22September2019

Calon PAS kena 'gag order' di Pengkalan Kubor

Lawak terbaru daripada PAS dalam berkempen di Pengkalan Kubor. Ini gara-gara perintah 'gag order' atau halang dari bercakap serta menjelaskan isu dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Kubor.

Pengarah Jentera Operasi Pilihan Raya PAS, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, segala isu hanya akan diperjelaskan oleh penceramah serta pimpinan tertinggi PAS.

"Tok Wan Di (Wan Rosdi) seorang yang berlatarbelakangkan agama, boleh berceramah, boleh berucap, tetapi kita larang dia. Tugas dia hanya jumpa pengundi, buat lawatan rumah ke rumah dan ketika ceramah hanya memperkenalkan diri sahaja dan dia dilarang cakap lebih.

"Dan kebanyakan bahan kempen adalah daripada jentera pilihan raya parti dan bukan daripada calon," katanya dalam sidang media di Markas Besar PAS pagi Rabu.

Beliau menjawab soalan media mengenai kempen calon PAS yang dilihat hambar dan calon yang dilihat banyak berdiam diri sejak kempen bermula 13 September lalu.

Menurutnya, perkara tersebut perlu dilakukan untuk memastikan calon dapat berjumpa dengan semua penduduk di kawasan Pengkalan Kubor.

Katanya lagi, dalam tempoh 14 hari kempen, Wan Rosdi perlu bergerak berjumpa hampir 20,000 pengundi.

"Kalau nak suruh calon berucap mengenai isu, takut ambil masa yang lama dalam satu-satu ceramah dan akan menjejaskan kelancaran pergerakan jumpa penduduk," katanya.

Namun katanya, pihak jentera parti tidak menghalang calon untuk berkempen pada bila-bila masa sahaja.

"Beliau bebas bergerak ke mana-mana sahaja secara bersendirian untuk berkempen, malah kita ada pasukan kempen calon yang akan ikut ke mana sahaja Wan Rosdi pergi.

"Memandangkan ini adalah kawasan beliau, maka pihak jentera parti tidak menyekat beliau untuk berkempen,"katanya.

Dalam soalan berlainan, Wan Rahim mengakui sumbangan BN membangunkan Pengkalan Kubor telah banyak memberi kemudahan kepada penduduk setempat sejak tiga penggal yang lalu.

Katanya, segala kemudahan dinikmati penduduk sekitar sekarang ini sememangnya jauh berbeza berbanding dahulu.

``Kita tidak menafikan kerajaan BN banyak melakukan perubahan dengan menyediakan kemudahan di sini untuk memberi keselesaan kepada penduduk.

``Struktur jalan kini kebanyakannya sudah selesa berbanding puluhan tahun lalu di mana kebanyakan penduduk di hujung kampung terutamanya terpaksa berjalan kaki untuk ke satu-satu kampung berhampiran,'' katanya.

Sementara itu, Wan Rosdi menyifatkan kempen pilihan raya kali ini tidak mempunyai sebarang masalah malah mendapat sambutan baik daripada masyarakat di Pengkalan Kubor.

"Kita masih teruskan kerja kempen, tiada masalah untuk masuk ke kampung-kampung dan setakat ini tiada insiden atau protes yang mengganggu kelancaran kempen.

"Saya akui jadual saya agak padat, oleh kerana itu dalam setiap program ceramah, saya hanya akan perkenalkan diri sahaja dan tidak bercakap isu semasa," katanya.-17/9/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 437  tetamu dalam talian