17November2019

Agenda Daily

Pembangunan di Pengkalan Kubor: Tanya juga kerajaan negeri, ahli parlimen

Bagi yang sedap berkempen serang BN kononnya tidak banyak pembangunan di Pengkalan Kubor walaupun tiga penggal dimenangi oleh ADUN BN... ingat balik peranan kerajaan negeri dan Ahli Parlimen.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas pihak-pihak tertentu yang membuat tohmahan kononnya BN tidak membawa pembangunan di kawasan Pengkalan Kubor.

Beliau menegaskan bekas ADUN, Datuk Noor Zahidi Omar yang menjadi wakil rakyat selama tiga penggal telah melaksanakan banyak perkara tetapi tanggungjawabnya agak terbatas berbanding tanggungjawab wakil rakyat mereka (wakil rakyat PAS) kerana mereka kerajaan negeri.

Muhyiddin juga mengingatkan bahawa BN adalah pembangkang di DUN Pengkalan Kubor dan negeri Kelantan.

Sekiranya ada isu berkaitan pembangunan ianya mestilah diambil tindakan oleh kerajaan negeri atau wakil Parlimen kawasan ini.

Beliau bercakap demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pondok Simpangan dan solat Zohor Masjid Simpangan Hilir, pagi Selasa.

Untuk rekod, sejak tahun 2001, kerajaan pusat telah membelanjakan lebih RM155 juta untuk pelbagai projek pembangunan fizikal dan sosial di kawasan DUN Pengkalan Kubor.

Jumlah itu tidak termasuk peruntukan khas bagi DUN yang diwakili oleh Barisan Nasional (BN) berjumlah RM19.92 juta antara tahun 2004 hingga September tahun ini.

Turut serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Mustapa Mohamed, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Rosdi Abdul Aziz dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tumpat Wan Hanapi Wan Yaakob.

Ditanya tindakan yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah banjir di kawasan Simpangan bila tiba musim tengkujuh, Muhyiddin minta persoalan itu diajukan pada kerajaan negeri.

“Kita kena ingat Kelantan di bawah PAS, kalau ada banjir, rakyat kena tuntut dari kerajaan negeri untuk selesaikan kecuali kerajaan negeri tiada peruntukan kemudian memohon kerajaan pusat maka kita akan timbangkan,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau telah diberitahu oleh penduduk yang dilawatinya bahawa rumah mereka dinaikki air sehingga ke paras lima kaki dan ianya amat serius.

Bagaimanapun BN sedia menimbang bagi membantu sekiranya rakyat di Pengkalan Kubor memberi sokongan pada BN.

Ketika diminta mengulas suasana kempen parti PAS yang agak kurang bertenaga, secara berseloroh Muhyiddin berkata, “bagi saya bagus, kalau boleh tak payah kempen, mungkin ada yang kata mereka menghadiri muktamar PAS dan selepas itu mereka akan datang ‘menyerang’, bagi saya berkempen dan jentera kita bergerak.”

Sebelum itu, awal pagi, Muhyiddin yang diiringi isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman memulakan jadual lawatan dengan menghadiri Majlis Ramah Mesra dengan hampir 2,000 penduduk masyarakat Siam di Wat Machimmaram.

Turut bersama calon BN DUN N01 Pengkalan Kubor Haji Mat Razi Mat Ail.

Semasa berucap di situ, Muhyiddin memberitahu kerajaan BN tidak pernah meminggirkan kebajikan masyarakat Siam dan akan terus memberi bantuan.

Muhyiddin turut menyampaikan cek bernilai RM200,000 kepada Ketua Sami Wat Machimmaram Prak Khru Wikthet Thammanard Tham Thit untuk pembiayaan pendidikan bahasa Siam.

Beliau kemudian melawat rumah empat penduduk di Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Naga Ibu dan Kampung Simpangan dan meluangkan masa selama 15 minit di setiap rumah yang dikunjungi untuk bertanya khabar serta permasalahan mereka.

Penduduk terbabit turut menerima rawatan daripada Pegawai Kesihatan Bahagian Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II iaitu Fauzi Che Hussin, yang menyertai rombongan Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu ketika di Simpangan, Timbalan Perdana Menteri mengumumkan sumbangan berjumlah RM500,000 untuk menaik taraf masjid Kampung Simpangan sebelum beramah mesra dengan lebih 20 pelajar Pondok Simpangan.

Muhyiddin kemudian singgah ke rumah Mat Razi.-16/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 272  tetamu dalam talian