20November2019

Agenda Daily

Nama-nama yang jadi sebutan calon BN Pengkalan Kubor

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki merupakan antara nama yang disebut-sebut untuk menjadi calon BN di DUN Pengkalan Kubor.

Asyraf Wajdi, 38, yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dikatakan mempunyai perwatakan sederhana dan sesuai bagi menggantikan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang cukup mudah didekati masyarakat.

Turut menjadi sebutan ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tumpat yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Datuk Mohd. Rosdi Abdul Aziz.

Selain itu, terdapat juga dalam kalangan penyokong yang mahukan parti itu mempertaruhkan sahabat baik Allahyarham iaitu Wan Hanapi Wan Yaacob yang kini merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Tumpat dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tumpat, Rosidi Mahmud Kamarudin untuk mempertahankan kerusi DUN tersebut.

Menurut sumber, empat nama berpotensi untuk dipertimbangkan itu bagaimanapun sekadar spekulasi atau 'cakap-cakap' yang dicetuskan di peringkat akar umbi manakala pemimpin di peringkat atasan pula mengambil pendirian 'tutup mulut' dan enggan mengesahkan.

"Tidak dinafikan mereka berempat mempunyai kelebihan masing-masing. Asyraf Wajdi merupakan pemimpin yang digroom untuk peringkat pusat manakala Mohd. Rosdi, Wan Hanafi dan Rosidi pula cukup dekat dengan masyarakat tempatan.

"Walau bagaimanapun, seperti yang dikatakan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, masih terlalu awal untuk bercakap tentang calon kerana masih dalam pertimbangan.

"Jadi apa sahaja nama yang didedahkan ini sekadar spekulasi semata-mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut sumber itu, antara isu yang bakal dibangkitkan oleh BN adalah kegagalan Kerajaan Pas Kelantan mengotakan pelbagai janji walaupun memerintah negeri ini sejak sekian lama termasuk pembinaan sebuah pelabuhan di Tumpat.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor diisytiharkan kosong selepas kematian Noor Zahidi, 57, akibat kanser hati.

Noor Zahidi yang menjadi ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat selama empat penggal meninggal dunia akibat kanser hati pada pukul 5.45 pagi, Rabu lalu ketika dirawat di sebuah hospital di Guangzhou, China.

Dalam PRU-13, Allahyarham mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.-3/9/2014 -Utusan

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 246  tetamu dalam talian