23September2019

Sandiwara Lahad Datu: Enggan minta maaf...UMNO pula saman Tian Chua

kunan-baru200UMNO Malaysia meneruskan tindakan undang-undang terhadap Tian Chua selepas tempoh yang diberi kepadanya untuk memohon maaf dan tarik balik dakwaan insiden Lahad Datu sandiwawa UMNO tamat.

Setiausaha Agung UMNO,Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Isnin  tindakan undang-undang berkaitan kenyataan Naib Presiden PKR itu di Keadilan Daily I Mac lalu diambil oleh penasihat undang-undang parti, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Kenyataan Tian Chua di akhbar berkenaan disiarkan dibawah tajuk : Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang UMNO - Tian Chua.

Pengurusan kes tersebut telah ditetapkan pada 11 April di KOmplek Mahkamah Jalan Duta,Kuala Lumpur dengan Tian Chua dinamakan defendan pertama manakala Editor Keadilandaily.com adalah defenden kedua serta Aisha Geoffery iaitu penulis dan wartawan laman tersebut defenden ketiga.

Khamis lalu Tian Chua sudah hadapi dakwaan atas perbuatan sama dari pihak kerajaan di Mahkamah Sesyen Jalan Duta.-18/3/2013




Sandiwara di Lahad Datu :UMNO bagi 7 hari pada Tian Chua tarik balik fitnah atau saman


“Serangan tembak menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat”.Ini antara tertera kata-kata Naib Presiden PKR ,Tian Chua dalam akhbar Keadilan Daily pada 1 Mac yang dakwa insiden di Lahad Datu satu sandiwara kerjaan .

Satu perenggan lagi “…insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO”

Yang Lain pula “mengulas lanjut, Tian menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.”

Ini lagi...“Ada konspirasi oleh Kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.”

Apa ini semua kalau bukan kata-kata fitnah yang dihambur oleh Tian Chua.

UMNO sudah tidak boleh tolak ansur dengan gelagat keterlaluan yang cuba menjatuhkan dan merendahkan maruah dan kredibiliti UMNO yang menjadi tulang belakang Kerajaan Barisan Nasional yang mentadbir Malaysia.

Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengarahkan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor  untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen PKR kawasan Batu,Kuala Lumpur itu.

Tengku Adnan memberitahu menerusi satu kenyataan media tindakan undang-undang telah diambil melalui Penasihat Undang-undang UMNO, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

“Notis telah dihantar kepada Tian Chua dengan menuntut beliau dalam masa tujuh hari bermula hari ini, 4 Mac 2013 untuk berhenti daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berkenaan isu di atas atau sebarang kenyataan yang serupa terhadap UMNO, membuat satu permohonan maaf tidak bersyarat dalam bentuk bertulis dan penarikan balik kenyataan berunsur fitnah tersebut atau kenyataan yang serupa dengannya terhadap UMNO.

Tian Chua juga perlu menerbitkan penarikan balik kenyataan berunsur fitnah dan permohonan maaf tersebut dan menyediakan satu akujanji bertulis bahawa beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah tersebut atau kenyataan yang serupa serta membayar gantirugi untuk kerosakan reputasi yang teruk dan gantirugi terhadap kos dan perbelanjaan yang ditanggung oleh UMNO berhubung perkara ini.

“UMNO tidak memandang ringan terhadap perbuatan fitnah dan sekiranya sebarang maklumbalas tidak diterima berhubung tuntutan terbabit maka bermakna Tian Chua tidak menafikannya dan juga berniat untuk meneruskan penerbitan berunsur fitnah.

“Oleh itu, UMNO akan meneruskan prosiding mahkamah terhadap YB Chua Tian Chang tanpa sebarang rujukan kepada beliau termasuklah untuk memfailkan injuksi bagi menghalang penerbitan lanjut berkaitan isu ini.”

Tengku Adnan berkata kenyataan yang dibuat oleh Tian Chua adalah berunsur fitnah yang telah membawa maksud:

i. UMNO yang merancang insiden pencerobohan di Lahad Datu;

ii. UMNO berkonspirasi kononnya bersama pejuang Kesultanan Sulu di Lahad Datu;

iii. UMNO dengan sengaja mahu menakut-nakutkan rakyat dengan insiden di Lahad Datu ini;

iv. UMNO merupakan pembelot Negara yang kononnya membawa masuk pejuang Kesultanan Sulu di Lahad Datu;

v. UMNO adalah dicurigai ketelusannya dalam menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Malaysia;

