25Mei2020

Agenda Daily

UMNO bincang kedudukan Zahid bulan hadapan - Annuar Musa

UMNO dijangka membincangkan kedudukan Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada mesyuarat Majlis Tertinggi bulan hadapan, kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.
 
Annuar berkata setakat ini kedudukan Ahmad Zahid, yang menghadapi tuduhan di mahkamah, tidak dibincangkan kerana ia dianggap tidak memerlukan kesegeraan.
 
“Kita kena ikut perlembagaan. Segalanya ada dalam perlembagaan jadi kita akan ikut apa yang ada dalam perlembagaan. Setakat ini belum ada apa-apa keputusan (mengenai kedudukan Ahmad Zahid),” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen Isnin.
 
Beliau diminta mengulas sama ada UMNO telah membincangkan mengenai kedudukan Ahmad Zahid.
 
Jumaat lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.
 
Ahmad Zahid, 65, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.
 
Dalam pada itu, Annuar berkata UMNO tidak mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menyatakan bahawa anggotanya yang berjawatan tinggi perlu mengambil cuti jika menghadapi tuduhan di mahkamah.
 
Katanya, sebarang keputusan parti dibuat berlandaskan kepada perlembagaan dan peraturan parti sebagai garis panduan atau oleh Majlis Tertinggi jika sesuatu isu itu tidak terkait dengan perlembagaan atau peraturan parti.
 
“Kita pembangkang, kita belum ada SOP apabila kita dalam pembangkang. Sewaktu dalam kerajaan, kalau orang kita didakwa, mungkin sesuai pada masa itu, tapi segalanya baru bagi kita sekarang, jadi kita boleh bincang,” katanya.
 
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata sudah menjadi SOP parti di mana anggota yang berjawatan tinggi perlu mengambil cuti bekerja sekiranya didakwa di mahkamah.- 22/10/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 355  tetamu dalam talian