21April2019

Waran tangkap: Shahidan kini di Makkah...kesal tidak beritahu awal kesnya…

Datuk Seri Shahidan Kassim yang kini berada di Makkah untuk tunai umrah kesal tidak diberitahu awal mengenai pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kangar pada Jumaat hingga waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
 
Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Arau itu yang dikatakan sepatutnya hadapi pertuduhan kes mencabul seorang gadis bawah umur hanya mengulas ringkas mengenainya ketika dihubungi media.
 
Katanya beliau tidak tahu menahu mengenai waran tangkap itu kerana berada di Makkah. 
 
“Saya tidak tahu kerana berada di Tanah Suci Makkah. Saya menghadap Allah dan jika mereka nak buat apa-apa terpulanglah kerana mereka berkuasa,” katanya.
 
“I duduk di Makkah, habis cerita dan saya tidak mahu memberi komen langsung mengenai perkara ini.
 
“Hangpa (wartawan) tulislah apa yang patut sebab saya duk buat umrah,” katanya.
 
Pengeluaran waran tangkap itu telah dibantah oleh peguam yang mewakili Shahidan, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim kerana anak guamnya dan beliau sendiri tidak dimaklumkan mengenainya lebih awal.
 
Waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Johari Hassan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail membuat permohonan itu.
 
Sementara itu Shahidan perlu hadir bersama peguam di Mahkamah Sesyen Kangar Isnin 12 November ini, untuk menghadapi pertuduhan.
 
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd mengesahkan perkara itu,  susulan menerima arahan daripada Pengarah Pendakwa Raya Negeri (PPN) kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ)  Perlis menyatakan tidak perlu menyempurnakan waran tangkap ke atas Shahidan di rumahnya.
 
"Arahan ini dikeluarkan kepada pihak kami selepas pertuduhan dibacakan semula oleh PPN di hadapan Hakim Sesyen Kangar oleh  peguam Syed Muhamad Anwar Syed Lokman Hakim mewakili anak guamnya (Shahidan),”katanya.
 
Pada 21 Oktober lalu seorang gadis berusia 15 tahun yang merupakan ahli kumpulan buskers yang ditaja oleh Shahidan telah buat laporan polis mendakwa Ahli Parlimen itu sentuhnya ditangan dan bahu di dalam kereta.
 
Beberapa jam kemudian laporan polis itu ditarik balik.
 
Shahidan telah menafikan melakukan perbuatan itu.Beliau juga memberitahu kenal dengan gadis itu dan keluarganya.
 
Bapa gadis itu turut menyatakan bahawa keluarga mereka telah memaafkan perkara tersebut.- 9/11/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 766  tetamu dalam talian