua lagi lawannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saharun Ibrahim yang mendapat 8,438 undi serta seorang calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 65 undi.

BERIKUT IALAH KENYATAAN MEDIA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,Presiden KEADILAN

KEADILAN MEMBERI LALUAN KEPADA PAS DEMI KESEPAKATAN MENENTANG UMNO DI PRK PENGKALAN KUBUR

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam reformasi

Saya ingin menyusul kenyataan saya semalam yang merujuk kepada pendapat Dato’ Seri Abdul Hadi Awang di mana saya telah menekankan kepentingan kerjasama dan muafakat berterusan Pakatan Rakyat. Saya percaya kita perlu kembali kepada hasrat rakyat agar Pakatan Rakyat terus menumpukan usaha menggembleng semula tenaga rakyat berhadapan Umno/Barisan Nasional.

Rakyat kini berhadapan dengan kenaikan harga minyak yang saya jangka akan diumumkan sebelum Belanjawan 2015, pengenalan GST menjelang April 2015, tangkapan dan pelbagai tindakan undang-undang khususnya di bawah Akta Hasutan selain dari adu domba perkauman dan keagamaan yang berterusan.

Untuk berhadapan dengan Umno/Barisan Nasional secara berkesan, keutuhan dan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat perlu dipertahankan agar kita bersatu menentang Umno/Barisan Nasional. Saya percaya ini hanya dapat dicapai melalui tolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar.

Oleh yang demikian, KEADILAN telah memutuskan untuk memberi laluan kepada calon PAS bertanding di Pilihanraya Kecil Pengkalan Kubur mengambil kira perlunya sesama kita ini bertolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar.

Saya doakan Allah SWT memberi kemenangan kepada calon Pakatan Rakyat kelak.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Presiden KEADILAN

9 September 2014








PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 338  tetamu dalam talian