02Julai2020

Agenda Daily

Siapa kata Pengerusi dan Pengarah Besar FELDA tidak ngam...

dzul-maslan-isaMana ada? Begitulah ayat pertama yang terkeluar daripada mulut pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad apabila diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa blog pembangkang kononnya beliau dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dzulkifli Wahab tak “ngam”.

“Kalau kita bergantung kepada laporan blog pembangkang, saya baik pun dengan Datuk Dzul dan bersalam, mereka tetap akan sebut. Pembaca kena faham mana blog yang neutral, pro kerajaan dan anti kerajaan.

“Tapi kalau tengok blog pembangkang, tak ada satu pun yang betul. Zaman media baru ini kita tak boleh halang orang menulis. Tapi kita membuat sesuatu yang baik. Jadi our conscience is clear. Tak ada apa-apa yang berlaku antara saya dan Datuk Dzul,” jelas Isa pada sidang media, Jumaat.

Sidang media berkenaan diadakan selepas majlis penganugerahan Semai Bakti 2011 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, di MAEPS, Serdang.

Sementara itu Dzulkifli berkata beliau juga terkejut isu itu masih dibangkitkan walaupun dia sudah membuat penjelasan di Kuantan pada 26 Oktober lalu, malah kenyataannya telah disiarkan di televisyen.

“Cara saya berhubung dengan Tan Sri ada ke menggambarkan begitu? Saya sendiri tak rasa apa-apa. Semuanya berjalan seperti biasa. Kalau ada perkara yang perlu dirujuk kepada pengerusi, saya akan datang sendiri ke pejabatnya.

“Jika ada program Tan Sri yang tidak bertembung dengan saya, pasti saya akan turut sama,” katanya.

Pada sidang media itu yang turut dihadiri oleh Ahmad Maslan, kedua-dua ketawa apabila diminta bergambar dan bersalam.

“Eh! Macam orang bergaduh pula nak suruh salam,” kata Isa sambil ketawa ketika diminta diminta berposing bersalam dengan Dzulkifli dengan disaksikan oleh Ahmad Maslan.

Isu kononnya Dzulkifli bermasam muka dengan Isa kerana pengerusi itu dikatakan mahu menyingkirkannya ditimbulkan oleh blog-blog pembangkang selepas pengumuman penyenaraian Felda Global Ventures beberapa bulan lalu.

“Benda itu saya dah jelaskan sejak awal, Saya ambil alih KPF (Koperasi Permodalan FELDA – anak syarikat Felda Global Ventures) sebab saya tak ada kuasa eksekutif. Datuk Dzul dan Datuk Sabri ada kuasa eksekutif sebab mereka pengarah besar FELDA dan CEO Felda Global Ventures.

“Jadi dalam urus tadbir yang baik kita perlu lebih telus supaya apabila kita disenaraikan kita akan dapat keyakinan daripada masyarakat tempatan dan luar negara. Mereka tengok apa yang kita buat ini adalah satu proses yang telus. Itu saja, Tetapi isu ini ditimbulkan seolah-olah saya nak ambilalih.

“Buat apa saya nak ambil jawatan KPF sebab saya dah jadi pengerusi felda. Tapi pilihan tak ada. Kalau saya tak ambil pun kena pilih orang lain yang tak mempunyai kuasa eksekutif untuk jadi pengerusi menguruskan KPF dalam proses penyenaraian,” jelas Isa lagi.

Menurut Isa, beliau dan Datuk Dzulkifli telah membuat lawatan ke hampir seluruh tanah rancangan FELDA untuk memberi penerangan kepada peneroka mengenai penyenaraian Felda Global Ventures dan setakat ini majoriti faham dan menyokong.

“Dari semasa ke semasa ada perkara yang kita boleh terangkan kepada peneroka dan ada perkara yang tidak boleh diberitahu kerana kita terikat dengan peraturan yang ditetapkan oleh suruhanjaya sekuriti.

“Ada benda yang kita belum beritahu dan ada yang kita patut beritahu. Akhirnya setelah semua ini (penyenaraian) selesai, semua akan tahu,” tambah Isa.

Mengulas mengenai persediaan FELDA menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) akan datang, Isa berkata, dia yakin kerajaan Barisan Nasional (BN) akan dapat mempertahankan 54 kawasan parlimen yang membabitkan FELDA kerana pembangkang tidak mempunyai isu lagi untuk dijadikan modal.

“Isu yang ada pun banyak isu rekaan, bukan oleh peneroka tetapi dari orang yang menentang kerajaan. Isu pembangkang mahu mahu mengagihkan Felda Plantations kepada generasi kedua sudah terjawab. Pengapungan Felda Global Ventures juga sudah diterangkan kepada seluruh masyarakat FELDA. Daripada road-show yang kami buat, majoriti bersetuju dan menyokong.

“Sebenarnya peneroka kurang jelas. Apabila kurang jelas, mereka salah anggap. Mereka ingat kita nak apungkan Koperasi. Saya tak nampak isu lain. Pengundi di kalangan peneroka sudah nampak kemajuan dan menerima nikmat daripada pembangunan yang dibuat oleh kerajaan. Generasi kedua pula sudah nampak nikmat yang diperolehi oleh ibubapa mereka,” katanya. – 11/11/11-OLEH NOOR HASILAH ISMAIL.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 376  tetamu dalam talian