12Ogos2020

Agenda Daily

Isu Waytha Moorthy persoal polis: PM ingatkan anggota pentabiran perlu senada....

polis-senjataxxwaythaKEMASKINI :Ada kalanya kita tidak perlu cakap panjang.Kata orang sendiri mau ingat.Sejak isu Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy persoal tindakan polis tembak mati lima penjenayah di Pulau Pinang baru-baru ini,kalangan wartawan belum berpeluang mendapat reaksi dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini beberapa menteri termasuk Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Zahid Hamidi kata  bekas orang kuat HIndraf itu elok letak jawatan kalau nak terus bersuara macam NGO.

Khamis pagi,Najib adakan sidang akhbar selepas satu majlis di pejabatnya di Putrajaya.Maka isu Waytha Moorthy terus jadi salah satu soalan utama yang ditujukan.

Perdana Menteri tidak ulas panjang.Namun mereka yang ada akal perlu faham mesej beliau.

Katanya kalangan anggota pentabiran perlu senada.

"Sebagai anggota pentadbiran, mesti sealiran, kena senada dengan anggota pentadbiran," kata Najib.

Dalam pada itu Najib menegaskan kerajaan akan teruskan usaha perangi jenayah kerana rakyat mempunyai hak untuk hidup bebas.-29/8/2013 - OLEH HELME HANAFI 




Khairy juga kata elok Waytha Moorthy letak jawatan jika nak terus pertikai polis...




Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin juga senada dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi,Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Shahidan Kassim dalam isu Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy persoal tindakan polis tembak mati lima penjenayah di Pulau Pinang baru-baru ini.

Bercakap kepada wartawan di Kuala Lumpur Selasa,Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu kata bekas orang kuat Hindraf itu wajar letak jawatan jika terus nak berkeras dengan tindak tanduknya.

Katanya Waytha Moorthy sepatutnya mengunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pandangannya.

Sementara itu bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam yang ditemui wartawan selepas majlis penyerahan tugas Khairy kepadanya sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad juga tidak senang dengan cara Waytha Moorthy.

Katanya usaha polis untuk membenteras jenayah harus dipuji.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pula berkata kepada Agendadaily,sebagai Menteri dan Timbalan Menteri ada etika sepasukan yang mesti dipatuhi,

Ketua Penerangan UMNO itu kata Waytha Moorthy patut tahu etika itu sekalipun beliau orang baru dalam kerajaan.

"Dia patut minta maaf,"tegas beliau.-27/8/2013


Isu Waytha Moorthy: Setelah Zahid...Hishamuddin dan Shahidan juga bersuara


Timbalan Meteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy betul-betul sudah jolok sarang tebuan.Semakin ramai yang tidak puashati dengan beliau yang mempertikai cara polis berdepan anggota kumpulan kongsi gelap yang ditembak dalam operasi pihak berkuasa itu di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Terbaru, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyokong gesaan supaya bekas pemimpin Hindraf itu melepaskan jawatan jika tidak berpuas hati dengan tindakan polis tersebut.

Beliau menyokong cabaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini supaya Waytha Moorthy berhenti memegang jawatan berikutan tidak puas hati dengan kematian lima lelaki
dipercayai anggota kongsi gelap dalam operasi polis itu.

Zahid berpendapat  Waytha Moorthy perlu meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekiranya berfikir seperti pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

"Jika ada seorang tokoh yang pernah ketuai NGO, dan jadi anggota pentadbiran memberi komen negatif, berhenti dari kerajaan, duduk dalam NGO semula," kata ahli Parlimen Bagan Datoh itu.
"Dalam perkara ini jangan kita ada simpati kepada penjenayah," tegasnya.

Menurut Hishammuddin, Waytha Moorthy gagal mengawal emosi dan mendahulukan kepentingan politik berbanding sikap tanggungjawab sebagai anggota Kabinet.

"Saya setuju sangat dengan Zahid...apa yang disebut 101 peratus betul. Sebagai anggota Kabinet, kita tidak boleh meletakkan kepentingan peribadi melebihi pertimbangan secara kolektif," katanya kepada
pemberita di PWTC, Ahad.

Kata Hishammuddin, beliau dan Zahid masing-masing mempunyai pandangan peribadi, namun sebarang pertimbangan atau kenyataan yang dibuat sebagai anggota kabinet sentiasa berlandaskan tanggungjawab kolektif.

