15Ogos2020

Agenda Daily

Zahid bersemuka dengan Pemuda UMNO selepas kontroversi minta bercuti...

Ini sudah tentu gambar menarik – Datuk Dr Zahid Hamidi dan Datuk Dr Asyraf Wajdi dalam suasana mesra pada hari Ahad – kalau dikenang pada pada kenyataan Pemuda UMNO Khamis lalu mahu Presiden UMNO itu bercuti hingga kes mahkamah selesai dan kontroversi yang timbul selepas itu.
 
Gambar ini dirakam semasa Zahid hadir untuk menutup Retreat Pemuda UMNO Malaysia 2018 di pusat latihan UMNO di ILMU, Janda Baik. 
 
Selain detik ini gambar gambar lain sekitar majlis sudah cukup untuk bercerita bahawa pertemuan Presiden UMNO itu dengan lebih 300 pimpinan Pemuda UMNO dari seluruh negara di situ berjalan lancar.
 
Malah Asyraf sanjung kesudian Zahid menerima jemputan Pemuda UMNO untuk menutup program itu dan menghormati pendirian mereka dengan hati terbuka dan jiwa besar.
 
Zahid sudah menegaskan beliau tidak akan bercuti dan akan meneruskan tugasnya sebagai Presiden UMNO.
 
 
Tidak kurang menarik dalam ucapan di majlis itu Zahid telah buka cerita secara terbuka dan terus terang mengenai kes mahkamah beliau,masalah kewangan dihadapi UMNO sekarang serta cabaran yang dihadapi oleh UMNO berdepan tekanan kerajaan Pakatan Harapan.
 
Beliau akui tidak melenting saat mengetahui cadangan Pemuda UMNO mintanya bercuti.
 
Katanya sebagai seorang ahli politik yang datang dari ‘kilang’ Pemuda dan mengalami proses yang panjang – beliau amat memahami dan dekat dengan sayap parti berkenaan dan menghormati kenyataan Asyraf.
 
“Citarasa, denyut nadi dan pemikiran Pemuda sangat dekat dengan hati saya. Itu sebab saya tidak bereaksi pun terhadap kenyataan media selepas mesyuarat Exco Pemuda yang lalu.
 
“Saya cuma meneliti dan saya tetap datang petang ini dengan tidak ada sedikit pun kegusaran untuk bertemu dengan Pemuda-pemuda UMNO,” katanya.
 
Sambil menegaskan tidak akan berundur atau bubarkan parti walaupun tinggal bersendriian Zahid akui kini beliau menjadi pusat graviti serangan selepas mengambil alih tampuk kepimpinan parti.
 
“Dulu kita kalah sebab peluru-peluru ditujukan terus kepada pusat graviti kita. Siapa? Ketika itu Datuk Seri Najib Razak. Sejak 30 Jun saya jadi Presiden dan pusat graviti itu ditukar kepada saya.
 
 
“Sekarang tertumpu kepada saya secara peribadi. Dalam alam teori politik dan komunikasi, apabila pusat graviti difokuskan untuk ditelanjangkan, dihina maka organisasi itu akan dilumpuhkan,” katanya.
 
Menurutnya, 45 pertuduhan ke atas dirinya setakat ini merupakan yang pertama dalam sejarah negara.
 
“Dalam sejarah mahkamah tidak ada setakat ini 45 pertuduhan melainkan kepada Presiden UMNO,"katanya.
 
Zahid juga memberitahu selain akaun UMNO dana UMNO yang bernilai RM116.7 juta yang dirampas kini masih dibekukan oleh pihak berkuasa.

Hal ini menyukarkan pihaknya menyalurkan wang bagi membiayai kos aktiviti UMNO secara besar-besaran berbanding ketika UMNO menjadi pemerintah sebelum PRU-14 lalu.
 
“Itu hakikatnya.Alangkah seronok dana itu masih dalam akaun UMNO dan sudah ditakdirkan saya presiden UMNO sekarang tetapi stituasi politik berubah bukan sekadar pembekuan terhadap akaun malah sukar bagi membayar gaji kakitangan. Itu hakikat, itu fakta,” katanya.
 
Akibatnya, menurut  Zahid, pihaknya terpaksa mengurangkan sebanyak 40 peratus kakitangan Ibupejabat UMNO dan saki baki yang tinggal itu juga akan dipotong gaji mereka hampir separuh.
 
 
“Orang beri gambaran seolah-olah UMNO ini ada berbilion-bilion dan bila forensik dibuat kesemua aset nilai semasa UMNO hanya ada RM 867 juta sahaja dan dividen bernilai RM12 juta setahun, belanja sebulan pula RM5 juta sahaja dan setahun kos sebanyak RM60 juta,” katanya.
 
Satu lagi cabaran besar sekarang ialah UMNO berdepan untuk dibubarkan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang sudah menghantar surat tunjuk sebab kepada pihaknya.
 
Katanya ini kerana dari 21,000 cawangan UMNO di seluruh negara hanya 8,000 sahaja borang 9A yang sampai ke ibupejabat.- 28/10/2018
 
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 414  tetamu dalam talian