16November2019

Agenda Daily

Video yang boleh bikin PAS menyesal pecat Hasan Ali...

hasan-video1xxKEMASKINI : Sayang sikit,Datuk Dr Hasan Ali tidak membenarkan media menyiarkan video pengakuan seorang lelaki dan wanita Melayu mengenai gerakan memurtadkan orang Islam di negara ini yang ditayang beliau kepada media tengahari Isnin.[ LIHAT VIDEO SIDANG AKHBAR DI RUANGAN VIDEO AGENDADAILY - DR HASAN ALI GASAK PAS ANGGAP VIDEO MURTAD TIDAK PENTING]

Jika tidak tentu orangramai dapat mengikuti sendiri dari dekat bagaimana macam-macam taktik digunakan oleh gerakan ini untuk tujuan itu.

Bekas Exco Selangor itu tidak membenarkan media menyedut video itu untuk ditayang semula kerana ia melibatkan soal kerahsiaan identiti orang yang membuat pengakuan itu.

Ramai wartawan dan jurugambar hadir pada sidang media berkenaan yang diadakan di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail,Kuala Lumpur.

Lelaki dan wanita Melayu yang membuat pengakuan dalam video selama 46 minit itu merupakan pasangan suami isteri.

Mereka yang kini sudah berjaya diIslamkan semula antara lain mendedahkan taktik yang digunakan termasuk mendekati kanak-kanak beri apa yang mereka hendak da juga ibu tunggal yang bermasalah.

Gerakan ini juga didakwa mengunakan taktik 'menyamar' sebagai NGO yang hendak membantu orang Melayu.

Lelaki Melayu itu juga menceritakan dia sudah bersua dengan sekitar 400 orang Islam yang murtad.

hasan-video2xx

Itu baru mereka yang ditemuinya sahaja dan mungkin ada kumpulan-kumpulan lain.

Ramli berasal dari Utara pernah menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Teknologi Mara (ITM) mengaku ternbabit dengan agama Kristian itu pada 2002 dan upacara baptis di adakan di sebuah pangsapuri di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

Dalam pendedahan itu, Ramli mengakui tertarik dengan cara gerakan tersebut membantunya yang sedang sakit, menyediakan tempat tinggal, kerja dan hadiah paling besar memberikannya  kenderaan.

Beliau dijaga oleh pasangan mubaligh dari Australia tetapi di baptis oleh paderi lain.

Ramli diyakinkan bahawa beliau boleh masuk syurga setelah dibangkitkan semula selepas ‘masuk kolam renang’ di pangsapuri itu sebagai sebahagian upacara baptis seolah-olah beliau jadi orang baru.

Paling memeranjat, Ramli turut mendedahkan kumpulan ini yang juga fasih berbahasa Melayu menggunakan ayat-ayat al Quran kerana yakin kalau mereka gunakan kitab, orang yang didekati akan melarikan diri.

“Mereka guna pendekatan Al Quran sebagai jambatan rapatkan diri dengan orang Islam untuk ‘cross over’, bila dah melintas, baru mereka ajar agama Kristian sedikit demi sedikit,” ujarnya.

Isterinya Zakiah Musa (bukan nama sebenar) 42, juga mendedahkan bagaimana kumpulan itu mendekati ibu tunggal yang memerlukan bantuan selain kanak-kanak.

Katanya, ibu tunggal ini akan dipelawa sertai banyak program dan diberikan bantuan yang diperlukan.

“Mereka juga dekati kanak-kanak dan gula-gulakan mereka,” ujar Zakiah.

Bagaimanapun, Zakiah cepat sedar apabila ujudnya Unit Selamatkan Aqidah (USA) ditubuhkan ketika Dr Hasan menerajui Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau pergi mendengar penerangan dan mendapatkan nasihat sebelum berjaya menyakinkan suaminya untuk kembali ke pangkal jalan.

Pasangan itu menasihatkan orang ramai beragama Islam supaya berhati-hati dan jangan  mengulangi kesilapan mereka setelah terpesong daripada landasan Islam.

Dalam satu video lain, ditunjukkan Dr Hasan sedang mengIslamkan semula seorang lelaki Melayu dikenali Mohd Shafiq berusia 27 tahun di Pulau Pinang.