"Sekiranya saya beremosi dalam membuat keputusan kes tragedi bas di Genting Highlands baru-baru ini, saya akan hentikan semua perkhidmatan bas ke Genting.

"Tetapi saya tidak boleh ikut emosi dan harus membuat keputusan berdasarkan kepimpinan yang waras," tegas Hishammuddin yang pernah menjawat Menteri Dalam Negeri.

Dalam pada itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa Waytha Moorty memohon maaf kepada kerajaan khususnya pihak polis ekoran kenyataannya itu.

Sambil menyokong pendirian Zahid dan Hishammuddin, beliau berpendapat timbalan menteri itu tidak sepatutnya buat kenyataan melulu memadangkan kedudukannya dalam kerajaan.

“Jenayah berlaku babitkan penjenayah dan orang yang memberi perlindungan kepada mereka. Tindakan Waytha Moorty melulu dan tidak adil...beliau sepatutnya meminta maaf,” ujar Shahidan yang menghubungi  Agendadaily. – 25/8/2013- OLEH ROSLAN BIAN





Zahid dan Ketua Pemuda UMNO Perak hentam Timbalan Menteri JPM...

Jenayah tidak ada batasan kaum. Sepatutnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy cukup sedar hakikat ini ketika cuba mempersoalkan tindakan polis menembak mati lima suspek penjenayah keturunan India di Pulau Pinang baru-baru ini.

Kenyataan bekas pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) Hindraf yang dilihat cuba main politik dalam soal tugas politik membenteras jenayah ini terus mengundang reaksi.

Sebagai menteri yang bertanggong jawab keatas polis,Datuk Seri Zahid Hamidi tidak dapat menyembunyikan rasa kurang senang beliau terhadap gelagat itu.

Sekalipun tidak menyebut nama Waytha Moorthy secara spesifik beliau menegaskan pemimpin berkenaan harus melepaskan jawatan kerajaan jika kenyataan yang dikeluarkannya masih "bersifat seperti NGO."

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan perasmian semasa "Forum Pencegahan Jenayah: Undang-undang semasa dan langkah-langkah untuk mencegah jenayah kekerasan secara berkesan" di Petaling Jaya Sabtu.

Tegasnya lagi, dalam usaha memerangi jenayah, penjenayah seharusnya tidak menerima simpati umum.

"Jika ada seorang tokoh yang pernah ketuai NGO, dan jadi anggota pentadbiran memberi komen negatif, berhenti dari kerajaan, duduk dalam NGO semula," katanya.

Ekoran kejadian di Pulau Pinang,Waytha Moorthy dilaporkan media berkata beliau tidak percaya berlaku tembak menembak antara pasukan polis dengan suspek, sebaliknya mencadangkan mereka ditembak pada jarak dekat.

Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO bagaimanapun ketika ditanya pada sidang media adakah kenyataan itu dikeluarkan merujuk kepada Waytha Moorthy hanya berkata: "awak faham-faham sendirilah."

Beliau juga sebelum ini dilaporkan menasihati Waytha Moorthy supaya tidak mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan dasar yang ditentukan kerajaan.

"Beliau jangan ingat yang beliau masih pemimpin badan bukan kerajaan, beliau bukan pemimpin Hindraf lagi, jangan campur tangan kerja polis," kata Zahid dipetik laporan media.

Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perak Khairul Azwan Harun mendesak Waytha Moorthy memohon maaf kepada seluuruh anggota PDRM kerana keceluparannya tempoh hari.

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri itu menyinggung perasaan anggota PDRM dan juga keluarga mereka.

Khairul Azwan  yang ditemui wartawan sabtu berkata kenyataan itu sangat tidak  bertanggungjawab, yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Timbalan Menteri.

"Hari ini bukan soal suspek dari kaum  India, hari ini soal jenayah kita tidak mengira latar belakang kaum, agama ataupun status, ada juga suspek di kalangan Melayu, Cina dan bangsa-bangsa lain yang sebelum ini telahpun ditangkap dan juga dibunuh.

"Jadi jangan cuba sekali-kali mempolitikkan isu ini dengan memainkan isu perkauman dalam usaha polis mencegah jenayah,’’ katanya.- 2/8/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 410  tetamu dalam talian