08Disember2019

Agenda Daily

UMNO ada kaedah perundangan tentukan parti tidak dibubarkan…

‘Membujur lalu melintang patah’…itu kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mengenai tekad menentang sebarang usaha untuk membubarkan UMNO.
 
Beliau mengingatkan semangat dan kekuatan ahli UMNO di akar umbi sukar digugat dan perjuangan mereka tetap kental.
 
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan dalam usaha pihak lawan di luar sana yang cuba melakukan pecah dan perintah di dalam parti, apa yang penting dan diutamakan hari ini adalah bersatu padu.
 
Zahid berkata demikian dalam Majlis Perjumpaan Presiden dan Kepimpinan Tertinggi UMNO bersama kepimpinan UMNO Bahagian-Bahagian Peringkat Negeri Johor, di Johor Bharu Sabtu.
 
Pertemuan itu dihadiri ramai pimpinan UMNO negeri Johor.
 
“Jika Perdana Menteri mahu kita membubarkan UMNO, bujur lalu melintang patah kita tidak akan bubarkan UMNO… insya- Allah. Langkah mayat ahli-ahli UMNO dahulu sebab kita tahu di dalam suasana dan landskap politik hari ini, yang ada di negara kita mereka tidak begitu kukuh malah rapuh, kita tahu masalah dalaman di kalangan empat parti Pakatan Harapan (PH),” katanya.
 
Beliau juga memberitahu UMNO mempunyai kaedah dari segi perundangan untuk menentukan parti tidak akan dibubarkan,
 
Apapun beliau beri jaminan jika ditakdirkan dibubarkan juga,  kepimpinan parti di peringkat pusat ada kaedah untuk menyelamatkan ahli-ahli UMNO.
 
“Dalam keadaan itu, kita mahu UMNO terus mempunyai harga diri, kita mahu UMNO terus bermaruah, UMNO tidak boleh diperkudakan oleh mana-mana pihak dan insya-Allah jika ada kepimpinan khuatir parti akan diharamkan atau dibubarkan, insya Allah-kita mempunyai kaedah dari segi perundangan untuk menentukan UMNO tidak akan dibubarkan.
 
“Tetapi jika ditakdirkan dibubarkan juga, serahkan kepada kepimpinan peringkat pusat kita pun ada kaedah untuk menyelamatkan ahli-ahli dan orang-orang UMNO. Insya-Allah… kerana kita harus terus relevan dan kita bukannya melukut di tepi gantang, kita bergerak secara berpasukan sebab apa pilihan yang rakyat ada sekarang ini, mana-mana yang telah mengundi dengan penuh kemarahan ketika itu mereka telah insaf tetapi nasi telah menjadi bubur,” katanya.
 
Zahid berkata bila turun ke negeri-negeri beliau dapati bahawa ahli-ahli UMNO terus mantap dan kemantapan ini menjadikan UMNO insya-Allah terus kuat dan sukar dihancurkan.
 
“Walaupun pemimpin seorang dua lari, ahli-ahli dan pemimpin akar umbi tidak takut dan terus berada di dalam wadah UMNO. Kita bukan hanya ahli UMNO malah kita adalah orang-orang UMNO yang tidak pernah meninggalkan parti,” katanya.
 
Sementara itu bercakap dalam sidang akhbar  Zahid mengingatkan ahli parlimen UMNO yang ingin menyertai Pakatan Harapan hanya akan diperguna untuk memperkuat parti tertentu dalam pakatan itu.
 
Beliau berkata, walaupun ada usaha supaya pelompatan parti dilakukan, namun ahli parlimen UMNO membuat keputusan untuk terus bersama parti itu.
 
"Tentunya mereka berusaha menarik ahli parlimen ini untuk memperkuatkan parti yang bergabung dalam PH dan kita tahu keputusan PH tidak akan menerima ahli parlimen yang melompat kecuali dia jadi Bebas dahulu dan disebutkan oleh pemimpin utama parti berkenaan bahawa hanya mereka yang kononnya telah taubat nasuha diterima dan saya harap ia cukup jelas untuk rakyat.
 
"Tetapi yakinlah mana-mana ahli parlimen yang melompat parti itu hanya akan digunakan untuk menambah dan mempercukupkan jumlah mereka bagi menguatkan parti-parti tertentu di dalam pakatan itu," katanya.- 10/11/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 297  tetamu dalam talian