18Jun2019

“Saya racun kuat”…kata Tengku Razaleigh akui tak dijemput lompat masuk PPBM

Dicelah kehangatan orang jual cerita konon 40 orang Ahli Parlimen UMNO hendak lompat masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) nama Tengku Razaleigh Hamzah langsung tidak kedengaran dikaitkan.
 
Apakah ada pihak yang gentar pada Ahli Parlimen UMNO kawasan Gua  Musang,Kelantan ini yang kini merupakan Ahli Parlimen yang paling senior di Dewan Rakyat.
 
Mungkinkah kerana Tengku Razaleigh ada sejarah pernah berentap sakan dengaan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan UMNO tahun 1987 dan kalah cuma dengan beza 43 undi sahaja.
 
Pada tahun 1988 beliau keluar dari UMNO untuk tubuh parti Semangat 46.Namun pada 1996 beliau bubar parti itu untuk masuk balik UMNO.
 
Ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen Isnin Tengku Razaleigh memberitahu tidak tahu menahu mengenai gerakan untuk menarik 40 Ahli Parlimen UMNO masuk PPBM dan beliau sendiri tidak pernah dijemput.
 
“Tak ada (pelawaan). Saya racun kuat. Tak berapa nak terima saya barangkali,”katanya sambil tetawa sinis mungkin merujuk kepada sejarah politiknya lawan Dr Mahathir.
 
Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh sebelum itu mengakui memang terdapat dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO yang dilamar untuk menyertai PPBM.
 
Pada Sabtu lalu pula Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk Kadir Jasin mendakwa 40 Ahli Parlimen UMNO mungkin lompat masuk parti itu.
 
Tengku Razaleigh juga secara sinis menyifatkan dakwaan Ahli Parlimen UMNO nak masuk PPBM ibarat “ cerita ular sawa dijemput masuk sarang ular lidi” yakni orang dari parti besar nak masuk parti kecil.
 
Apapun menjawab soalan lain beliau menolak kemungkinan UMNO akan terkubur jika betul berlaku lompat parti.
 
"UMNO tidak akan habis, nak hancur bagaimana, UMNO ini parti akar umbi. Di mana-mana pun ada UMNO, di kampung dan ceruk mana pun ada, sudah dekat 70 tahun.
 
“Bukan mudah, sudah ada sejarah dan perjuangannya berasas termasuk ketika melawan penjajah," katanya.- 29/10/2018
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 414  tetamu dalam talian