07Ogos2020

Agenda Daily

Semua ahli Majlis Syura PAS 'lesap' selepas mesyuarat bincang isu kalimah Allah...

pas-kenyataan3xxSikap pemimpin PAS takut jumpa wartawan apabila ada isu besar babitkan parti itu bukan cerita baru.Sudah beberapa kali kejadian pemimpin- pemimpin PAS ‘lari’ ikut pintu belakang selepas mesyuarat penting kerana tahu ada petugas media tunggu di kaki lima depat pejabat PAS di Jalan Raja Laut,Kuala Lumpur.

Pernah wartawan tunggu berjam-jam tetapi akhirnya hanya diberikan kenyataan akhbar oleh kakitangan ibu pejabat PAS itu.

Ahad malam, kejadian sama berulang terhadap kira-kira 20 petugas media yang mahu buat liputan mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS
berhubung isu kalimah Allah.

Semuanya mengharapkan dapat bersemuka dengan pimpinan tertinggi parti itu untuk mengemukan berbagai soalan berhubung kontroversi isu itu.

Selepas dua jam mesyuarat yang bermula 9 malam, petugas yang menunggu dimaklumkan tidak ada sidang media.

Kakitangan di pejabat itu juga memaklumkan pemimpin utama termasuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah balik.

pas-kenyataan1xx

Kerana Menteri Besar Kelantan itu tidak keluar ikut pintu depan pejabat, sahlah beliau keluar ikut pintu belakang.

Harapan terakhir wartawan untuk jolok juga pemimpin PAS tertumpu kepada Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din yang dipercayai belum meninggalkan bangunan itu.

Dalam dok tunggu, kakitangan terbabit keluar berjumpa pemandu Dr. Haron.

Sangkaan wartawan bahawa Dr. Haron juga akan ‘lari’ ikut pintu belakang betul apabila pemandu itu beredar.

Akhirnya, kakitangan itu muncul 10 minit kemudian mengedarkan kenyataan akhbar mengenai mesyuarat Majlis Syura Ulamak – badan tertinggi PAS yang ditandatangani Nik Aziz dan Dr Haron.

Selepas masing-masing dapat kenyataan akhbar itu, ramailah wartawan merungut kerana takut keliru kenyataan diberikan.

Hendak rujuk dengan siapa lagi, rungut seorang petugas media yang khuatir silap mentafsir kenyataan akhbar berhubung isu kalimah Allah itu.

Apakah Ahli Majlis Syura takut nak berdepan wartawan dan jawab soalan-soalan yang mungkin menguris hati rakan politik - DAP berhubung isu itu.

Bagaimanapun, mengikut kenyataan yang diberikan keputusan mesyuarat Majlis Syura ialah kalimah Allah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa di dunia kerana ia tidak menepati kehendak sebenar kalimah ini.

"Tindakan menterjemahkan kalimah 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibenarkan kerana ia salah dari segi makna dan tidak menepati kehedak sebenar," kata kenyataan bersama Nik Aziz dan Dr Haron.

Beliau menegaskan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bagi penganut bukan Islam boleh membawa kepada kekeliruan yang nyata justeru tindakan tersebut perlulah ditegah.

"Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya."Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa di dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut.
"Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah," menurut kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, majlis itu sepakat menegaskan kalimah Allah adalah alami kerana Allah Tuhan sekalian alam dan sesiapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab jahiliah yang bukan Islam menyebutnya.

"Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan Yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, tunggal tidak beranak dan tidak diperanakkan," katanya.

Sekaligus, keputusan mesyuarat itu selari dengan pendirian pembangkang atau PRyang bermesyuarat beberapa hari lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membacakan keputusan PR selepas mesyuarat Selasa lalu turut memutuskan kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam namun ia tidak boleh disalah guna untuk kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam.

Isu penggunaan kalimah Allah kembali menjadi polemik apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi mesej sempena sambutan Hari Krismas mendesak Kerajaan Pusat membenarkan perkataan Allah digunakan dalam kitab Bible bahasa Melayu.

Kenyataan Setiausaha Agung DAP itu mendapat kritikan keras oleh pelbagai pihak terutamanya dari kepimpinan UMNO dan ulama bebas.

Bukan itu sahaja, pemimpin tertinggi PAS sendiri termasuk Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, Dr Haron, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyatakan pendirian tegas mereka, tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh penganut bukan Islam.

Mesyuarat Majlis Syura turut mendesak kerajaan supaya membenarkan Abdul Hadi menjelaskan mengenai isu 'Amanat Hadi' dan ia perlu disiarkan secara langsung selama satu jam di TV1 dan TV3.-13/1/2013- OLEH ROSLAN BIAN


Kalimah Allah: Peluang PAS kembali ke pangkal jalan...

