25Mei2020

Agenda Daily

BN akan dijenamakan semula agar lebih mantap hadapi PRU15

Sekalipun berdepan pukulan hebat pada pilihanraya umum ke 14 lalu Barisan Nasional (BN) dan kini menjadi gabungan kecil berbanding masa lampau ia dijangka bangkit semula untuk berdepan dengan pilihanraya umum ke 15 nanti.
 
Azam ini disuarakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Perhimpunan Agung MIC Ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur Sabtu.

Hadir sama di majlis itu bekas Presiden MIC Tan Sri Samy Vellu dan Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad.
 
BN yang dulu ada 13 buah parti gabungan kini tinggal UMNO,MCA,MIC dan PPP.

UMNO ada 49 kerusi Parlimen,MIC 2 dan MCA 1.
 
 Zahid yang juga Presiden UMNO kata langkah akan diambil untuk jenamakan semula dan distruktur BN agar menjadi entiti lebih kuat bagi mengambil balik kerajaan pusat pada PRU15 nanti.
 
Menurut beliau gabungan pembangkang baharu itu akan disertai oleh lima buah parti teras BN, rakan-rakan parti dalam pembangkang serta turut melibatkan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
 
"Kita harus mengorak langkah untuk menjadikan entiti baharu ini bukan sahaja sebagai parti pembangkang ketika ini tetapi juga sebagai hasrat kita untuk mewujudkan sistem dua parti bagi bersaing dengan parti yang telah membentuk kerajaan," katanya.
 
Zahid memberitahu beliau telah  telah memberi mandat kepada Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang merupakan Setiausaha Agung BN yang baharu untuk menterjemahkan pelaksanaannya dalam tempoh terdekat.
 
Sebelum itu ketika merasmikan Perhimpunan Agung kali ke-41 KIMMA di Nilai, Zahid memberitahu BN akan berbincang dengan parti komponen lain berhubung permintaan Kongress Indian Muslim Malaysia (KIMMA) untuk menjadi parti komponen, dalam penjenamaan semula BN.
 
Katanya selain KIMMA, Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) dan Makkal Sakti yang merupakan parti mesra BN turut membuat permohonan sama.
 
Perbincangan akan dibuat termasuklah mempertimbangkan untuk mengubah perlembagaan sekiranya perlu.
 
“Seperti sebelum ini sebarang keputusan yang dibuat perlu mendapat persetujuan majoriti, jadi sama juga dengan permintaan ini kita akan lihat suara majoriti untuk terima parti-parti yang bersekutu dengan kita. Selain KIMMA, IPF dan Makkal Sakti turut membuat permohonan sama.
 
“Dalam penjenamaan semula BN, dari segi struktur kita tidak akan lupakan parti-parti gabungan kita. Saya tidak mahu jadi pemimpin kuku besi, saya akan bincangkan dengan rakan-rakan parti komponen yang lain,” katanya.
 
Zahid turut menyifatkan KIMMA sebagai parti gabungan ‘keras’ yang sentiasa ada bersama UMNO tidak kira ketika senang atau susah.
 
Presiden KIMMA Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata KIMMA menyambut baik jaminan Zahid untuk mengkaji semula status parti itu sebagai anggota gabungan UMNO serta memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada KIMMA secara lebih eksklusif dan inklusif.- 27/10/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 284  tetamu dalam talian