12November2019

Agenda Daily

PAS mahu umum calon PRK Pengkalan Kubor 11 Sept

Walaupun masih belum dimuktamadkan, PAS Jumaat malam mula mencanangkan kepada pengundi di Pengkalan Kubor bahawa parti itu bakal meletakkan calon mereka pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada 25 Sept ini.

Sebelum majlis ceramah dimulakan, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu merasmikan Markas Besar PRK PAS di Tumpat. Turut hadir Anggota Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar dan Anggota DUN Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim.

Bernama belaporkan malah Mohamad ketika ditemui selepas itu berkata parti akan mengumumkan calon mereka yang bakal bertanding di DUN itu pada 11 Sept iaitu sehari selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan calonnya.

Beliau bagaimanapun berkata PAS akan mengadakan rundingan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memuktamadkan parti manakah yang bakal bertanding pada PRK DUN itu.

"Apa sahaja keputusan nanti kita terima walaupun PAS memang berhasrat bertanding di DUN ini," katanya dan menambah parti itu akan akur keputusan pucuk pimpinan pakatan pembangkang nanti.

Ketika berceramah, Kamaruddin yang merupakan Yang Dipertua PAS Bahagian Tumpat mendakwa PAS mendapat sokongan akar umbi yang mahukan parti itu bertanding bagi menggantikan PKR yang sebelum ini beberapa kali kalah di tangan BN pada beberapa pilihan raya umum yang lalu.

Beliau berkata PAS perlu mengambil semula DUN berkenaan bagi melengkapkan kemenangan di semua empat DUN dalam kawasan Parlimen Tumpat.

Selain DUN Pengkalan Kubor, tiga lagi DUN dalam Parlimen itu ialah Pasir Pekan yang diwakili Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob, Wakaf Baharu (Exco PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi) dan Kelaboran (Mohd Zaki).

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN, akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Sept ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 25 Sept.-6/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 257  tetamu dalam talian