11November2019

Agenda Daily

Langkah PAS: Tak mahu MB Selangor, tapi nak DUN Pengkalan Kubor

Langkah PAS ini terbuka untuk penafsiran masing-masing. Ada yang kata ini bukti 'jiwa kecik' PAS dan ada juga yang tafsir ia menunjukkan semangat setiakawan PAS dalam pakatan pembangkang.

Mereka sanggup 'ikut saja' di Selangor dengan tidak menuntut jawatan Menteri Besar Selangor walaupun mempunyai 15 kerusi berbanding PKR 13.

PAS kata ia atas semangat Pakatan Rakyat.

Tapi yang peliknya, semangat yang sama tidak ditunjukkan di Kelantan atau lebih tepat di DUN Pengkalan Kubor.

Ini kerana biarpun kerusi DUN tersebut merupakan kouta PKR sebelum ini, PAS berhasrat untuk bertanding di situ dalam pilihanraya kecil akan datang kerana yakin mampu mencapai kemenangan.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kerusi itu, yang diberi kepada PKR pada PRU13, hanyalah sebagai pinjaman sahaja dan PAS boleh kembali mempertahan kerusi itu berikutan ada sokongan kuat dari akar umbi.

"Kerusi itu memang milik PAS sebelum ini, tetapi atas dasar pakatan kita beri pinjam kepada PKR untuk bertanding menentang BN dalam PRU-13 lalu," katanya.

Mohd Amar berkata hasrat PAS itu akan dibincangkan dengan PKR.

"Kita lihat ada peluang untuk kita menang...soal calon belum dibincangkan lagi setakat ini," katanya.

Sebelum ini, Ketua Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusof berkata parti itu sudah memberi laluan kepada PKR beberapa penggal sebelum ini untuk merebut kerusi tersebut, tetapi parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu gagal.

“Setelah beberapa penggal sebelum ini kita memberi laluan kepada PKR untuk bertanding tetapi tidak diberi kemenangan. Bermakna rakyat perlukan selera baru," kata Siti Zailah.

“PAS perlu mengisi tempat itu (DUN Pengkalan Kubor) kerana paling penting adalah untuk mencapai kemenangan dan saya berharap perkara ini dipertimbangkan pihak atasan,” katanya.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu kerana kanser hati.

Allahyarham Noor Zahidi merupakan Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat selama empat penggal.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor terletak dalam kawasan Parlimen Tumpat.

PRK bagi DUN tersebut akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Ia merupakan PRK ketujuh selepas PRU pada Mei tahun lepas.

PAS pada PRU 2008 menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor kepada PKR tetapi gagal merampasnya daripada Barisan Nasional (BN) selama dua penggal berturut-turut.-28/8/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 217  tetamu dalam talian