BN akan teruskan legasi perjuangan di Pengkalan Kubor
- Terakhir dikemaskini: 09 September 2014
Pengundi di Pengkalan Kubor akan terus menyokong Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 25 Sept depan.
Ini kerana mereka mahu individu yang menjadi wakil rakyat itu menyambung legasi perjuangan Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata disebabkan itu BN akan memilih calon yang berkebolehan melangsungkan perancangan dan kerja Allahyarham Noor Zahidi sama ada dalam hal kemasyarakatan, kerohanian dan pembangunan.
"Rakyat dan pengundi di Pengkalan Kubor mengetahui bahawa calon wakil rakyat mereka adalah calon BN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Pertemuan Bersama Masyarakat di sini, hari ini.
Beliau berkata sepanjang lawatanya yang sudah masuk kali kelima, beliau tidak nampak tanda-tanda rakyat di Pengkalan Kubor ingin menukar calon wakil rakyat mereka daripada BN.
"Kita yakin siapa sahaja yang dipilih sudah disemak dengan teliti oleh pucuk pimpinan. Apa yang penting Umno dan BN akan menyambung semua kerja baik yang ditinggalkan Allahyarham," katanya.
Katanya, antara kejayaan Allahyarham adalah membawa pembukaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di kawasan itu dan usaha mengatasi masalah banjir.
"Kesinambungan perjuangan akan diteruskan BN, namun jika perkara itu tidak berlaku tidak adalah kesinambungan itu," katanya.
PRK DUN itu diadakan berikutan kematian penyandang Noor Zahidi, 57, pada 20 Ogos lepas.
Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Sept ini sebagai tarikh penamaan calon.-8/9/2014