11November2019

Agenda Daily

Meriah di Pengkalan Kubor: Homestay harga RM400 - RM700 sehari

Jika tengok rekod pertandingan, DUN Pengkalan Kubor bukanlah DUN yang panas sangat, rata-rata maklum ini kubu kuat BN, tapi kerana suasana politik antara Pakatan Rakyat di Selangor kini tempiasnya sampai ke Pengkalan Kubor.

Ramai pemerhati politik hendak tengok kesan krisis di Selangor kepada pakatan pembangkang itu.

Kerana di Pengkalan Kubor, ia kerusi PKR dan parti Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak ada jentera tempatan yang kuat di situ.

Mereka hanya akan mengharapkan jentera PAS, dan apakah dengan kehangatan politik Selangor, sokongan jentera akar umbi PAS pada PKR akan surut?

Jika tidak selama ini tukang panjat pokok tampal poster ahli PAS lah.

Berlarak pegang bendera pun ahli PAS. Apakah ia akan berulang di Pengkalan Kubor?

Sebab itu ramai yang jangka pilihanraya kali ini meriah dengan kehadiran jentera parti dari luar terutamanya PKR yang bertanding serta penyokong masing-masing tidak lama lagi.

Dari sudut positif, ia akan memberi kesan ekonomi kepada penduduk tempatan yang mengambil kesempatan berniaga dengan meningkatkan hasil pengeluaran barang jualan lebih-lebih lagi peniaga di kawasan zon bebas cukai Pengkalan Kubor yang sedia popular dan sering menjadi kunjungan mereka yang melawat negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Tinjauan Agendadaily, rata-rata pengusaha ‘homestay’ menerima tempahan selama sebulan dengan kadar RM400 hingga RM700 sehari. Malah ada yang telah membayar wang cagaran walaupun tarikh pilihan raya belum ditetapkan lagi.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan menganggap kehadiran jentera dan penyokong yang ramai itu boleh memberi impak kepada hasil pendapatan peniaga kecil di situ.

Mengulas mengenai kehadiran penyokong dan jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN), beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia serta Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN menasihatkan semua jentera parti yang datang berkempen supaya mengenali budaya setempat.

“Mereka perlu menyelami hati nurani rakyat di sini, tidak hentam sobrono dan perlu berpakat baik dengan pimpinan setempat dalam melaksanakan apa juga program,” katanya ketika ditemui wartawan di Pengkalan Kubor, Khamis.

Ahmad meluangkan masa sehari suntuk bertemu dan berkenalan dengan 12 pengerusi-pengerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam DUN Pengkalan Kubor bagi mendapat maklumat jelas tentang isu semasa tempatan.-29/8/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 233  tetamu dalam talian