25Mei2020

Agenda Daily

PAS bengang Guan Eng hina negeri Pantai Timur…BN pun pernah beri pinjaman tetapi tidak hina kami

Ini sudah lebih.Tindak tanduk Menteri Kewangan Lim Guan Eng seolah menghina kerajaan negeri negeri Pantai Timur tidak mungkin mampu teruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan inisiatif sendiri tanpa bantuan kerajaan pusat bikin PAS bengang.
 
Ketika jawab soalan di sidang Dewan Rakyat pagi Isnin beliau berkata mana mungkin negeri Pantai Timur meneruskan projek tersebut kerana nak bayar gaji kakitangan awam tidak mampu.
 
Hal itu timbul ketika Guan Eng menjawab soalan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang bertanya pendirian kerajaan pusat jika ada kerajaan negeri - seperti Kelantan dan Terengganu - yang mahu meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan inisiatif sendiri.
 
"Pada masa sama, saya terfikir, bagaimana Kelantan boleh melaksanakannya apabila gaji pun tak mampu nak bayar," kata Guan Eng.
 
Katanya kerajaan pusat sedia menunggu kenyataan rasmi dibuat Kota Bharu atau Kuala Terengganu untuk mengambil alih projek berkenaan jika mereka benar-benar berminat melaksanakannya.
 
Dakwaan itu bikin Takiyuddin bengang hingga cetuskan kekecohan seketika dalam dewan.
 
"Boleh beritahu bila kerajaan Kelantan tak boleh bayar gaji? Jangan tuduh-tuduh, ini menyeleweng  dewan," katanya.
 
Bercakap dalam sidang akhbar di luar dewan selepas itu Takiyuddin menegaskan sudah menjadi perkara biasa sekiranya kerajaan negeri meminjam wang daripada kerajaan Pusat.
 
Sidang media itu turut mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen BN terdiri daripada Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah;Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
 
Turut serta Ahli Parlimen Kubang Kerian,Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Takiyuddin berkata,“kalau pun kerajaan Negeri kekurangan kewangan dan minta pinjaman daripada kerajaan Pusat, itu perkara biasa. Mana ada kerajaan Negeri yang tidak meminjam kepada kerajaan Pusat?
 
“Barisan Nasional yang bagi pinjam dulu pun tidak pernah kata, menghina Kelantan seumpama ini,” katanya .
 
 “Menteri telah berkata mana mungkin kami (negeri Pantai Timur) ini meneruskan projek tersebut kerana nak bayar gaji kakitangan awam tidak mampu.
 
“Kenyataan itu jelas dalam peraturan 36(12) telah mengelirukan Dewan dan secara tidak langsung mengelirukan ahli di dalam dewan,” katanya.
 
Sehubungan itu, beliau turut meminta Ahli Parlimen Bagan menarik balik kenyataan itu dan membuat permohonan maaf.
 
“Jika tindakan tersebut tidak diambil, kami akan mengambil langkah agar usul dibuat untuk merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
 
“Semua orang dengar (kenyataan itu. Ini bukan penghinaan kepada kerajaan negeri sahaja, tetapi juga kepada rakyat negeri tersebut,” katanya.
 
Sementara itu, Guan Eng ketika ditemui media berkata, kenyataan beliau itu adalah merujuk kepada kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengenai kerajaan negeri Kelantan yang tidak mampu membayar gaji kakitangan mereka.
 
“Baru-baru ini saya meluluskan peruntukan kepada kerajaan Kelantan untuk membantu mereka membayar gaji (kakitangan) meskipun ia adalah sebuah negeri pembangkang yang kuat menghentam pemimpin Pakatan Harapan.
 
“Ia adalah fakta dan dengan restu daripada Perdana Menteri sendiri, jadi saya tidak mahu sebut lebih daripada itu.
 
“Keadaan itu (pinjaman kepada negeri pembangkang) sudah berlaku sejak zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Razak lagi,” katanya. cuba mempertahan diri. – 22/10/2018 - Oleh MAHIRAH ZAKARIA
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 299  tetamu dalam talian