Perlantikan Zulkifli Nordin mantapkan Perkasa
- Terakhir dikemaskini: 26 Oktober 2011
PERKASA mendapat suntikan baru dalam kepimpinannya menerusi perlantikan Datuk Zulkifli Nordin, Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu sebagai Naib Presiden.
Gandingan Zulkifli dan Presiden sekarang, Datuk Ibrahim Ali yang sentiasa vokal dalam sidang Dewan Rakyat dikatakan akan menjadikan pertubuhan berkenaan lebih mantap.
Perlantikan Zulkifli untuk mengisi jawatan berkenaan dibuat menerusi usul tergempar oleh seorang ahli Dewan Tertinggi Perkasa Zahid Md Arip pada Perhimpunan Agung Perkasa di Kuala Lumpur Rabu.
Usul itu telah diluluskan sebulat suara.
Zulkifli yang kebelakangan ini kelihatan menyertai beberapa acara Perkasa turut hadir pada perhimpunan itu.
Perlantikan Zulkifli adalah bagi mengisi kekosongan salah satu daripada lima jawatan Naib Presiden ekoran perletakan jawatan Datuk Mokthar Samad tidak lama dulu kerana terikat dengan komitmen tugas lain.-26/10/2011