Memang sayang, video pengakuan tersebut tidak dapat disiarkan sebagai bukti betapa seriusnya usaha pihak tertentu memujuk orang Islam menyertai agama mereka yang bertentangan dengan perlembagaan negara.

Bagaimanapun, PAS memperlekeh pendedahan video oleh Dr Hasan dengan kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman bahawa tindakan Adun Gombak Setia itu tidak penting.

Sebab itu, Dr Hasan cukup angin dan berkali-kali tunjuk akhbar yang siar kenyataan Dr Rani bahawa PAS Selangor dan Pusat lebih utamakan soal pengundi untuk pilihan raya akan datang.

“”Inilah contoh parasit dalam PAS. Inilah ketua parasit di Selangor. Sepatutnya ahli-ahli singkir pemimpin macam ini dari PAS,”  katanya.

Menjawab soalan, Pengerusi JATI itu  berkata, ada enakmen undang-undang Islam patut dilaksanakan dan dikuatkuasakan tetapi sukar kerana tentangan daripada DAP dan PKR.

Bagaimanapun katanya, selepas Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor jadi Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, sepatutnya usaha menyekat pemurtadan ini dapat ditingkatkan.

Katanya, Khalid ada ‘tongkat besar’ (kuasa MB) dan kena bertegas bukannya memberi jawapan umum apabila perkara itu dibangkitkan.

Apapun, Dr Hasan sudah buktikan memang ujudkan usaha memurtadkan orang Islam walaupun ada pemimpin dalam PAS meragui kenyataanya ketika masih dalam parti.

Pendedahan melalui video itu adalah bukti jelas Dr Hasan bercakap benar dan kini Khalid kena bertanggungjawab jika perkara itu terus berlaku di Selangor. –  OLEH ROSLAN BIAN 2/4/2012




Video murtad...pendedahan yang jadi penentu kredibiliti Dr Hasan Ali

jais513

Ramai menunggu untuk melihat sendiri bukti ini.Tengahari ini tandatanya mengenainya bakal terjawab.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali akan  mengadakan sidang akhbar khas untuk mendedahkan rakaman video gerakan memurtadkan orang Islam.

Ia sebagai memenuhi janji beliau untuk membuktikan kebimbangannya mengenai tindak tanduk itu satu hal yang serius dan bukan cakap kosong.

Isu murtad yang ditangani beliau semasa menjadi Exco yang jaga urusan agama di Selangor dulu menjadi punca utama keretakan hubungannya dengan kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim dan pimpinan PAS.

Ia menjadi perang terbuka ekoran tindakan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)  keatas sebuah gereja di Damansara Utama tidak lama dulu.

Dr Hasan tidak mempedulikan pandangan Khalid dan pimpinan PAS bila beliau menyertai Perhimpunan Sejuta Umat pertama di Shah Alam dan kemudian siri jelajahnya.

Kemudiannya setelah dipecat dari PAS, dalam ceramahnya atas pentas NGO pimpinannya JATI di serata negara beliau mendedahkan mempunyai cukup bukti tentang gerakan memurtadkan orang Islam.

Dakwanya beliau mempunyai rakaman video antara mengenai pengakuan mereka yang pernah murtad dan mengikuti majlis pembaptisan, meminum air suci, menghadiri sesi makan malam keagamaan dan kursus setiap minggu serta diberikan buku dan kitab yang berkaitan.

Beliau juga mendakwa mubaligh yang terlibat memurtadkan orang Islam terdiri daripada golongan cerdik pandai termasuk ramai yang memiliki doktor falsafah (PhD) serta sarjana dalam pelbagai bidang antaranya psikologi, antropologi dan Islam.

Pendedahan video ini dikira satu detik penting untuk membolehkan umat Islam di negara ini menilai sendiri tahap gerakan memurtadkan orang Islam ini.

Ia juga dapat menjadi penentu dalam menempelak sikap pakatan pembangkang termasuk PAS yang 'pandang dingin' terhadap perjuangan Dr Hasan selama ini.

Ada juga pemerhati politik yang menilai kandongan rakaman video yang hendak didedahkan itu juga menjadi penentu persepsi orangramai  pada kredibiliti Dr Hasan sendiri.-2/3/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 233  tetamu dalam talian