Ada kalangan yang rajin mengikuti rentak sepak terajang politik Datuk Seri Anwar Ibrahim mengandaikan mantan Timbalan Perdana Menteri itu ibarat pokok dedalu api.

Tumbuhan itu menumpang pokok lain tetapi lama kelamaan, pokok yang ditumpang akan mati, sebaliknya dedalu api yang kekal.

Barangkali, inilah terjadi pada PAS apabila berdakap mesra dengan Anwar dan menobatkannya sebagai Ketua Pembangkang.

Hari demi hari, PAS yang asalnya agak disegani sesetengah pihak kerana memperjuangkan Islam semakin hilang maruah sejak bersekongkol dengan PKR dan tunduk kehendak DAP.

Semua itu kerana peranan Anwar yang bijak menutur kata dan berjanji apabila berdepan pemimpin besar PAS terutama Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ada juga mendakwa, semua itu sudah dirancang lebih awal sejak Anwar krisis peribadinya bermula 1997, kemudian disingkir daripada UMNO dan kerajaan seterusnya dan dihukum penjara.

Ada juga yang mendakwa penyertaan Datuk Kamaruddin Jaafar yang rapat dengan Anwar ketika bersama-sama ABIM dan Yayasan Anda tetapi melompat ke dalam PAS selepas pemecatan Anwar adalah pembuka jalan apa berlaku kepada PAS ketika ini.

Apatah lagi, Anwar kembali dalam arena politik selepas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2008, sekaligus diberi kepercayaan oleh DAP dan PAS sebagai Ketua Pembangkang.

Barangkali dengan pengaruh Kamaruddin, beberapa pemimpin utama PAS mula condong memihak kepada Anwar dan dikenali kumpulan Anwarinas.

Kumpulan ini juga berjaya menguasai jawatan penting dalam PAS Pusat malah tewasnya Nasaruddin Mad Isa daripada mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti didakwa ada kaitan dengan kumpulan tersebut.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin banyak kali mengecam kumpulan Anwarinas malah bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali pula menggelar mereka sebagai parasit.

Sama ada dedalu api ataupun parasit, peranannya sama sahaja – bertujuan menghancur benda yang asal...dan PAS kini sukar menafikan bahawa parti itu menuju kehancuran gejala dedalu api dan parasit ini.

Tidak perlu diulang bagaimana PAS terpaksa akur dan tunduk desakan PKR dan DAP dalam pelbagai isu babitkan agama Islam kerana semua sedia maklum apa terjadi di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Apa yang perlu dilihat ketika ini adalah isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dalam bible atau kitab mereka.

Lihat sajalah bagaimana Hadi jadi orang yang ditolak ke depan apabila mesyuarat pimpinan pembangkang membuat keputusan kalimah itu boleh digunakan agama lain.

Presiden PAS itu membaca keputusan tersebut tanpa mahu menjawab soalan lanjut.

Anwar dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berdiri disebelah Hadi – begitu juga Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu – seolah-olah bagi membenarkan apa dikatakan Hadi.

Malangnya, kini Hadi terpaksa berdepan golongan ulama dalam parti yang tidak setuju dengan keputusan pakatan pembangkang.

Penentangan jelas dari Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib, timbalannya Datuk Dr Harun Din, Setiausaha Agung Mustafa Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bukan perkara kecil.

Malah, mufti-mufti juga sepakat menolak persetujuan dibuat pakatan rakyat itu kerana kalimah Allah – eksklusif kepada orang Islam.

Kini, nasib Hadi terletak pada Majlis Syura Ulama yang akan bersidang pada Ahad malam bagi memutuskan pendirian sebenar PAS berhubung isu itu.

Apakah keputusan itu menyokong Hadi atau terus menentang Presiden PAS itu?

Apapun jawabannya, imej Hadi sudah tercalar. Dan jika Majlis Syura turut menyokong Hadi, imej PAS pula tercemar.

Itulah harga yang patut dibayar pemimpin dan parti PAS apabila bersekutu dengan Anwar dan DAP.

Namun, jika PAS memilih jalan keluar, ulama parti perlu kekal dengan pendirian dan Hadi pula kena akur kerana Majlis Syura adalah pimpinan tertinggi parti.

Seandainya berlaku dan Anwar serta DAP tidak bersetuju dengan keputusan itu, PAS boleh memilih jalan perjuangan sendiri.

Isu ini, sebenarnya boleh digunakan PAS bagi menebus segala kesilapan sejak bersama-sama dengan PKR dan DAP dengan meninggalkan pakatan pembangkang.

Ini juga pembuka jalan PAS membersihkan parti daripada kumpulan Anwarinas dan parasit sebelum PRU ke 13.

