22September2019

Silakan...Nasharudin sedia berdepan dengan Karpal Singh di mahkamah isu dakwaan anti Islam

nasha-pc-karpalBekas Timbalan Presiden PAS,Nasharudin Mat Isa tidak gentar Karpal Singh hendak bawanya ke mahkamah kerana dakwanya anti-Islam.Dalam kenyataan ringkas menerusi SMS kepada Agendadaily petang Sabtu,Ahli Parlimen Bachok itu kata beliau sedia berdepan dengan Pengerusi DAP Kebangsaan itu di mahkamah.

Beliau diminta mengulas kenyataan Karpal Singh Jumaat hendak samannya kerana dakwanya anti-Islam.

Ahli Parlimen BUkit Gelugor itu anggap kenyataan Nasharudin bahawa beliau bukan hanya menentang hudud malah menentang Islam, adalah tidak bertanggungjawab, tidak berasas dan kejam.

Karpal Singh mendakwa Nasharudin kini hanyalah 'ikan bilis' dalam PAS dan kenyataan beliau tidak mencerminkan pendirian parti itu.
    
"Memandangkan dakwaan serius telah dibuat terhadap saya, saya tidak mempunyai pilihan selain memulakan prosiding fitnah terhadap Nasharudin," katanya.

Nasharudin berkata beliau dididik dalam PAS bahawa ajaranb Islam itu adalah syumul merangkuni setiap aspek kehidupan.

"Di dalamnya ada agidah,perundangan dan akhlak.Menolak sebahagian daeri Islam bermakna menolak Islam.

Saya kekal dengan pendirian saya bahawa Karpal Singfh adalah anti Islam dan bersedia untuk bertemu beliau di mahkamah",katanya.- 18/8/2012


PANAS..PANAS...Nasharudin tidak ganjak pendirian terhadap DAP...pertemuan dengan PM tak bincang hal UMNO atau PAS

KEMASKINI :Ini baru orang kata kena sebijik.Ini juga masalahnya kalau orang yang mendakwa diri mereka hebat memperjuangkan Islam tetapi tidak menunjukan sifat dan ciri Islam sejati.

Pekong PAS ini jelas dapat dilihat dari kontroversi terbaru melibatkan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang berpendirian sederhana dengan segolongan pimpinan PAS yang taksub dengan hubungan mereka dengan DAP kerana impian mengejar Putrajaya.

Sekalipun dibelasah depan belakang oleh rakan-rakan dalam parti sendiri kerana mempertikaikan sikap parti itu terhadap DAP dalam isu hudud,Ahli Parlimen Bachok itu tetap mempertahankan pendiriannya.

Mereka yang berfikiran rasional tentu merasa malu melihat gelagat sesetengah pemimpin PAS yang melompat tidak tentu pasal.

Nasharudin yang kembali ke tanahair dari Makkah tengahhari Khamis juga meminta partinya tidak curiga terhadap pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Makkah sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Kasihan saya melihat mereka yang menghukum tanpa tahu hujung pangkal. Berbaik sangkalah sesama Muslim. Hampir sebulan sepanjang Ramadhan ini,doa qunut yang dibacakan dihadapan Kaabah ketika solat witir,menyeru kepada merapatkan saf dan menyatupadukan orang orang Islam. Imam solat saban malam memohon dengan doa Ya Allah satukan lah suara umat Islam,"katanya dalam satu kenyataan kepada media mengulas pertemuan itu yang dikaitkan seolah beliau hendak masuk UMNO.

Katanya pada wartawan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur sejurus tiba bahawa beliau tidak berhasrat untuk meninggalkan PAS dan menyertai UMNO.

Kontroversi timbul bila Nasharuddin mencadangkan agar PAS keluar dari pakatan pembangkang jika DAP terus mempertikaikan hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh parti itu.

Keadaan menjadi bertambah panas bila kebetulan media menyiarkan gambar beliau bersama Najib sedang berbincang dengan dua ulama Arab di Makkah.

Ini bila Musyridul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dilapor berkata beliau tidak hairan jika Nasharudin keluar dari PAS setelah melihatnya dalam gambar bersama Najib.

Dalam pada itu beberapa pemimpin tertinggi PAS mahu Nasharudin memberi penjelasan kepada Majlis Syura PAS mengenai kenyataannyan terhadap DAP.

Nasharuddin menegaskan beliau kekal dengan pandangan bahawa Karpal Singh bukan hanya sekadar anti hudud tetapi anti Islam.

