23Mac2019

Protes bersama UMNO-PAS di sidang DUN Kedah terhadap budaya lompat parti…

Ini kali pertama berlaku sejak adanya gelagat sebilangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO keluar parti selepas BN tewas kerajaan pusat dalam pilihanraya umum ke 14.
 
Terbaru pada Isnin semalam ADUN Guar Chempedak, Kedah Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail keluar UMNO untuk jadi wakil rakyat Bebas.
 
Tindakan beliau menyebabkan UMNO yang sebelum ini ada tiga ADUN di negeri itu kini tinggal dua sahaja yakni Datuk Suraya Yaakob Sungai Tiang dan Datuk Norsabrina Mohd. Noor Bandar Baharu.
 
Pada sidang Dewan Undangan Negeri di Alor Star Selasa kesemua 17 ADUN blok pembangkang – dua dari UMNO dan 15 PAS bertindak memprotes secara bersama terhadap budaya lompat parti.
 
Kesemua mereka telah keluar dewan sebaik saja Dr. Ku Abdul Rahman diberi peluang untuk membahaskan rang undang-undang perbelanjaan negeri 2019.
 
Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md. Nor dari PAS yang ditemui wartawan selepas itu menegaskan tindakan Dr Ku Rahman adalah perbuatan yang mengkhianati pengundi.
 
Katanya walaupun PAS dan UMNO berbeza parti , blok pembangkang bersatu hati menentang budaya lompat parti.
 
Selain itu katanya mereka menentang tindakan Pakatan Harapan  yang sentiasa cuba memujuk wakil rakyat pembangkang sama ada di peringkat DUN atau Parlimen untuk mengukuhkan komponen mereka.
 
"Bagi kami ini tindakan yang mengkhianati pengundi dan kita mesti tunjukkan penentangan terhadapnya. Ini cara kami menggambarkan penentangan itu," katanya.
 
Suraya pula menegaskan apa yang dilakukan Dr Ku Abdul Rahman jelas tidak menghormati parti dan blok pembangkang kerana melompat ketika sidang DUN sedang berjalan.
  
"Tiada surat kepada Presiden parti dan saya bersetuju dengan kenyataan ketua pembangkang semalam yang mengatakan tindakan tersebut adalah perbuatan pengecut kerana keluar dari parti sewaktu dalam kesusahan," katanya.

Suraya berterima kasih dan mengalu alukan kesatuan ditunjukkan ADUN ADUN PAS dari blok pembangkang.- 13/11/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1089  tetamu dalam talian