20November2019

Agenda Daily

Polis siasat dua kes kempen melampau bawah Akta Hasutan

Gara-gara ghairah berkempen ada yang sedang berdepan siasatan polis di bawah Akta Hasutan.

Ini berikutan polis Kelantan mengesahkan membuka dua kertas siasatan di bawah Akta Hasutan sepanjang kempen di PRK Pengkalan Kubor sejak 13 September lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, siasatan dilakukan terhadap dua laporan polis terhadap dua ceramah parti PAS baru- baru ini.

Katanya, siasatan terperinci sedang dilakukan mengikut peruntukkan Seksyen 4(1)(b) dan (c) Akta Hasutan 1948.

"Kita sudah panggil mereka yang terbabit untuk beri keterangan dan akan melengkapkan siasatan dalam masa terdekat ini.

"Tindakan segera akan diambil selepas siasatan selesai," katanya selepas melawat Pusat Pengundian Awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat Ahad.

Sebelum ini beberapa laporan polis dibuat terhadap Exco Kerajaan PAS Nasaruddin Daud yang mengeluarkan kenyataan berbau hasutan di dalam ceramahnya.

Sementara itu, seramai 105 dari 109 pengundi awal menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi selepas Pusat Pengundian Awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat selepas ia ditutup jam 3 petang tadi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tiga anggota tidak hadir kerana bertugas di luar kawasan manakala seorang sedang bercuti sakit.

Katanya, pengundi terakhir tiba jam 2.20 petang.

"Pusat pengundian ditutup tepat jam 3 petang tadi dan keseluruhan 105 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.


"Secara keseluruhan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang masalah," katanya.-21/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 203  tetamu dalam talian