05Julai2020

Agenda Daily

Muhyiddin nasihat Maszlee segera lepas jawatan presiden UIAM

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dinasihatkan supaya melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan segera, kata Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
 
Muhyiddin, yang juga menteri dalam negeri, berkata kerajaan dan parti telah membuat keputusan tersebut namun anggota parlimen Simpang Renggam itu meminta sedikit masa untuk berbuat demikian.
 
"Ini keputusan kerajaan dan juga parti, dan beliau tahu dan terima keputusan tersebut...atas sebab itu saya suka menasihatkan beliau untuk berbuat demikian secepat yang mungkin," katanya mengulas kedudukan Maszlee sebagai presiden UIAM yang dipersoalkan kelayakannya kerana memegang portfolio sebagai menteri Kabinet.
 
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) di Putrajaya Isnin yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
 
Sebelum ini, media memetik kenyataan pegawai khas Maszlee bahawa Maszlee akan melepaskan jawatan tersebut selepas menyelesaikan beberapa isu termasuk mencari pengganti.
 
Maszlee dilantik sebagai presiden UIAM ketujuh selama tiga tahun pada September lepas setelah diperkenankan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.

Beliau menggantikan Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.
 
Berhubung hasrat Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju untuk menyertai Bersatu, Muhyiddin berkata parti itu mempunyai prinsip dan hanya menerima individu yang tidak memiliki rekod buruk. 
 
"Orang kenal dia (Ali Tinju) bukan atas cerita yang bagus ...tak kan orang macam itu kita nak terima masuk," katanya.
 
Ditanya berkenaan sokongan terbuka wakil rakyat DAP terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Muhyiddin berkata beliau tiada masalah mengenainya kerana keputusan akhir meratifikasi ICERD terletak kepada kerajaan.
 
"Kita tidak membataskan sesiapa daripada mengemukakan pandangan kerana pada akhirnya kerajaan yang akan membuat keputusan dan kami bertanggungjawab memutuskan yang terbaik untuk negara," katanya.- 12/11/2018
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 355  tetamu dalam talian