11November2019

Agenda Daily

Pengkalan Kubor: BN tewas di lima dari 12 PDM PRU13

Barisan Nasional (BN) memberi perhatian sewajarnya kepada lima daripada 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Pengkalan Kubor yang tidak memihak kepada parti itu ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata, walaupun DUN itu didominasi BN sejak tiga penggal lalu menerusi penyandang, arwah Datuk Noor Zahidi Omar, namun parti itu tetap perlu mengenal pasti kekurangan yang menyebabkan lima PDM terbabit beralih kepada pembangkang.

Katanya, beliau percaya cara itu akan dapat melicinkan lagi kerja jentera yang turun padang bertemu rakyat menjelang tempoh berkempen mulai 13 September hingga hari mengundi pada 25 September ini.

“Kita akan mengambil pendekatan memujuk serta memahamkan pengundi di kawasan PDM ini mengenai kewajipan mereka mengundi secara rasional dan bukannya mengikut emosi.

“Saya faham kebanyakan penduduk di sini bekerja di luar Kelantan, ada yang bekerja di Kuala Lumpur, Lembah Klang dan tempat lain.

“Atas faktor itu, mereka perlu didekati dan diberi penjelasan mengenai tugas dan tanggungjawab kerajaan BN untuk kemajuan negara,” katanya pada sidang media di Pengkalan Kubor Khamis.

Beliau terdahulu mengadakan kunjungan dan beramah mesra dengan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjalankan perniagaan ikan kering di Pantai Geting, Tumpat..

Pada PRU-13, lima PDM yang mencatatkan undi rendah buat calon BN adalah Geting, Ketil, Telaga Bata, Tebing dan Kedai Geting dengan perbezaan undi antara 200 hingga 500 undi berbanding tujuh PDM lain iaitu Pengkalan Kubor, Simpangan, Tujuh, Bunohan, Jubakar Darat, Bendang Pak Yong dan Teluk Jering.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, kerajaan BN akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan setempat dalam usaha memastikan rakyat pelbagai golongan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Dengan pelbagai bantuan dan kemudahan yang disediakan kerajaan, diharap rakyat mendapat manfaat termasuk mereka yang terbabit dalam pelbagai bidang perniagaan antaranya pengusaha IKS dan peruncitan.

“Kita mempunyai macam-macam agensi yang boleh membantu peniaga bagi merancakkan pembangunan ekonomi di DUN Pengkalan Kubor,” katanya.-5/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 239  tetamu dalam talian