21September2019

Kesetiaan masyarakat Siam faktor kejayaan BN di Pengkalan Kubor

Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) ada lebih 120 pengundi warga emas berusia lebih 90 tahun manakala enam pengundi yang berusia lebih 100 tahun di Pengkalan Kubor.

Di kalangan wartawan ramai yang berhasrat untuk menjejaki mereka, golongan tua, yang melihat perubahan bandar sempadan ini.

Cari punya cari, jumpa seorang, Eh Puang Chau Chan yang berusia 105 tahun dan pasangannya, Mek Kepin Chau Weet, 74 kedua-duanya berbangsa siam yang merupakan antara 1638 pengundi di Pengkalan kubor.

Dari jumlah lebih 24 ribu pengundi, hanya ada 238 pengundi Cina, 25 India, 25 bumiputera Sabah dan Sarawak, 1638 masyarakat Siam dan selebihnya orang Melayu.

Sejak sekian lama di Tumpat atau khususnya Pengkalan Kubur, masyarakat Siam merupakan pengundi setia BN.

Ini atas beberapa faktor, antaranya, dasar BN yang lebih fleksibel berbanding PAS.

Bagi masyarakat Siam di Pengkalan Kubor, nasib mereka lebih terbela dengan wakil rakyat BN sungguhpun parti kerajaan pusat itu bukan parti yang memerintah Kelantan sejak 1990.

Menurut Eh Puang Chau Chan, hanya BN yang mampu membawa pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat di Pengkalan Kubor.

Sebab itu beliau nekad terus setia bersama BN meskipun parti itu bukan kerajaan yang memerintah Kelantan.

Eh Puang yang juga bapa kepada dua anak dan tujuh cucu berkata, BN sentiasa menjadi parti pilihannya sama ada semasa pilihan raya umum atau PRK sebelum ini.

“Kami suami isteri memang penyokong tegar BN sejak mula mengundi berpuluh tahun lalu.

“Walaupun, BN tidak menjadi kerajaan negeri tetapi mereka tetap prihatin dengan nasib rakyat kawasan ini khususnya warga emas seperti kami,”? katanya.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar ketika menerima rawatan penyakit kanser hati di Guangzhaou, pada 20 Ogos lalu.

Sementara itu Mek Kepin berkata, dia terpaksa mengambil upah mengupas bawang putih untuk menyara kehidupannya.

Ini kerana, katanya, suaminya tidak mahu mengharapkan ihsan orang lain untuk mereka meneruskan kehidupan.

“Apa yang kami dapat cukup untuk kami sekeluarga,” katanya.

Semalam, di kampung jubakar yang merupakan antara penempatan utama lebih 5000 masyarakat Siam di Pengkalan Kubor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masuk bertemu mereka.

Sambutan masyarakat Siam nampaknya solid kepada BN walaupun bekas Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat memulakan kempen PAS di Wat Siam baru-baru ini.

Nik Aziz ditemani oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob bertemu kira-kira 400 masyarakat siam dalam satu program di Wat Siam terbesar di Pengkalan Kubor, Wat Machimaran.

Bagi Ismail Sabri, kepentingan masyarakat Siam yang rata-ratanya petani sentiasa diambik berat oleh kerajaan pusat.

Kerana itu kerajaan pusat berhasrat membangunkan lebih banyak kawasan pertanian di daerah ini khususnya di Pengkalan Kubor bagi meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan dari negeri ini.

Menurutnya pada masa ini daerah Tumpat menyumbang 24 peratus pengeluaran sayur dan buah-buahan di Kelantan dengan Pengkalan Kubor sahaja menyumbang sekitar enam peratus.

"Sebab itu kita mahu beri tumpuan terhadap penanaman sayur terutama di Pengkalan Kubor ini kerana ada potensi untuk menyumbang lebih banyak sayur-sayuran," katanya.

Katanya, hasrat kerajaan itu bagaimanapun agak sukar untuk dilaksanakan kerana ia akan membabitkan pengambilan tanah yang memerlukan persetujuan daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS.

Oleh sebab itu katanya, kementeriannya akan memfokuskan kepada tanah-tanah milik individu atau tanah terbiar untuk dibangunkan sebagai tanah pertanian yang sekaligus akan menguntungkan individu terbabit.

Ismail Sabri berkata, terdapat beberapa program di bawah kementerian seperti 'Jom Bertani' yang difokuskan untuk menggalakkan individu melakukan penanaman sendiri di tanah milik mereka.

"Kementerian akan mengumpulkan tanah-tanah yang ada sama ada milik individu dan terbiar dan kemudian kita akan mengajar individu terbabit cara melakukan penanaman selain memberi bantuan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata program seperti itu diharap dapat membantu meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dan buah-buahan di kawasan ini seterusnya membantu menyumbang kepada keperluan negara.

elain itu, untuk beliau dan petani muda di Pengkalan Kubor, Kementerian Pertanian dan Asas Tani menyerahkan bantuan insentif "In Kind Contribution" berjumlah RM256,290 kepada 24 Agropreneur Muda di jajahan Tumpat bagi membantu mereka memulakan perniagaan.

Timbalan menterinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata jumlah keseluruhan kos projek adalah sebanyak RM944,300 dan MOA menyerahkan insentif sebanyak 30 peratus daripada kos projek yang diperlukan oleh usahawan berkenaan.

Tujuan kita adakan program ini untuk melihat setiap peserta mampu meraih pendapatan minimum sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan.

"Kita juga bantu usahawan muda ini dari segi bimbingan, latihan, pembiayaan, pemasaran dan sebagainya sehingga mereka boleh berdikari," katanya.

Mudah cerita, undi BN pada 25 September ini untuk memastikan kesinambungan pembangunan yang dikecapi penduduk Pengkalan kubor berterusan.

Apatah lagi, undi BN akan menyebabkan suara pembangkang terhadap kerajaan PAS di Kelantan kembali lantang dengan 12 ADUN berbanding 11 kini selepas kematian Datuk Noor Zahidi Omar.-16/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 237  tetamu dalam talian