vi. UMNO adalah dalang dalam konspirasi jahat untuk memenangkan Barisan Nasional di Negeri Sabah dalam pilihan raya akan datang;

vii. UMNO tidak mempunyai kredibiliti;

viii. Setiap tindakan dan perlakuan UMNO adalah dicurigai akan ketelusannya;

ix. UMNO sanggup memprejudiskan keamanan Malaysia dengan berkonspirasi dengan pejuang Kesultanan Sulu di Lahad Datu;

x. UMNO sanggup menggadaikan tanah air sendiri untuk kepentingan politik; dan

xi. UMNO dengan sengaja mengaburi rakyat bagi menutup konspirasi-konspirasi jahat lain yang dibuat oleh UMNO.-4/3/2013

Tak ada pelakon sandiwara sanggup mati....

Memang tidak ada lojik langsung dakwa standoff di Lahad Datu satu sandiwara UMNO untuk takutkan orang Sabah.Datuk Seri Najib Tun Razak belasah sakan Naib Presiden PKR Tian Chua yang membuat dakwaan yang disifatkannya ' sangat keji dan tidak ada hati perut'.
 
"Tak ada pelakon sandiwara sanggup mati...ini pendustaan besar,"katanya ketika berucap pada ribuan orang di majlis Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Perlis di perkarangan Stadium Kangar pagi Ahad.
 
Beliau memberitahu dakwaan sandiwara juga dibuat semasa peristiwa berdarah di Sauk dan Memali dulu.
 
Najib memberi jaminan UMNO tidak sekali-kali akan main sandiwara dengan hal-hal yang libatkan keselamatan negara dan nyawa manusia.
 
"Jangan main politik libat keselamatan dan nyawa,"tegasnya.
 
Perdana Menteri juga anggap perbuatan pembangkang itu seolah menghina pengorbanan anggota keselamatan yang terkorban dalam kejadian di Lahad Datu.
 
Katanya beliau sangat sedih dengan kematian dua anggota komando polis lebih-lebih melihat anak-anak Allahyarham.-3/3/2013


Lahad Datu: Tian Chua menyerang sebelum diserang!

Sudah kerap jika ada kes babitkan kematian yang cetuskan kontroversi,pembangkang tak tunggu lama untuk jadikannya modal politik mereka.Lihat sajalah mereka mengeksploitasi kematian pembantu Exco Selangor,Teoh Beng Hock, pegawai Kastam Ahmad Sarbaini Mohamad dengan menyalahkan SPRM dan beberapa kes lain babitkan polis.

Senang cakap, hal mati pun pembangkang akan politikkan asal dapat mereka tuduh kerajaan bersalah dan tidak bertanggungjawab.

Terbaru dalam kes pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah hingga cetuskan kematian pihak keselamatan negara pada Jumaat, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunggu lama untuk kecam kerajaan.

Walaupun ucap takziah pada keluarga dua anggota komando yang terkorban, Anwar menyalahkan kerajaan kerana gagal memastikan kawalan keselamatan di perairan negara.

Naib Presiden PKR, Tian Chua pula membuat fitnah dan tuduhan liar kononnya UMNO jadi dalang konspirasi terancang bagi ambil alih perhatian dan menakutkan rakyat.

"Ada konspirasi oleh kerajaan Umno untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing," katanya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayob pula ketika rakyat turut bersedih dengan insiden itu yang belum dapat diselesaikan lagi, sibuk mahu Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak panggil sidang khas Parlimen.

Untuk apa Anwar, Tian Chua dan Salahuddin buat semua itu ketika kerajaan dan pihak keselamatan sedang berusaha memastikan insiden itu berakhir tanpa pertumpahan darah demi menjaga nama baik negara?

Sebab itu ramai yang mengecam tindakan pemimpin pembangkang itu terutama dakwaan Tian Chua.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyifatkan kenyataan ahli parlimen Batu itu hanyalah untuk mengaut keuntungan politik dengan mengeksploitasi insiden di Lahad Datu.

Bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata kenyataan Tian Chua itu adalah skrip standard dari DAP yang langsung tidak peka dan tidak sensitif kepada isu keselamatan negara.

"Dengan membuat kenyataan seumpama ini, dia boleh dianggap sebagai manusia yang mempunyai martabat paling rendah. Ini adalah satu kenyataan melulu yang tidak kita harapkan daripada seorang manusia yang sopan, katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menyifatkan kenyataan Tian Chua itu sebagai "jahat dan jahil" .

