21Ogos2019

Khalid Ibrahim umum pendirian...akan bantu UMNO dan PAS pada PRU14

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi tumpuan bila muncul  pada Konvensyen UMNO Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.
 
Ini kerana arah mana hendak ditujunya semasa pilihanraya umum ke 14 nanti terus menjadi bahan spekulasi dan teka teki.
 
Beliau yang kini tidak menjadi anggota mana-mana parti adalah Ahli Parlimen Bebas Bandar Tun Razak Kuala Lumpur dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pelabuhan Kelang Selangor.
 
Kebelakangan ini ada yang cakap beliau condong untuk membantu BN semasa PRU 14 dan ada yang kata beliau akan tolong PAS yang mendokongnya semasa jadi Menteri Besar dulu khususnya semasa krisis Langkah Kajang.
 
Hari ini pendirian beliau sudah jelas terbentang.

Pada majlis perasmian konvensyen Khalid duduk di pentas utama bersama Zahid dan pimpinan UMNO Selangor lain.
 
Pada sidang akhbar bersama Zahid selepas perasmian konvensyen itu Khalid secara rasmi umum beliau akan membantu kedua-dua BN dan PAS semasa PRU14.
 
Hadir sama di sidang akhbar itu ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan bekas Naib Presiden UMNO dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
 
Katanya beliau akan membantu UMNO dan juga telah memberitahu rakan-rakan dalam PAS yang bantunya di masa lampau akan juga bantu mereka.
 
Khalid menegaskan tiada siapa boleh dakwa beliau memecahbelahkan rakyat dan akan bantu mana-mana parti demi perpaduan umat Islam di negara ini.
 
Serentak dengan itu beliau ulangi pendirian tidak akan bertanding pada PRU14. 
 
Persetujuan Khalid bekerjasama dengan UMNO dan BN Selangor itu akan menyaksikan beliau bergabung dengan trio bekas Menteri Besar negeri tersebut membentuk satu gandingan mantap dalam usaha membantu jentera parti menawan kembali Selangor pada PRU ke-14 akan datang.
 
Sebelum ini  Muhammad Taib kembali ke pangkuan UMNO pada September lalu setelah lima tahun keluar daripada parti tersebut.
 
“Beliau akan bekerjasama dengan tiga lagi bekas Menteri Besar Selangor membantu Tan Sri Noh Omar dalam misi BN menawan Selangor pada pilihanraya akan datang.
 
“Beliau akan bekerjasama dengan Tan Sri Muhammad Taib yang pernah tukar rumah agam dua kali sebelum ini tapi kembali ke rumah agam merah dan juga dengan Tan Sri Abu Hasan Omar dan Dr Khir Toyo,” kata Zahid.
Zahid menegaskan kesudian Khalid membantu dan memperkuatkan jentera UMNO dan BN Selangor adalah wajar dan tidak perlu dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu kerana membuktikan pendirian dan hala tuju Khalid selari dengan apa yang diperjuangkan oleh parti itu untuk rakyat Selangor.
 
“Kenapa pertikaikan kewajarannya, Tan Sri khalid walaupun pernah menjadi Menteri Besar Selangor di pentas yang berbeza, kita tahu hatinya tetap merah dan biru.
 
“Kita amat menghargai usaha beliau kerana agenda beliau tetap sama dengan agenda kita,"katanya.- 2/12/2017


PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 256  tetamu dalam talian