22September2019

Pengkalan Kubor: Masyarakat Siam tunjuk sokongan padu pada BN

Ini bukan tulisan 'penyedap hati'... tapi realiti bagi wartawan yang sudah lapan hari berkampung di Pengkalan Kubor, membaca lapangan dan menyaksikan setara mana 'percaturan politik' dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Kubor ini berlangsung.

Ada lima perkampungan Siam di Pengkalan Kubor dan yang terbesar adalah kampung Jubakar Darat, yang mana mewakili lebih separuh pengundi Siam di kawasan ini.

Di Kampaung Jubakar Darat saja ada 960 pengundi, Kampung Mentua 250, Kampung Kubang Bemban 278, Kampung Kubang Panjang 160 dan selebihnya Kampung Chederong.

Jumlah keseluruhannya 1638 pengundi dari lebih 5000 masyarakat Siam Pengkalan Kubor yang terletak betul-betul di sempadan Malaysia - Thailand.

Sebab itu ada yang kata, kunci BN untuk tambah majoriti adalah dengan memastikan masyarakat Siam 'full force' sokong Haji Mat Razi.

Haji Mat razi sendiri bukan orang yang asing pada masyarakat Siam tempatan, ini kerana beliau tinggal di Kampung Simpangan yang dari segi geografinya hampir dengan perkampungan masyarakat Siam di Pengkalan kubor.

"Saya mengajar ramai anak masyarakat Siam di sini, selain rata-rata orang tua komuniti itu kenal ayah saya, mereka panggil 'Mat Ail toke aye', (Mat Ail Tauke Ayam)" katanya Haji Mat Razi.

PAS menyedari kelebihan kepada BN ini, kerana itu tidak menghairankan apabila bekas Menteri besar Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dbersama penggantinya Datuk Wan Ahmad Yaakob 'melawat'  Wat Machimmaram yang merupakan Wat Siam terbesar di Pengkalan Kubor.

Bagi 'membalas' kunjungan Nik Aziz,  Timbalan Perdana  Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pemimpin BN lain turut 'bertemu mata' dengan masyarakat Siam di Wat Machimmaram pada Selasa.

Menurut Muhyiddin, kerajaan BN mahu masyarakat Siam di negara ini menjadi sebahagian masyarakat yang penting dalam Malaysia.

Beliau berkata soal pelajaran anak-anak perlu diberi penekanan agar maju dalam kehidupan seterusnya dapat memberi sumbangan kepada pembinaan negara.

``Sebenarnya jika sesebuah sekolah (kebangsaan) mahukan bantuan seperti guru bahasa Siam, kita boleh sediakan supaya mereka boleh belajar. Tak jadi masalah untuk kita bantu kerana itu tanggungjawab saya,'' katanya.

Pada sebelah malam selepas program Muhyiddin bersama masyarakat Siam Selasa lalu, Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad 'uji lapangan' dengan berceramah di Kampung Jubakar Darat.

Kehadirannya luar biasa untuk ceramah malam masa kempen pilihanraya, lebih seribu hadirin yang datang.

Tok Pa sendiri berceramah lebih panjang dari biasa.

Katanya, sokongan padu yang diberi oleh masyarakat Siam sebagai pengundi sewajarnya menjadi contoh kepada kaum lain negara ini.

"Saya memang ikhlas memuji masyarakat Siam di Kelantan sebab mereka memang cukup taat dan setia kepada BN sejak dulu lagi.

"Mereka nampak apa yang kerajaan BN telah beri malah hargai keselesaan hidup yang mereka nikmati di negara kita yang diterjemahahkan melalui kertas undi," ujarnya.

Kerana itu, Tok Pa yakin undi daripada masyarakat Siam banyak membantu memenangkan calon BN.

"Saya tahu hati budi masyarakat Siam di sini. Tak payahlah saya merayu undi berlebih-lebih kerana saya yakin orang di sini akan mengundi calon BN, Mat Razi Mat Ail,” katanya mendapat tepukan gemuruh dari hadirin.

Menurut ketua Siam Kampung Jubakar Darat Phon En Ghee, undi masyarakat Siam untuk BN meningkat sejak PRU 2004.

“Semasa PRU ke-11, seramai 606 orang mengundi BN manakala 612 undi ketika PRU ke-12. Malah jumlah itu menunjukkan peningkatan 782 undi,” katanya.

Ketika PRU ke-13, sebanyak 1,012 undi masyarakat Siam diperolehi oleh BN manakala 83 untuk PKR selebihnya sebanyak 3 undi bagi calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Sebab itu ramai yang kata, kunci BN untuk sampai sasaran tingkatkan majoriti adalah dengan memastikan sokongan padu komuniti tersebut berterusan dan dipertingkatkan.

Selain itu, mempertahankan undi di kawasan Melayu, yang pasti akan 'diserang' habis-habisan oleh PAS selepas mereka bermuktamar Ahad ini.

Masih ada masa untuk BN memantapkan jentera dan merayu pengundi... terutamanya membawa pulang pengundi luar dan memastikan mereka menyokong BN pada hari pengundian 25 september ini.-18/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 653  tetamu dalam talian