"Umno bukan macam pembangkang dalam beberapa peristiwa yang lepas telah mengkhianati negara ini," katanya.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang menggelar Tian Chua sebagai "pembawa cerita bohong bersiri" yang sentiasa mencari kesalahan UMNO dan kerajaan walaupun dalam situasi genting.

"Dia adalah ekstremis dan saya tidak terkejut dengan kenyataannya itu.Memang tugas dia memburukkan Umno tanpa bukti, tapi secara spontan...Ini membabitkan isu keselamatan, dan bukan (masa untuk) political mileage," tegasnya meminta Tian Chua mengemukakan bukti dakwaannya itu.

Bagaimanapun, ada juga tertanya-tanya kenapa Tian Chua cuba mengheret UMNO dalam isu pencerobohan di Lahad Datu.

Apakah kerana sebelum ini nama Anwar dikaitkan dengan kumpulan yang melakukan pencerobohan itu?

Atau ianya juga mungkin kerana permintaan penceroboh terbabit untuk bertemu personaliti tertentu ketika mereka berunding dengan pihak keselamatan sebelum ini.

Dan antara paling ramai pemimpin pembangkang terutama dalam PKR, kenapa Tian Chua ke depan membuat tuduhan itu?

Mungkin ramai tahu selain bijak mengeksploitasi sesuatu isu, pembangkang khususnya dalam isu yang berkait dengan Anwar, mereka akan mempertahankannya terlebih dahulu sebelum isu itu jadi bahan umum.

Sebagai contoh lihat bagaimana Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mempertahankan Anwar dalam isu kad pengenalan kepada rakyat asing di Sabah dengan mengatakan Anwar akan dikaitkan dalam projek IC ketika siasatan RCI.

Justeru itu, melihat tindakan Tian Chua cuba mengaitkan UMNO dalam insiden di Lahad Datu, tentu ada boleh menduga tujuannya.

Jelaslah Tian Chua ‘menyerang’ sebelum ‘diserang.

Tindakan sama dilakukan Azmin dalam mempertahankan Anwar berhubung projek IC di Sabah.

Dengan memfitnah UMNO, Tian Chua mungkin berharap dakwaan beberapa media Filipina bahawa Anwar dipercayai terbabit disebalik pencerobohan kumpulan bersenjata yang menggelar diri mereka Tentera Diraja Kesultanan Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu dapat dikaburi.

Walaupun, Anwar sudah menafikan apa dilaporkan media negara jiran itu tetapi Ketua Pembangkang itu turut menuding jari kearah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang disifatkan sebagai lambat bertindak ke atas pencerobohan kumpulan bersenjata itu sejak dua minggu lalu.

Itu hak Anwar untyuk menafikannya tetapi portal berita Filipina 'Inquirer News' sebelum ini mendedahkan, seorang pemimpin utama pakatan pembangkang di Sabah yang rapat dengan Ketua Umum PKR itu
membuat pertemuan bersama pihak penceroboh dan menawarkan jaminan sokongan terhadap tuntutan kumpulan itu di Sabah.

Menurut portal itu lagi yang memetik sumber perisikan Filipina dilaporkan sebagai berkata, pertemuan itu berlaku November tahun lalu menyebabkan Sultan Sulu, Jamalul Kiram II mengarahkan pengikutnya menceroboh Kampung Tanduo bagi menuntut sebahagian dari Sabah.

"Ahli politik ini merupakan salah seorang yang mengadakan pertemuan dengan Jamalul Kiram. Beliau menawarkan sokongan pembangkang Malaysia ke atas tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah," kata sumber perisikan itu sebagaimana dipetik daripada Inquirer News.

Selain Inquirer News, pada 14 Februari lalu, agensi antarabangsa, The Reuters yang memetik kenyataan seorang pegawai tentera Filipina mendakwa, pencerobohan kumpulan bersenjata itu berlaku ke atas
jemputan pembangkang di negara ini.

Lapor Reuters, kumpulan 150 orang diketuai Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzumudie itu mendarat di Lahad Datu bagi membincangkan isu tuntutan tanah ekoran jemputan daripada pemimpin pembangkang negara ini.

Selain Reuters, akhbar dalam talian, The Manila Times menerusi koresponden mereka, Al Jacinto juga mendakwa, pencerobohan tersebut ada kaitan dengan janji pembangkang di Malaysia memberikan kuasa autonomi kepada Sabah jika berjaya membentuk kerajaan kelak.

Apakah Anwar boleh menafikan semua dakwaan dalam laporan ini dan menuduh semuanya akhbar UMNO? – 2/3/2013- OLEH ROSLAN BIAN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 276  tetamu dalam talian