Hanya dengan cara itu PAS akan terus disegani dan dihormati walaupun sebagai pembangkang.

Sebenarnya belum terlambat bagi PAS kembali ke pangkal jalan. – 13/1/2013- OLEH ROSLAN BIAN




Perpecahan PAS: Ulama kena main dengan Anwarinas...

Sebahagian ahli Majlis Syura PAS nyata terkejut dengan kenyataan media pakatan pembangkang yang dibacakan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Rabu yang antara lain membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah kerana mendahului keputusan Majlis Syura PAS.

Mereka terkejut kerana Majlis Syura PAS hanya akan bermesyuarat pada Sabtu ini berhubung perkara berkenaan dan bagaimana Hadi boleh membacakan kenyataan mengatakan Pakatan Rakyat setuju benar orang bukan Islam guna kalimah Allah tersebut lebih awal?

Majlis Syura adalah badan tertinggi membuat keputusan oleh PAS.Selama ini, apabila diserang berbagai pihak bahawa PAS semakin 'liberal', pemimpin bukan ulama PAS akan menggunakan hujah "kami dipandu oleh Majlis Syura".

Sebaliknya di dalam isu kalimah Allah ini, nampaknya Majlis Syura PAS kena main dengan kumpulan pro Anwar/liberal parti itu.

Majlis Syura mesyuarat Sabtu, Hadi baca kenyataan media pakatan pembangkang pada Selasa di ibu pejabat PKR Tropicana, hanya baca kenyataan yang disediakan tanpa ambil soalan dari wartawan.

Jika difikir balik, kenapa Hadi yang kena baca kenyataan media benarkan penggunaan Allah oleh bukan Islam itu?

Anwar ada, Lim Kit Siang ada, Mat Sabu ada... kenapa Hadi yang belum dapat mandat dari Majlis Syura PAS baca kenyataan media PR berhubung isu tersebut?

Sebabnya mudah, kalau tunggu Sabtu ini, keputusannya mungkin berbeza.Anwarinas dalam PAS tahu , golongan ulama yang menguasai Majlis Syura tak akan setuju.

Jadi langkahnya, umum dulu, kita kalau dalam permaian catur, situasinya adalah check, dan apabila Hadi baca kenyataan PR tersebut, maka ia adalah checkmate.

Adakah Majlis Syura pada Sabtu hendak keluar kenyataan bercanggah dengan Presiden PAS?

Cuma kalau ikut kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din pada Rabu, beliau tidak akan bersetuju dengan apa-apa keputusan membenarkan penggunaan "kalimah Allah" oleh orang bukan Islam.

"Kalimah Allah menguasai setiap surah dalam Al-Quran, manakala perkataan Allah tidak boleh didapati di mana-mana dalam Bible," katanya.

Dr Haron memang diketahui umum antara yang paling tegas mengakui mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah hak mutlak orang Islam.

Beliau bahkan mengatakan jatuh hukum kuruf sesiapa yang benarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah kerana ia boleh membawa kepada syirik.

Isu kalimah Allah ini timbul semula berikutan perutusan Krismas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng Disember lalu, yang mahu Allah digunakan sebagai terjemahan god di dalam Bible, sebahagian besar pemimpin PAS tidak setuju dengan kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu bahawa PAS benarkan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam pada Isnin, tiba-tiba mengubah pendirian parti itu.

Untuk rekod, Mat Sabu menang jawatan tersebut setelah perpecahan undi ulama di dalam PAS berikutan pertembungan tiga penjuru antara Mat Sabu, Nasaruddin Mat Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut terkejut berhubung perkembangan tersebut adalah Ketua Ulama PAS, Datuk Dr Harun Taib.

Dalam reaksinya, Harun berkata bahawa setakat yang beliaua boleh ingat, Majlis Syura tidak pernah membuat keputusan mengenai perkara itu.

Haron berkata beliau akan membuat kenyataan lanjut selepas mesyuarat Majlis Syura Sabtu ini.

"Saya tak akan buat komen baru kecuali lepas mesyuarat (Majlis Syura), sebelum mesyuarat saya tak komen. Komen (saya) yang lalu masih kekal,” kata beliau.

Bulan lalu, Harun berkata penggunaan kalimah Allah khusus untuk Islam dan seluruh umatnya sahaja.

“Agama lain termasuk Kristian tidak berhak sama sekali menggunakan kalimah suci itu, apatah lagi untuk diguna pakai dalam kitab Bible versi Melayu,” katanya.

Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz pula dipetik berkata beliau setuju secara peribadi tetapi akan mematuhi keputusan Majlis Syura Sabtu ini.-10/1/2013- OLEH HELME HANAFI

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 406  tetamu dalam talian