14Ogos2020

Agenda Daily

Mat Razi ayam sabung BN di Pengkalan Kubor

Teka teki siapa calon BN untuk pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor,Tumpat,Kelantan terjawab petang Rabu selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bekas guru, Mat Razi Mat Ail ialah orangnya.

Katanya Mat Razi atau lebih dikenali sebagai cikgu Mat Razi adalah calon terbaik diketengahkan BN berdasarkan pengalaman dan kredibiliti beliau dalam bidang politik.

Berucap di hadapan ribuan penyokong BN di Pusat Operasi BN Pengkalan Kubor Muhyiddin berharap dengan pengakuan terbuka UMNO bahagian untuk memberikan sokongan padu pada Cikgu Mat Razi satu cabaran besar telah dapat diatasi.

Turut hadir pada majlis pengumuman itu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad; Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa.

Muhyiddin berkata keputusan mencalonkan Mat Razi itu diputuskan sendiri oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Mat Razi kini adalah Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tumpat dan anak jati kawasan itu.

Beliau kini adalah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sejarah dan Persuratan Melayu dari Maktab Perguruan Sultan Abdul Halim pada 1988.

PRK DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, pada 20 Ogos lalu, akibat kanser hati.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Mei tahun lepas, Noor Zahidi yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan dengan majoriti 1,736 undi selepas memperoleh undi sebanyak 10,174 mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim (8,438 undi) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary (65 undi).

Terdahulu, Muhyiddin serta pemimpin BN lain sempat mengadakan ziarah ke rumah balu Allahyarham Noor Zahidi di rumah balu Allahyarham di No 858, Kampung Surau Pasir Pekan,di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 September ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pasda 25 September.

Berdasarkan daftar pemilih terkini SPR, kawasan DUN berkenaan mengandungi 24,039 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara (PTH).

Ia merangkumi 12,462 (51.84 peratus) pengundi lelaki, wanita 11,577 (48.16 peratus), pengundi berdaftar paling ramai ialah kategori umur 30 hingga 39 tahun iaitu 5,744 atau 23.89 peratus.-10/9/2014-OLEH HELME HANAFI

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 437  tetamu dalam talian