21April2019

Siasatan kes cabul babit anggota Parlimen hampir selesai - Polis

KEMASKINI : Siasatan kes cabul remaja bawah umur membabitkan seorang anggota Parlimen di Perlis, hampir selesai setelah pihak polis merekodkan keterangan 10 individu termasuk kenyataan suspek di Bukit Aman, pagi tadi. 
 
Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata pihaknya turut merekodkan keterangan ibu, bapa dan guru mangsa serta pemandu suspek yang dikatakan berada di tempat kejadian sewaktu insiden itu berlaku.
 
“Kita jangka kertas siasatan akan siap dalam masa terdekat dan akan dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian sebelum diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di Kangar Selasa.
 
Beliau berkata pihaknya tidak pernah menghentikan siasatan kes berkenaan walaupun ia melibatkan VVIP, seperti mana yang didakwa sesetengah pihak.
 
“Mangsa berusia 15 tahun mendakwa dicabul pada 11.30 malam, 20 Okt lepas di dalam sebuah kereta di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra dan pihak polis menerima laporan pada 2.50 pagi, 21 Okt lepas.
 
“Bagaimanapun, mangsa menarik balik laporan pada 10.30 pagi pada hari yang sama dengan alasan tidak mahu memanjangkan perkara berkenaan, namun pihak polis tidak pernah hentikan siasatan sejak menerima laporan kes itu,” kata Noor Mushar. 
 
Ketika ditanya adakah wujud unsur sogokan atau ugutan sehingga mangsa yang berasal dari Mata Ayer, Padang Besar menarik balik laporan itu, Noor Mushar berkata pihaknya akan membuka kertas siasatan jika menerima laporan mengenainya.
 
"Buat masa ini belum ada sebarang laporan mengatakan mangsa disogok atau diugut, jadi saya minta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau menuduh pihak polis tidak melakukan kerja.
 
“Kami menjalankan siasatan tanpa berat sebelah dan dalam masa yang sama kami ingin ‘menjaga’ mangsa kerana tidak mahu beliau menghadapi tekanan emosi atau sebarang gangguan kerana kes ini menjadi perhatian umum,” katanya.
 
Sementara itu, Noor Mushar ketika dihubungi berkata polis akan memanggil lebih ramai saksi berhubung kes berkenaan bergantung kepada siasatan.
 
“Kami akan panggil beberapa lagi saksi untuk melengkapkan siasatan kes bagaimanapun perkara ini akan dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya.
 
“Anggota Parlimen berkenaan telah hadir lewat pada tengah hari tadi di Bukit Aman bagi direkodkan keterangan kes itu dan polis selesai mengambil keterangan pada kira-kira 5 petang tadi,” katanya.- 30/10/2018
 
 
 
 
 
Ini semua salah faham - kata Ahli Parlimen didakwa cabul pelajar
 
 
Rasanya ramai sudah tahu siapa Ahli Parlimen dari Perlis yang dikaitkan dalam kes mencabul seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.
 
Ia sudah disebar meluas sekalipun dari etika penulisan berita nama orang dalam kes seperti ini tidak boleh disebut hingga dia didakwa atau sedia buat kenyataan.
 
Perlis bukannya besar.Ada tiga kawasan Parlimen – Kangar,Arau dan Padang Besar sahaja.Ahli Parlimen itu pula disebut sebagai bekas Menteri.
 
Kes itu didakwa berlaku pada 20 Oktober lalu dan ia menjadi hangat bila timbul dakwaan konon ada usaha untuk tutup kes itu.
 
Keluarga pelajar itu sendiri dikatakan sudah tarik balik laporan polis yang dibuat.
 
Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. dilaporkan berkata, pihaknya menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kes tersebut telah ditutup.
 
Polis dijangka  akan ambil keterangan dari Ahli Parlimen berkenaan esok Selasa.
 
Sementara itu Ahli Parlimen berkenaan yang dihubungi wartawan dakwa isu dia dituduh mencabul itu timbul kerana salah faham.
 
Katanya dia langsung tidak mempunyai niat menyentuh pelajar itu.
 
Menurutnya dia sudah lama mengenali keluarganya yang telah bertindak membuat laporan polis selepas itu.
 
“Ini semua salah faham sahaja antara mereka. Sewaktu kejadian yang kononnya didakwa cabul itu bukan berlaku di tempat yang sunyi tetapi di kawasan khalayak ramai.
 
“Saya tidak mahu panjangkan perkara ini kerana kasihan kepada pelajar itu dan dia ada masa hadapan yang cerah," katanya.
 
Difahamkan ikut laporan polis yang dibuat kejadian yang melibatkan pelajar dari Arau berlaku selepas Ahli Parlimen itu melihat dia buat persembahan dengan sebuah band di Stadium Syed Putra.
 
Gurunya telah memberitahu Ahli Parlimen itu ingin bertemu dengannya.
 
Dia kemudian pergi ke kereta Ahli Parlimen itu yang tawarnya untuk buat persembahan di Kuala Lumpur.
 
 Dakwanya Ahli Parlimen itu telah memegang tangannya dan urut bahunya.
 
Dia terus lari keluar dari kereta itu. – 29/10/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 508  tetamu dalam talian