11November2019

Agenda Daily

Pengkalan Kubor: Najib pilih... Muhyiddin umum nama calon 10 Sept

Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan calon BN bagi kerusi DUN Pengkalan Kubor pada 10 September ini, di Tumpat, Kelantan.

Timbalan perdana menteri yang juga pengarah PRK DUN itu, berkata Badan Perhubungan UMNO Kelantan sedang memperhalusi beberapa nama yang difikirkan sesuai terutama daripada barisan kepimpinan yang ada di negeri itu, khususnya di Tumpat.

"Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri akan memberitahu pada saya dalam sehari dua ini dan dibawa kepada Pengerusi BN (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk diputuskan nanti. Saya akan umumkan pada 10 Sept di Tumpat," katanya.

Muhyiddin berkata parti akan mengambil kira pandangan pengundi di situ bagi memastikan calon yang dipilih adalah yang paling sesuai dan layak.

Mengulas keyakinan PKR yang krisis politik di Selangor tidak akan mengugat peluang mereka untuk bertanding bagi kerusi DUN itu, beliau berkata itu hanyalah pandangan mereka (PKR) semata-mata.

Timbalan perdana menteri berkata kemelut politik yang berlaku di Selangor sudah berlarutan lama dan pastinya rakyat boleh memahami, membuat penilaian dan mengambil iktibar termasuk pengundi-pengundi di Pengkalan Kubor.

"Pengundi-pengundi yang ada di Pengkalan Kubor mungkin juga akan ambil kira apa yang berlaku di sana (Selangor) tentang kewibawaan Pakatan Rakyat tentang krisis yang sedang berlaku di situ.

"Kita tidak mahu orang kata seperti menangguk di air yang keruh tentang apa yang berlaku di Selangor tapi apa-apa peristiwa politik yang berlaku di mana-mana pun akan bawa kesan atau implikasi dalam mana-mana keadaan seperti PRK dan sebagainya.

Itu kita serah kepada kebijaksanaan pengundi untuk menilai," kata Muhyiddin.

Beliau berkata BN akan mengatur strategi yang paling sesuai dengan mengambil kira aspirasi dan kehendak pengundi terutama mengenai pemimpin yang pengundi rasakan sesuai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh, di Kompleks Sukan Pagoh, pagi Jumaat.

PRK ini terpaksa diadakan berikutan kematian ADUN BN Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos baru ini.

Allahyarham yang menjadi ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor merupakan satu-satunya kawasan DUN dimenangi BN dalam kawasan Parlimen Tumpat.Dua lagi kawasan DUN dimenangi PAS.

PRK bagi DUN tersebut  merupakan PRK ketujuh selepas PRU 13 pada Mei tahun lepas.

PAS pada PRU 2008 menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor kepada PKR tetapi parti itu gagal merampasnya daripada BN.-5/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 199  tetamu dalam talian