BERIKIT IALAH KENYATAAN PENUH NASHARUDIN :

Kenyataan Media
Nasharudin Mat Isa
16 Ogos 2012

Laporan media cetak dan elektronik pada 14 dan 15 Ogos 2012, dan beberapa ulasan dari pelbagai pihak sehubungan dengan kenyaataan saya di Makkah Al Mukaramah adalah dirujuk.

Hudud

Saya kekal dengan pandangan saya bahawa Karpal Singh bukan hanya sekadar anti hudud tetapi anti Islam.

Sebagai seorang peguam yang lama,dia tahu apa itu substantive law dan apa itu procedural law. Perlaksanaan hudud memerlukan kepada standard of proof yang cukup tinggi untuk boleh dilaksanakan, ada kesalahan yang memerlukan tahap pembuktian ke taraf 'beyond any shadow of doubt ' iaitu tahaf pembuktian yang maksimum, sebelum boleh ianya dilaksanakan, tetapi dia menolak semua itu hanya kerana ianya adalah undang undang Islam.

Berapa kali sudah dia mengungkapkan bahawa perlaksanaan sistem perundangan Islam 'is over my dead body' menunjukan dia sanggup mati utk pertahankan pendirian nya , maka saya juga sanggup melakukan apa saja 'at whatever cost 'untuk pertahankan agama saya. Terpulang lah kepada mana pihak yang mungkin kerana percaturan politik akan mendiamkan diri seperti syaitan syaitan bisu yang sering diungkap oleh pimpinan, Insyaallah saya tidak akan biarkan mana mana pihak sewenang wenangnya menghina agama saya.

Pas harus lebih tegas menyatakan pendirian nya dalam hal ini kerana sokongan yang diberikan oleh masyarakat umum kepada Pas adalah kerana perjuangan nya untuk menegakkan Syariah Allah swt namun dalam isu hudud yang diserang dan dikecam oleh Karpal Singh ini, masih ramai yang tertunggu apa sikap Pas terhadap Karpal Singh. Adakah tahaluf siyasi yang sedang diamalkan oleh Pas turut membolehkan kesepakatan dengan mereka yang menolak dan memerangi Islam. Harapan saya adalah apabila penjelasan dibuat oleh pimpinan tertinggi Pas kepada masyarakat umum, maka akan terjawablah  kekaburan yang ada pada masyarakat umum. Pemimpin Pas mungkin sudah faham, ahli Pas juga mungkin sudah mengerti tetapi masyarakat umum masih menanti penjelasan. Pas tidak akan menang hanya dengan undi dari ahlinya sahaja.

Isu Pertemuan Di Mekah.

Kepada mereka yang membuat andaian, tuduhan dan suu' dzan , nasihat saya adalah ittaqillah,  ittaqillah, ittaqillah dan bersitghfarlah khas nya pada hari hari terakhir ramadhan ini. Kasihan saya melihat mereka yang menghukum tanpa tahu hujung pangkal. Berbaik sangkalah sesama Muslim. Hampir sebulan sepanjang Ramadhan ini,doa qunut yang dibacakan dihadapan Kaabah ketika solat witir,menyeru kepada merapatkan saf dan menyatupadukan orang orang Islam. Imam solat saban malam memohon dengan doa Ya Allah satukan lah suara umat Islam.

Saya telah mengaturkan pertemuan di Mekah antara beberapa orang Ulama di Makkah bersama dengan YAB PM bersempena dengan persidangan OIC. Saya dijemput ke Mekah dengan visa khas selepas YAB PM bersetuju untuk bertemu dengan ulama2 tersebut. Perbincangan telah diadakan di sebuah villa kenalan bersebelahan dengan Masjidil haram. Yang dibincang antara lain adalah isu di Syria dan Rohinya. Para ulama tersebut menyebut tentang peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia. Perbincangan juga menyentuh beberapa kejayaan yang telah di capai oleh Malaysia. Mereka juga telah meninggalkan beberapa pesanan kepada PM seperti mempastikan Malaysia terus mengangkat pegangan ahli sunnah wal jamaah dalam memelihara kesucian Islam.

Pertemuan itu sedikit pun tidak berbincang tentang Pas atau Umno, sebab isu yang dibincangkan adalah jauh lebih besar dari Pas atau Umno. Kami berbincang tentang keadaan semasa ummah. Rasullullah menyebut, man lam yahtamma biamril muslimin falaisa minhum.

Adakah berbincang tentang ummah satu jenayah?

