12November2019

Agenda Daily

Kerusi Pengkalan Kubor milik PKR - Mahfuz

PAS Kelantan boleh tutup bilik gerakan, ini kerana hasrat mereka hendak letak calon dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor tak kesampaian.

Ini berikutan pengesahan daripada Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar bahawa parti itu tidak akan meletakkan calonnya kerana menghormati kerusi itu adalah milik PKR secara tradisinya.
 
Menurut Mahfuz, parti itu juga tidak mengadakan sebarang perbincangan berhubung kerusi tersebut.
 
Sebelum ini PAS dikatakan 'berminat' untuk mendapatkan semula kerusi Pengkalan Kubor daripada PKR yang dipinjamkan sejak Pilihan Raya Umum ke 2008 lalu.
 
"Kami tidak bincang apa-apa mengenai PRK. Ia adalah kuota PKR berasaskan kepada semangat sebelum ini.
 
"Jika kerusi ini dipertandingkan oleh sesuatu parti pada pilihan raya yang lalu, maka ia akan diteruskan (oleh parti itu)," katanya di sidang media PAS di ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut, Selasa.
 
Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah berkata kerusi itu, yang diberi kepada PKR pada PRU13, hanyalah sebagai pinjaman sahaja dan PAS boleh kembali mempertahan kerusi itu berikutan ada sokongan kuat dari akar umbi.

"Kerusi itu memang milik PAS sebelum ini, tetapi atas dasar pakatan kita beri pinjam kepada PKR untuk bertanding menentang BN dalam PRU-13 lalu," katanya.

Mohd Amar berkata hasrat PAS itu akan dibincangkan dengan PKR.

"Kita lihat ada peluang untuk kita menang...soal calon belum dibincangkan lagi setakat ini," katanya.
 
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga menegaskan walaupun PKR bertanding di kerusi itu pada PRU 13, tidak semestinya calon parti itu diletakkan kembali bagi pilihan raya kecil yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu kerana kanser hati.

Allahyarham Noor Zahidi merupakan Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat selama empat penggal.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor terletak dalam kawasan Parlimen Tumpat.

PRK bagi DUN tersebut akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Ia merupakan PRK ketujuh selepas PRU pada Mei tahun lepas.

PAS pada PRU 2008 menyerahkan kerusi Pengkalan Kubor kepada PKR tetapi gagal merampasnya daripada Barisan Nasional (BN) selama dua penggal berturut-turut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK Pengkalan Kubor pada 25 September (Khamis) dengan menetapkan 13 September (Sabtu) untuk tarikh penamaan calon dan mengumumkan tempoh berkempen untuk PRK kali ini sebanyak 12 hari.-2/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 241  tetamu dalam talian