23September2019

Tarif elektrik naik...tapi tak libatkan 4.4 juta pengguna domestik

letriknaik513Orangramai khususnya yang miskin dan berpendapatan rendah yang tidak banyak menggunakan eletrik boleh menarik nafas lega.

Ini kerana pengumuman kenaikan sedikit kadar tariff elektrik, Isnin, tidak melibatkan langsung 75 peratus pengguna domestik.

Kenaikan tariff pada kadar purata 7 peratus itu akan berkuatkuasa 1 Jun ini.

Turut diumum kenaikan ialah kadar penggunaan gas untuk industri dan IPP.

Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dalam sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya .

Hadir sama ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Menurut Peter Chin kenaikan itu tidak akan menjejaskan pengguna domestik yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan atau kurang.

alt

"Ini bermakna, 75 peratus atau 4.4 juta daripada 5.94 juta pengguna domestik tidak mengalami kenaikan bil elektrik bulanan selagi mereka mengekalkan penggunaan elektrik pada kadar 300 kWj sebulan," katanya.

"Semakan tarif asas ini akan membolehkan TNB mempertingkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur pembekalan elektrik yang lebih baik termasuk pengukuhan infrastruktur sistem penghantaran dan pengagihan," kata beliau.

TNB dijangka melabur sebanyak RM4.5 bilion setiap tahun untuk menyediakan dan menaik taraf sistem infrastruktur bekalan elektrik.

Chin berkata selaras dengan usaha kerajaan untuk merasionalisasikan harga tenaga mengikut mekanisme harga pasaran, maka kerajaan telah bersetuju supaya mekanisme pelepasan kos bahan api diguna pakai dalam penetapan tarif elektrik di masa hadapan.

Selain itu Chin berkata, kerajaan juga memberikan bekalan elektrik PERCUMA kepada pengguna berpendapatan rendah yang menggunakan elektrik berjumlah RM20 dan ke bawah sehingga 31 Disember tahun ini.

"Kerajaan dijangka akan menanggung kos sebanyak RM122 juta setahun bagi membiayai bekalan elektrik percuma kepada 900,000 pengguna di Semenanjung," katanya.

Agendadaily difahamkan, dalam bahasa mudahnya untuk pengguna elektrik kurang RM20 sebulan percuma, pengguna kurang RM77 tidak mengalami sebarang kenaikan, dan selebihnya kenaikan maksimum RM6 untuk tarif elektrik baru ini.

Kali terakhir kerajaan menaikan tarif elektrik adalah pada 2007-30\5\2011- OLEH HELME HANAFI

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 254  tetamu dalam talian