20November2019

Agenda Daily

Pengkalan Kubor: UMNO Tumpat tak bincang siapa ‘winnable candidate’

Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Bahagian Tumpat yang bermesyuarat selama dua jam malam Selasa tidak membincangkan langsung soal senarai calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N01 Pengkalan Kubor.

Mereka membuat keputusan tidak mencari ‘winnable candidate’ kerana menaruh keyakinan pada pucuk pimpinan pusat menentukan tetapi berusaha untuk mewujudkan ‘winnable area’.

“Tumpuan kita untuk mewujudkan satu ‘winnable area’ iaitu mewujudkan satu kawasan yang mempunyai kekuatan kepada UMNO, maka sesiapa sahaja calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan kita akan terima dan akan pastikan calon itu mencapai kemenangan, faktor utama adalah kekuatan Barisan Nasional (BN) di DUN itu sendiri dan kekuatan calon bukan faktor utama,” kata Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Rosdi Aziz (gambar bersongkok) yang ditemui Agendadaily selepas mesyuarat itu.

“Kita mahu rakyat merasai BN boleh memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan pembangunan hidup mereka manakala calon atau wakil rakyat itu adalah sebagai perantara bagi mencurahkan idea untuk dilaksanakan berdasarkan kekuatan BN di situ,” tambah beliau.

Ditanya mengapa UMNO Tumpat tidak menonjolkan calon, Rosdi memberitahu terdapat calon-calon yang berkeupayaan dan berkebolehan tetapi keputusan dibbuat untuk tidak mahu menonjolkan individu tertentu kerana pucuk pimpinan akan membuat pemilihan yang terbaik dan tepat.

Soal kelaziman setiap UMNO Bahagian akan mencadangkan nama-nama calon, Rosdi berkata, “kita di sini mempunyai semangat kekitaan, kerjasama yang tinggi dan kekuatan pasukan, kalau saya andaikan pasukan bola, kita adalah pasukan German yang mempunyai kekuatan secara menyeluruh dalam pasukan pengurusan UMNO Bahagian Tumpat.”

Mengenai dakwan kononnya UMNO Bahagian Tumpat ketandusan calon, Rosdi tidak mahu menyalahkan mereka yang berkata demikian kerana pihak tersebut tidak mendampingi UMNO dan berada di ‘luar’ keluarga UMNO.

Beliau seterusnya menafikan UMNO Bahagian itu ketandusan calon sambil merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung UMNO Malaysia Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini bahawa sudah terdapat enam nama di senarai pendek untuk dipilih sebagai calon PRK tersebut.

Rosdi juga menaruh keyakinan bakal calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan adalah seorang yang boleh diterima rakyat kawasan tersebut malah jentera utama DUN Pengkalan Kubor dan jentera utama UMNO Bahagian Tumpat sudah bersedia untuk menerima keputusan dari pucuk pimpinan parti.

Menurut Rosdi, UMNO Tumpat juga tidak membuat apa-apa garis panduan kepada pihak pimpinan dalam menentukan calon yang sesuai bagi kerusi DUN itu kerana yakin pihak tertinggi parti telah mendapat berbagai serta cukup punca maklumat untuk membuat penilaian dan keputusan terbaik.

Mengenai usaha untuk menonjolkan calon muda, Rosdi menegaskan UMNO Tumpat tiada masalah untuk menerima calon muda, calon pertengahan atau calon veteran namun beliau yakin pucuk pimpinan akan membuat pemilihan berdasarkan kesesuaian dengan kehendak pengundi setempat.

Rosdi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tumpat melahirkan rasa puashati dengan perjalanan mesyuarat pertama jawatankuasa UMNO Bahagian dengan kehadiran penuh yang diadakan buat kali pertamanya selepas ketiadaan bekas Ketua UMNO Bahagian itu Datuk Noor Zahidi Omar yang meninggal dunia lebih seminggu lalu.

Kata Rosdi, semangat kerjasama dan komitmen kepada UMNO Bahagian Tumpat begitu sempurna serta ikhlas kerana kesemua ahli jawatankuasa telah mengambil bahagian dalam menyuarakan pandangan dan pendapat.

Beliau memberitahu semua program telah disusun rapi serta memberi tanggungjawab khusus untuk setiap ahli jawatankuasa untuk berperanan disetiap PDM pada PRK Pengkalan Kubor.

“Saya yakin dengan kesungguhan dan komitmen ini, Insha Allah PRK Pengkalan Kubor akan mencapai kejayaan sebagaimana yang kita harapkan,” tambah beliau.

Ketika diminta mengulas persediaan UMNO Tumpat untuk menerima kehadiran jentera dari Kelantan, Rosdi berkata, “kita telah membuat penyusunan di PDM-PDM mana mereka akan bertugas dan pembahagian PDM kepada negeri-negeri serta Bahagian angkat berdasarkan kesesuaian setempat budaya negeri tersebut.

Selain itu, katanya, “terdapat banyak faktor, kita telah beri taklimat tentang budaya, situasi setempat, sikap dan suasana masyarakat setempat supaya hadir dengan memahami asas-asas kehidupan dan kebudayaan di PDM berkenaan.”

“PDM-PDM ada berbagai status atau tahap kehidupan, berbagai bangsa seperti Melayu, Cina dan Siam. Apa yang penting adalah mereka hadir serta boleh memberi sumbangan kepada pertambahan undi dan kita tidak galak langsung apa yang diistilahkan sebagai ‘pelancong pilihan raya’, kata Rosdi.

“Kita harap semua yang hadir bertindak sebagai jentera pilihan raya yang akan buat sentuhan peribadi dengan setiap pengundi seberapa ramai yang mungkin dan tidak juga hadir dalam program berbentuk ‘ceremony’ tetapi betul-betul menghayati kehadiran untuk menambah satu undi pada setiap orang yang hadir,” ujar beliau.

PRK ini terpaksa diadakan berikutan kematian ADUN BN Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos baru ini.

Allahyarham yang menjadi ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor merupakan satu-satunya kawasan DUN dimenangi BN dalam kawasan Parlimen Tumpat.Dua lagi kawasan DUN dimenangi PAS.

PRK bagi DUN tersebut  merupakan PRK ketujuh selepas PRU 13 pada Mei tahun lepas.

PAS pada PRU 2008 menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor kepada PKR tetapi parti itu gagal merampasnya daripada BN.-2/9/2014 OLEH LUKMAN ABDULLAH

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 228  tetamu dalam talian