07Ogos2020

Agenda Daily

Ini sebabnya BN lewat umum calon PRK Pengkalan Kubor

"Kita bukan ketandusan, tapi banyak sangat yang layak...kita tilik pandang, kita teliti dan kita bandingkan. Beliau (Mat Razi Mat Ail) yang kita fikir layak dan sesuai.

"Masa (umum) pun lebih awal daripada tarikh penamaan calon. Jadi, bagi kita tidak ada masalah,"

Itu kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menolak dakwaan sesetengah pihak konon BN ketandusan calon pada pilihanraya kecil Pengkalan Kubor kerana lewat mengumumkan nama calon yang bertanding.

Beliau menjawab soalan semasa sidang akhbar selepas majlis pengumuman calon di Pusat Operasi BN Pengkalan Kubor di Tumpat Rabu.

Mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memberi laluan kepada PAS untuk bertanding pada PRK itu, Muhyiddin berkata ia bukan satu perkara baharu bagi BN yang telah melalui pelbagai cabaran dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

"Kita sudah berhadapan dengan semua parti pembangkang dalam banyak peringkat pilihan raya...kalau PAS ke, PKR ataupun DAP, kita tahu corak dan gaya politik mereka.

"Walaupun PAS bertanding, kita anggap ia sebagai satu cabaran. Yang pentingnya kita perlu bekerja kuat (dan) itu yang saya harapkan," katanya.

Muhyiddin berkata BN akan menggunakan strategi khusus bagi menambah majoriti undian pada PRK itu.

"Kita ada rekod prestasi semasa Allahyarham (Noor Zahidi) bertanding dan sokongan yang beliau dapat. Semua perincian itu kita ada, jadi yang kita boleh lihat bagaimana jumlah itu boleh ditingkatkan," katanya.

Terdahulu, Mat Razi meluahkan rasa terharunya di atas kepercayaan pucuk pimpinan BN memilihnya untuk menggalas cabaran pada PRK itu.

"Saya amat terharu...saya dapat berita daripada pucuk pimpinan untuk mewakili legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham (Noor Zahidi) yang telah memandu saya selama 23 tahun dalam arena politik.

Apapun Muhyiddin mengingatkan jentera BN supaya tidak mengambil ringan PRK yang akan berlangsung 25 Sept ini, sebaliknya perlu berusaha gigih menawan pengundi dalam usaha memastikan kerusi itu terus disandang BN.

Katanya walaupun pakatan pembangkang kini terpalit beberapa isu dan dilihat rapuh, namun ia tidak boleh dijadikan ukuran dan kelebihan kepada BN.

"Yang penting kita kena temui pengundi dan jelaskan apa asas dan perjuangan kita....kita banyak pengalaman, sudah mengharungi cabaran yang lama. Kita mementingkan soal pengundi, rakyat yang kita utamakan,"katanya.- 10/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 568  tetamu dalam talian