12Ogos2020

Agenda Daily

Artikel

Salahuddin tak tolak kemungkinan tanding kerusi Parlimen dan DUN serentak di Johor

salahuddin-ayub-jan24KEMASKINI : Kini sudah rasmi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang kini Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan akan kembali ke negeri asalnya Johor.Yang jadi tandatanya sekarang apakah beliau akan bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau dua-dua sekali.

Kalau nak tahu bab ini kena tunggu satu sidang akhbar yang beliau akan adakan dalam masa terdekat untuk mengumumkannya.

Salahuddin beritahu demikian pada majlis ramah mesra dengan wartawan di Johor Bharu Sabtu malam.

Apapun beliau tidak menolak kemungkinan bertanding kerusi Parlimen dan DUN serentak.

Juga soalnya kerusi Parlimen di Johor yang beliau intai ?

Katanya ada tiga yakni yang ada kaitan dengan diri beliau  iaitu Batu Pahat, Pulai dan di Tanjong Piai.

"Tanjong Piai adalah tempat kampung halaman saya. Batu Pahat pula saya pernah tinggal di sana, manakala Pulai tidak asing pada saya kerana bersekolah dan mempunyai ramai kawan di sana,"katanya.

Salahuddin berkata soal beliau kembali bertanding di Johor sudah mendapat lampu hijau pimpinan PAS.-1/4/2012




Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub nak bertanding di Johor

salahuddin-1mp

Samada ini proses membina kubu atau menggali kubur, tapi percaturan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub nak bertanding di kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional wajar dihormati.

Dalam satu pertemuan eksklusif dengan Agendadaily Khamis, Salahuddin yang sudah dua penggal jadi ahli Parlimen di Kelantan menyatakan hasrat hati untuk berbakti pada rakyat negeri kelahirannya. 

Beliau memilih untuk bertanding di negeri tumpah darahnya, Johor Darul Takzim pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan datang. Soal lari dan ditolak pengundi Kubang Kerian yang dimenangi sejak 2004 tidak timbul langsung apa lagi jika ianya dikaitkan dengan cubaan membunuh karier politiknya.

PAS Kelantan difahamkan mahu anak negeri tersebut bertanding di kubu PAS itu, selain Salahuddin, calon import Kelantan juga adalah Bendahari PAS Dr Hatta Ramli yang menang di Parlimen Kuala Krai.

Bagi Salahuddin, pengalaman serta pendedahan politik sebagai wakil rakyat di negeri Kelantan selama dua penggal cukup bermakna, maka sekali ini sudah sampai masa untuk segala yang ditimba dicurahkan ke Johor pula.

Dalam pertemuan dengan Agendadaily di bangunan Parlimen itu, beliau mengakui rasa hatinya mengenai hasrat untuk berubah tempat bertanding pada PRU13 nanti, “saya adalah orang Johor, dah sampai masanya untuk memberi bakti dan perkhidmatan saya untuk rakyat Johor pulak.”

“Segi hati kecil saya alangkah baiknya sekiranya pengalaman yang saya dapat serta segala kebaktian yang saya curahkan di Kelantan itu, sekali ini sekiranya diizinkan oleh rakyat Johor, saya ingin pula menabur bakti kepada negeri saya sendiri, rakyat saya sendiri,” tambah Salahuddin yang dilahirkan pada 1 Disember 1961 di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Salahuddin menganggap apa jua keputusan yang dibuat untuk bertanding di Johor merupakan satu kepuasan yang akan dinikmatinya lebih-lebih lagi sekiranya dapat memberi perkhidmatan terbaik pada rakyat tempat tumpah darahnya.

Beliau adalah bekas Ketua Pemuda PAS, kini salah seorang Naib Presiden parti itu. Salahuddin merupakan tokoh muda dalam PAS yang dikatakan amat disenangi oleh Musyidul Am yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ketika ditanya samada tindakannya itu kerana kemungkinan rakyat kawasan Parlimen Kubang Kerian sudah mula menolaknya, Salahuddin berkata, “terpulang pada mana-mana kajian terhadap prestasi diri saya, tidak layak saya untuk menyatakan tentang prestasi saya tapi yang penting adalah ini masa terbaik untuk saya balik ke Johor.”

Bagaimanapun Salahuddin tidak menyatakan beliau akan bertanding kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun ramai dikalangan ahli-ahli Parlimen pembangkang menganggap beliau adalah tokoh Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Pembangkang itu berjaya menawannya.

Pun begitu, dalam pertemuan ini Salahuddin membayangkan akan bertanding di kawasan beliau dilahirkan.

Antara kerusi Parlimen dan DUN yang berpotensi untuk beliau adalah kerusi Parlimen P164 Pontian yang mempunyai dua DUN iaitu N53 Benut dan N54 Pulai Sebatang kini dimenangi Barisan Nasional (BN). Manakala kerusi Parlimen P165 Tanjong Piai juga mempunyai dua DUN iaitu N55 Pekan Nenas dan N56 Kukup semua dimenangi BN.

Mengenai peluang menang di mana-mana kerusi di Johor yang dianggap kubu kuat UMNO/BN, Salahuddin menyifatkan sebagai satu cabaran dan nikmat perjuangan.

Katanya, “dalam sejarah pertarungan peperangan tokoh-tokoh di dunia ini, bila kita berhadapan dengan sesuatu yang mencabar barulah kita merasai nikmat perjuangan, jadi kita tidak harus selamanya duduk dalam zon selesa.”

Menurutnya, perjuangan di medan yang lebih mencabar akan membuktikan keupayaan sebagai sorang ahli politik dan ianya adalah suatu misi.

“Menang atau kalah itu adat dalam perjuangan tapi disaat kita diperlukan kita mesti memberikan sumbangan bakti kita,” tambahnya.

Ditanya samada ianya satu usaha untuk 'membunuh karier' masa depan politiknya, Salahuddin menegaskan bahawa perkara itu tidak timbul sama sekali.

Katanya, “itu adalah daripada 'calculation' saya sendiri, misi saya sendiri, bukan orang lain yang mengatur saya untuk ke mana-mana. Kalau saya mahu di Kelantan, tak ada masalah, Pasir Mas pun 'pinang' saya untuk berlawan di situ.”

“Titiwangsa (PAS) juga meletakkan saya calon nombor satu, saya lebih selesa kiranya nak menang atau nak duduk dalam zon selesa terus kekal di tempat yang mungkin memberikan peluang kemenangan tapi itu tidak menjadi matlamat saya.” ujarnya.-30/3/2012 OLEH LUKMAN ABDULLAH

Caption gambar: Salahuddin dan penyelaras Ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat, Datuk Zainal Abidin Abdul Rahim di Parlimen baru-baru ini.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 350  tetamu dalam talian