22September2019

Cuti umum di Kelantan pada hari undi PRK Pengkalan Kubor

Semasa pilihanraya kecil kawasan Dewan Undangan negeri Sungai Limau di Kedah pada 4 November 2013 yakni hari berkerja ,kerajaan negeri tidak beri cuti umum.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir anggap tidak lojik beri cuti umum kerana jumlah kakitangan dan swasta di kawasan DUN itu kecil saja dibanding dengan jumlah seluruh negeri.

Beliau sebaliknya beri kebenaran kakitangan kerajaan yang terlibat mengundi masuk lewat dan pihak swasta diminta ikut langkah kerajaan negeri.

Lain ceritanya pada pilihanraya kecil DUN Pengkalan Kubor yang jatuh pada hari berkerja Khamis 25 September ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob mengumumkan cuti peristiwa seluruh negeri Kelantan pada hari ini atas alasan 'utamakan kebajikan rakyat'.

"Pembuangan undi pada hari bekerja sememangnya menyulitkan pergerakan pengundi... melihat kepada kesukaran yang bakal dilalui, kerajaan negeri telah menghalusi dan mempertimbangkan permasalahan tersebut dan mengisytiharkan cuti pada hari tersebut," katanya dalam kenyataan Isnin.

Kalau nak kira memang tak begitu ramai kakitangan kerajaan dan swasta di Pengkalan Kubor kerana ia merupakan kawasan pertanian dan perikanan.

Para pemerhati menilai ia lebih kepada usaha PAS untuk membolehkan jenteranya di seluruh negeri turun kepada Pengkalan Kubor pada hari mengundi.

Bagi mereka alasan utamakan kebajikan rakyat tidak wajar digunakan dalam keputusan beri cuti itu.

Sebanyak 24,039 pemilih berdaftar bagi kawasan DUN Pengkalan Kubor yang terletak dalam kawasan Tumpat.

PRK Pengkalan Kubor akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.- 15/9/2014


KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA HARI MENGUNDI PRK N01 PENGKALAN KUBOR

Rakyat di negeri Kelantan yang menetap di Pengkalan Kubor, Tumpat akan membuat pemilihan calon wakil rakyat pada pilihan raya kecil N 01 Pengkalan Kubor yang akan berlangsung pada hari khamis 30 Zulkaedah 1435 bersamaan 25 september 2014.
Harapan saya agar proses pengundian pada hari tersebut berjalan dengan lancar dan aman tanpa ada sebarang unsur memanipulasi undi.

Undi hari bekerja sememangnya menyulitkan pergerakan rakyat yang sepatutnya kerajaan persekutuan melihat kepada kesukaran-kesukaran yang bakal dilalui oleh kakitangan awam dan swasta.

Setelah menghalusi dan mempertimbangkan kesukaran yang bakal dihadapi rakyat pada hari pembuangan undi kerana hari tersebut adalah hari bekerja, maka pihak kerajaan amat menaruh simpati kepada para pengundi dan anggota keluarga yang terlibat, saya sebagai ketua kerajaan yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat  mengisytiharkan bahawa tarikh 25 september 2014 sebagai hari cuti peristiwa bagi seluruh negeri Kelantan Darulnaim. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan pembuangan undi pada hari tersebut.

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB

Menteri Besar Kelantan

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 627  tetamu dalam talian