23September2019

Steadylah Anwar...apa lagi yang nak takut pada Najib

anwar-najib513Seronok juga tengok Datuk Seri Anwar Ibrahim terpanggil untuk mengadakan  sidang akhbar di ibupejabat PKR pagi Isnin untuk mengulas Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang tutup tirai petang Sabtu  lalu.

Selain dari sidang akhbar itu,pada hari sama  'imam besar' pakatan pembangkang itu juga ada mengeluarkan satu kenyataan media khusus komen mengenai perhimpunan di Pusat Dagangan Dunia Putra itu.

Ada juga kalangan wartawan termasuk Agendadaily yang tidak sempat membuat liputan sidang akhbar itu kerana terlewat mendapat tahu mengenainya.

Namun beberapa rakan wartawan yang hadir secara berjenaka kata 'cukup rugi' tak hadir sidang akhbar itu.

"Anwar buat press confrence itu sebab dia rasa takut...".Itu antara komentar rakan-rakan wartawan itu.

"Nampak sangat cemas, dia dok menggulung ucapan penggulungan Najib," kata mereka.

Antara analisis yang dibuat oleh Anwar dalam sidang akhbar itu ialah ucapan pengulungan Najib diakhir perhimpunan  bukti Perdana Menteri tidak mempunyai pengaruh sehingga terpaksa menyebut nama Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan..

"Saya tidak fikir dia (Najib) mempunyai keberanian untuk menangani keadaan, jadi dia akan perlu ambil hati (Dr Mahathir). Dia tidak mempunyai pengaruh untuk menguatkuasakan dasar atau pandangannya sendiri,"kata Anwar.

Sebenarnya dalam ucapan itu Najib menyuarakan penghargaan kepada Dr Mahathir yang secara sukarela terus membantu UMNO jumpa bahagian-bahagian UMNO memberi nasihat agar eratkan perpaduan.

Pada ucapan itu beliau juga menyuarakan penghargaan pada Tun Abdullah Badawi yang turut hadir semasa sesi pengulungan.

Najib dalam ucapan penggulungan paling ringkas dalam sejarah beliau sebagai presiden UMNO itu, juga menyuarakan penghargaan beliau kepada seorang ahli UMNO Jasin, Cikgu Seman dan kumpulan Wanita UMNO yang berada di luar dewan, depan skrin besar, setiap hari sepanjang persidangan hanya untuk mengikuti apa yang dibahaskan perwakilan.

Bagi yang paham makna ucapan Najib, kisah Cikgu Seman dan kumpulan Wanita UMNO itu adalah analogi kepada ahli-ahli UMNO yang setia kepada pada parti. Tidak kisah siapa pemimpinnya, UMNO selamanya di hati.

Mereka tanpa ada kepentingan tertentu, telah menunjukkan rasa setia kepada UMNO. Cikgu Seman misalnya, menangis mendengar ucapan penuh semangat Najib ketika merasmikan perhimpunan pada Khamis lalu.

Beliau menangis bukan hiba, beliau menangis gembira, melihat keyakinan sang pemimpin, bahawa UMNO sekali lagi akan bangkit selepas tersadung dalam pilihanraya umum ke 12 pada Mac 2008.

Ramai pemerhati yang melihat kehadiran serentak Dr Mahathir dan Pak Lah jelas menunjukkan Najib satu-satunya Perdana Menteri yang disokong oleh dua bekas Perdana Menteri.

Dr Mahathir ketika era kepimpinannya pernah dikritik hebat oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn. Rasanya semua tahu bagaimana kerasnya krtikan Dr Mahathir kepada Pak Lah.

Sedangkan semasa era Najib, dari awal peralihan kuasa kedua-dua bekas Perdana Menter itu untuk berada di dalam safnya.

Itulah kelebihan Najib, yang dikatakan amat meresahkan Anwar.

Anwar tahu, formula kemenangan pembangkang pada PRU12 bukan sangat kerana kekuatan PKR, DAP atau PAS.

Apa yang menyebabkan rakyat memilih pembangkang adalah keliru melihat perpecahan dalam UMNO dan BN ketika itu.

Kritikan hebat Dr Mahathir pada Pak Lah  banyak mempengaruhi undi dalam PRU12 terutamanya di negeri-negeri Melayu.

