11November2019

Agenda Daily

Pengkalan Kubor: BN sedia hadapi PKR atau PAS

BN sudah bersiap sedia untuk menghadapi sesiapa sahaja yang diketengahkan sebagai calon oleh pakatan pembangkang pada pilihanraya kecil DUN Pengkalan Kubor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, BN telah melakukan persiapan dan menyusun gerak kerja dalam usaha mempertahankan kerusi berkenaan.

"Kita (BN) akan mengetengahkan calon terbaik bagi menghadapi sesiapa sahaja yang diketengahkan oleh pakatan pembangkang sama ada PAS atau PKR.

"Terpulang kepada mereka hendak letak siapa sebagai calon, kita sedia menentang," katanya.

Beliau mengadakan sidang media di Pusat Khidmat ADUN Pengkalan Kubur yang turut dihadiri Naib Ketua UMNO Bahagian Tumpat Wan Hanafi Wan Yaakob.

Timbalan Menteri Kewangan itu juga ambik kesempatan semasakunjungan seharinya ke Pengkalan Kubor ini untuk melawat kilang budu cap Ketereh yang terkenal itu.

Diminta mengulas mengenai kriteria calon, kata Ahmad, syarat utamanya adalah adalah mereka yang dekat di hati pengundi, rajin, berdedikasi dan mengamalkan cara hidup yang sederhana.

"Soal calon muda atau tua biarlah ia diputuskan oleh Presiden Parti dan apa sahaja yang diputuskan sudah tentu ia adalah calon terbaik," katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kerusi DUN Pengkalan Kubor yang diberi kepada PKR pada PRU13, hanyalah sebagai pinjaman sahaja dan PAS boleh kembali mempertahan kerusi itu berikutan ada sokongan kuat dari akar umbi.

"Kerusi itu memang milik PAS sebelum ini, tetapi atas dasar pakatan kita beri pinjam kepada PKR untuk bertanding menentang BN dalam PRU-13 lalu," katanya.

Mohd Amar berkata hasrat PAS itu akan dibincangkan dengan PKR.

"Kita lihat ada peluang untuk kita menang...soal calon belum dibincangkan lagi setakat ini," katanya.

PKR Kelantan bagaimanapun telah menyatakan bahawa ia tetap mahu kerusi itu terus ditandingi PKR.

Mengulas mengenai perkara itu, Ahmad berkata perebutan kerusi DUN itu oleh PKR dan PAS juga membuktikan ketidaksepakatan gabungan parti berkenaan yang sepatutnya PAS tidak perlu tamak untuk mendapatkan kerusi DUN berkenaan.

"PAS sudah ada tiga kerusi DUN dan juga Parlimen Tumpat. Tak kan kerusi milik PKR ini pun mahu dibolot dan untuk itu sahaja rakyat perlu menilai siapakah sebenarnya kedua-dua parti itu," ujarnya.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu kerana kanser hati.

Allahyarham Noor Zahidi merupakan Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat selama empat penggal.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor terletak dalam kawasan Parlimen Tumpat.

PRK bagi DUN tersebut akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Ia merupakan PRK ketujuh selepas PRU pada Mei tahun lepas.

PAS pada PRU 2008 menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor kepada PKR tetapi gagal merampasnya daripada Barisan Nasional (BN) selama dua penggal berturut-turut. -28/8/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 238  tetamu dalam talian