Tiba tiba dikaitan dengan saya akan masuk umno.Untuk kesekian kalinya saya sebutkan secara terbuka, saya tidak ada niat untuk masuk UMNO, cuma saya menganggap semua yang mengucap kalimah syahadah sebagai saudara saya se iman termasuk lah pemimpin dan ahli UMNO, dan mereka yang bukan Islam sebagai saudara saya seinsan. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan sebab untuk kita tidak memikirkan maslahat ummah.

Nasharudin Mat Isa.

-16/8/2012


Nasharudin tidak akan keluar PAS...pertemuan dengan PM atas jemputan rakan ulama

nasaxx

Ketika perhatian kini bertumpu padanya kerana isu kenyataan beliau mengenai isu hudud antara PAS-DAP,bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa pulang  ke tanahair dari Makkah,Arab Saudi tengahari Khamis.

Selain isu berkenaan penyiaran gambarnya bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun  Razak di Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga telah mengundang reaksi.

Kalangan pimpinan PAS tertentu kelihatan macam 'gatal tangan' hendak kenakan Nasharudin ekoran perkembangan terbaru ini.

Bercakap dalam sidang akhbar sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ,Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok menegaskan beliau tidak berhajat hendak meninggalkan PAS ataupun menyertai UMNO.

Beliau juga relaks saja menjelaskan pertemuannya dengan Najib di persidangan OIC itu adalah atas jemputan beberapa rakan ulama di negara ini bagi membincangkan isu Syria dan Rohingya.

Kedua-dua isu berkenaan merupakan fokus utama sidang OIC itu.

Namun kalangan pimpinan PAS melihat dengan penuh curiga pertemuan itu sekalipun ia diadakan secara terbuka dan disiarkan oleh media.

najibdimekahxx.

Hakikatnya perbezaan ideoloji politik tidak harus menjadi sempadan atau pengalang dalam perjuangan keatas isu-isu melibatkan kepentingan Islam.

Contohnya dalam isu Palestine dimana umat Islam bersatu suara.

Kecurigaan pimpinan PAS pada pertemuan itu dizahirkan menerusi kenyataan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa beliau tidak hairan jika Nasharudin keluar daripada PAS setelah dilihat bersama Najib di Makkah.

Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun Khamis menafikan kenyataan itu membawa maksud beliau menggesa bekas Timbalan Presiden PAS itu keluar daripada parti.- 16/8/2012





PAS halakan senapang kearah Nasharudin Mat Isa...

Kata-kata bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa memang ada lojiknya.

Namun kalangan pimpinan PAS yang terlalu mengidam sangat hendak ke Putrajaya sudah kelabu mata dan pekak telinga.Makanya semua tunjuk taring naik angin terhadapnya.

Soalnya salahkah Ahli Parlimen Bachok itu mencadangkan PAS keluar dari pakatan pembangkang jika DAP terus mengkritik hukum Hudud?

Inilah kenyataan yang dibuatnya menerusi berita TV3 Selasa malam ekoran kontroversi PAS-DAP mengenai isu Hudud.

Dilihat dari semua sudut...itulah jalan terbaik PAS patut ambil.

Namum PAS cukup sedar jika ia berbuat demikian mimpi politiknya hendak ke Putrajaya akan terus berkubur.

Ini kerana tanpa sokongan pengundi Cina dari DAP maka PAS tidak akan  kemana.

Atas sebab itu soal pendirian tolak sebelah dan siapa saja yang cakap hentam 'rakan kongsinya' itu sekalipun lojik mana sekalipun akan digasak habis-habisan untuk ambil hati dan belai DAP.

Setiausaha Pemuda PAS Kelantan Mohd Nuri Mat Yacob terus mengeluarkan kenyataan mendesak Nasharudin lepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Bachok.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar juga nak tunjuk garang.

Beliau menyindir Nasharuddin supaya menyuarakan pandangan itu kepada Majlis Syura PAS.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tumpang semangkuk menghalakan senapang kearah Nasharudin .

Ini gara-gara Selasa gambar bekas Timbalan Presiden PAS itu bersama Perdana Menteri dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi Selasa.

"Pelik apa, kalau (Datuk Mohd) Asri (Muda) yang berpuluh tahun menjadi Presiden Pas boleh masuk UMNO, jadi Nasharudin juga akan turut berbuat demikian," katanya pada wartawan di Kota Bharu Rabu.

Nasharuddin sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi dalam PAS ekoran menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan UMNO-PAS sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada Nik Aziz.

Pada Muktamar Agung Pas tahun lepas, Nasharuddin gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden kepada Mohamad Sabu.
 
Nik Abdul Aziz juga berkata adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan PAS daripada menimbulkan masalah kepada parti. - 15/8/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 591  tetamu dalam talian