Apa yang mengusarkan Anwar kini, adalah melihat UMNO yang bersatu teguh seperti kata Najib, "akan memasuki medan perang, sebagai satu pasukan, yang sederap dan padu..."

Ketidakyakinan pembangkang boleh dilihat pada Ahad, sehari selepas Najib tunjuk perpaduan UMNO, seorang pemimpin DAP Pulau Pinang dalam konvensyen parti tersebut mengatakan BN boleh menang 120 kerusi manakala pembangkang 100, entah siapa yang menang lagi dua kerusi tidak pulak dinyatakannya.

Jika analisis tersebut menjadi indikasi, maka jelas hasrat Anwar untuk ke Putrajaya tinggal mimpi.

Mungkin ramai orang luar yang tidak tahu Anwar, bukan pemimpin yang mempunyai strategi perjuangan jangka panjang.

Jika dikaji dan diteliti, semua strategi Anwar adalah jangka pendek dan sederhana yang mementingkan 'fast result'.

Sesetengah strategi politiknya kemudian menjerat dirinya sendiri, ambil saja contoh janji politiknya kepada penduduk Kampung Buah Pala sebelum PRU12 dan bagaimana janji yang ditabur dari bibir yang manis kemudiannya makan diri.

Samalah kisah beliau berdemo berdepan kedutaan Amerika Syarikat kutuk APCO dan kemudian pergi ke New York minta ampun. Kisah tersebut jadi bahan kelakar para diplomat beberapa tahun dulu.

Juga sokongan membabi buta kepada Isreal yang beliau buat dalam satu temubual dengan akhbar Wall Street Journal (WSJ) pada 26 Januari 2011, yang makan diri ketika serangan rejim Yahudi itu di Gaza baru-baru ini.

Itu hanya sebahagian contoh, Anwar hilang sebahagian sokongan dalam PRU 12 ketika mahu berdepan dengan PRU13, kerana strategi jangka pendek mahu meraih undi dengan menabur janji yang kemudiannya tidak dapat ditunaikan.

"Janji BN janji ditepati, Janji PR janji dicapati" begitu slogan yang popular di laman micro blog twitter tidak lama dulu.

Jangan terkejut itulah juga punca Anwar hilang leftenan, macam Datuk Seri Zahrain Hashim, Datuk Salahuddin Hashim, Datuk Zulkifli Nordin, Senator Ezam Mohd Noor, Zahid Md Arip dan ramai lagi, yang tidak tahan duduk dalam PKR yang berserabut dengan masalah yang tidak selesai.

"Semua masalah parti sendiri sapu bawah karpet dan serang parti lawan untuk sembunyi masalah sendiri..." itu kata-kata bekas pemimpin PKR Abdul Ghani Harun ulas stail politik Anwar.

'Tahi politik' Anwar di mana-mana. Bau busuk tersebut kini menyebar dikalangan rakyat. Orang makin hari makin tidak yakin dengan corak kepimpinan yang ditunjukkan Anwar.

Jadi untuk tutup kelemahan diri, Anwar cepat-cepat serang Najib. Tuduh UMNO, itu ini, dan sebahagian kecil penyokong tegar pembangkang percayakan beliau.

Sebahagian kecil sahaja, sebab rupa-rupanya ramai ahli PAS akar umbi meluat dengan Anwar sehingga merasakan beliau tidak layak memimpin Malaysia jika pembangkang menang.

Perasaan ini tidak dapat diselindung lagi bila ia ' terbongkar' semasa Muktamar PAS baru-baru ini hingga timbul polimek mahukan Datuk Seri Haji Hadi Awang jadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya menguasai Putrajaya.

Dengan perpaduan yang ditunjukkan UMNO pada perhimpunan 2012, dan seperti kata Najib, "UMNO is ready" berdepan PRU13. Kegelisahan nyata Anwar adalah, beliau sudah berjanji untuk bersara dari  politik selepas PRU13 akan datang jika gagal menawan Putrajaya.

Ya ini satu lagi janji yang akan kita sama-sama kena pantau ...apakah ditepati atau dicapati.-4/12/2012 OLEH HELME HANAFI

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 274  tetamu dalam talian