19Mac2019

Waytha Moorthy mungkin lupa Dr Mahathir perintah Malaysia selama 22 tahun…

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy nampak relaks saja ketika menghadiri sidang Parlimen pada pagi Isnin sedangkan di sana sini desakan makin memuncak agar kerajaan Pakatan Harapan memecat beliau ekoran penyebaran klip videonya yang beri gambaran buruk mengenai Malaysia.
 
Apa yang pasti ialah klip video berkenaan ialah kisah lama tahun 2007.Ia adalah wawancara pemimpin Hindraf ini dengan sebuah stesen televisyen di Belanda 10 tahun lampau.
 
Namun Waytha Moorthy tidak dapat salahkan kemarahan meluas terhadapnya .Siapa saja yang mendengar kata katanya dalam kip video itu yang gambarkan seolah masyarakat India negara ini ditindas dengan teruk sekali pasti anggap ia sesuatu hal yang sangat keterlaluan.
 
Bayangkan beliau antara lain mendakwa wujudnya tindak tanduk merobohkan kuil-kuil hindu,memaksa mereka tukar agama,menafikan hak pendidikan dan sebagainya terhadap masyarakat India.
 
Ini lebih lebih lagi beliau sekarang memegang jawatan menteri yang jaga portfolio suburkan perpaduan dikalangan rakyat.
 
Juga jangan lupa Waytha Moorthy menjadi fokus kebelakangan ini apabila membangkitkan mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang didakwa akan menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera di negara ini.
 
Waytha Moorthy nampak macam tidak goyang dan ambil pot pada hu ha yang hangat pasal klip video itu dan juga isu ICERD.
 
Andaian ini dibuat berdasarkan pada kenyataan yang dikeluarkan olehnya untuk mengulas isu kilp video itu.
 
Bukan sahaja tidak meminta maaf malah beliau terus menyalahkan kerajaan Barisan Nasional yang diketuai UMNO kerana dasar-dasar yang dibuat menghalang kaum India untuk berada dalam arus perdana pembangunan negara.
 
“Dasar-dasar kerajaan UMNO telah banyak menghalang majoriti masyarakat India berada dalam arus perdana pembangunan negara,”katanya.
 
Menurut menteri itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedar tentang penglibatanya di peringkat antarabangsa dalam aktiviti melobi kerana sangat terbuka mengenainya dan telus.
 
Katanya kerajaan BN dulu telah melantiknya sebagai timbalan menteri sekalipun tahu mengenai kegiatanya.
 
Usaha BN untuk beri peranan menerusi saluran kerajaan kepada Waytha Moorthy dibuat pada tahun 2013 bila mana selepas pilihanraya umum pada Mei tahun itu beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
 
Namun pada 10 Februari 2014 beliau letak jawatan setelah mendakwa BN gagal menyelesaikan masalah sosio-ekonomi yang melanda masyarakat India di Malaysia.
 
Selepas PRU14 bilamana kerajaan PH menguasai Putranaya,Dr Mahathir melantik Waytha Moorthy sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
 
Gara gara kontroversi terbaru setakat ini hampir 90,000 orang sudah tandatangan petisyen di atas talian Change.Org  meminta Waytha Moorthy meletak jawatan sebagai menteri.
 
Petisyen itu digerakkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS)  kerana mendakwa beliau telah memburukkan imej negara Malaysia di peringkat antarabangsa.
 
Ini kerana menyebarkan fitnah bahawa kononnya kaum India telah didiskriminasi, perlu memeluk Islam jika mahu mendapatkan pekerjaan dalam sektor-sektor awam, serta rumah-rumah ibadat mereka telah dirobohkan sesuka hati oleh pihak-pihak berkuasa di Malaysia.
 
Selain itu berkeras mahu meratifikasikan ICERD dan gagal untuk mengawal ketegangan kaum yang semakin memuncak sejak akhir-akhir ini walaupun telah diberikan mandat untuk berbuat demikian sebagai menteri.
 
Justeru tegas GPS, mereka menuntut perlucutan jawatan Moorty sebagai menteri demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama serta latar belakang.
 
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga mendesak dan menggesa agar Waytha Moorthy meletakkan jawatan beliau selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial berikutan tular video lama beliau memburukkan negara.
 
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Pemuda juga menggesa Waytha Moorthy menarik balik segala kenyataan fitnah dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas pengkhianatan beliau memburuk-burukkan negara di mata negara-negara luar.
 
“Sehingga kini beliau tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat yang dilakukan beliau sebagaimana yang ditularkan melalui video berdurasi 2 minit 39 saat itu.
 
“Lebih mendukacitakan apabila sejak menjadi Menteri yang sepatutnya mempromosi perpaduan kaum dan pelbagai agama, beliau lebih cenderung untuk membangkitkan isu-isu yang mampu mencetus gelodak kemarahan rakyat dan membangkitkan api permusuhan di antara kaum,” tegasnya dalam kenyataan.
 
Terbaru katanya, inisiatif dan kesungguhan beliau untuk mengheret negara untuk meratifikasi dan mengesahkan ICERD hanya menzahirkan kesombongan dan keangkuhan beliau sungguhpun Kerajaan sedar bahawa majoriti rakyat melihatnya sebagai suatu yang mencabar hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan yang sememangnya isu yang amat sensitif.
 
“Justeru Pemuda UMNO mendesak P. Waytha Moorty untuk melepaskan dan meletakkan jawatan selaku Menteri secara terhormat dan bermaruah atas kegagalan menguruskan isu-isu perkauman, keagamaan dan perpaduan dengan bijak.
 
“Malah imej radikal beliau ketika memimpin Hindraf hanya akan mengundang krisis keyakinan rakyat akan masa depan keharmonian negara berbilang agama dan kaum di negara ini,” katanya lagi. 
 
Soalnya sekarang apakah kerajaan PH khususnya Dr Mahathir berani bertindak keatas anggota kabinetnya yang telah mencetuskan kontroversi yang hangat ini?
 
Kalangan pemerhati menilai jika terus berdiam diri ia seolah mengakui kebenaran segala dakwaan Waytha Moorty itu.
 
Sedangkan semua orang tahu penindasan keatas masyarakat India di negara ini seperti didakwanya tidak benar sama sekali.
 
Bagi pemerhati Dr Mahathir sepatutnya lebih terasa terpalit kerana beliau sebelum ini adalah Perdana Menteri kerajaan BN selama 22 tahun.
 
Bukankah dakwaan Waytha Moorty dalam klip video itu dibuat pada tahun 2007 yakni tiga tahun selepas Dr Mahathir letak jawatan.
 
Maka siapa saja boleh buat kesimpulan kebanyakan dakwaan itu lebih berkisar semasa zaman pentabirannya sejak 2001
 
Waytha Moorty mungkin terlupa siapakah Perdana Menteri paling lama di negara ini.- 19/11/2018
 
 
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 440  tetamu dalam talian