Kalau kenyataan Timbalan Mursyidul tak diterima, PAS nak dengar cakap siapa lagi....
- Terakhir dikemaskini: 10 Oktober 2012
- By WARTAWAN AGENDADAILY
KEMASKINI : Kalau orang lain yang cakap PAS sudah lari daripada perjuangan asal dan menerima bulat-bulat apa saja berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan berfikiran liberal, tentu kena hentam oleh pemimpin PAS terutama kumpulan Anwarista.
Siap tuduh UMNO beli atau bayar kalau yang bercakap itu pernah satu parti dengan mereka.
Tengoklah sajalah apa jadi dengan Datuk Dr Hasan Ali dan Nasaruddin Mat Isa yang bukan sahaja kena kecam tetapi dikalahkan dalam pemilihan jawatan parti itu.
Menariknya kali ini yang cakap dua perkara itu bukan orang lain tetapi Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din serta ahli PAS seumur hidup yang juga Sasterawan Negara Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.
Maknanya, kenyataan mereka itu ‘ibarat sudah terang lagi bersuluh’ bahawa PAS bukan sahaja tidak lagi memperjuangankan prinsip parti tetapi mengikut telunjuk parti komponen termasuk menerima cara pemikiran dan tindak tanduk Anwar sebagai Ketua Pembangkang.
Kepada pemimpin dan ahli-ahli PAS, kenyataan ahli parlimen Bebas Kulim Bandar Baharu Datuk Zulkili Noordin berhubung kenyataan Dr Haron dan Dr Shahnon perlu mereka fikir masak-masak.
Katanya, kalau kenyataan Dr Haron sebagai Timbalan Mursyidul PAS juga Majlis Syura sendiri tidak diterima, kenyataan siapa lagi perlu diterima.
Zulkifli berkata, ini pemimpin PAS yang bercakap dan mempertikai pemikiran Anwar, bukannya orang lain.
"Dr Haron Din sendiri sudah membuat garisan mufarakah (garisan perpisahan) dan nyatakan pendiriannya. Ini ditambah dengan kenyataan Shahnon Ahmad...jadi pandangan-pandangan sebegini harus diambil kira," katanya kepada Agendadaily.
Tegasnya, pemikiran Anwar adalah liberal, pluralism dan mengikut jumud ulamak ia sesat dan perlu dibanteras.
Beliau berpendapat, kenyataan Dr Haron bukan sahaja patut diterima tetapi disusuli tindakan.
Justeru itu kata Zulkilfi, sudah tiba masanya anggota akar umbi PAS bangkit dan mendesak pimpinan parti mereka untuk mengadakan muktamar khas membincangkan situasi ini.
“Ini membolehkan kepimpinan pusat menyatakan pendirian mereka sama ada mahu bersekongkol dengan DAP, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar atau kembali kepada perjuangan parti,” jelas beliau.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, PAS masih gagal dan keliru untuk menyatakan pendirian parti sama ada memperjuangkan prinsip parti, atau terus mengikuti telunjuk parti komponen pakatan pembangkang, dalam falsafah perjuangan.
"Kenyataan Dr Haron Din dan Profesor Shahnon Ahmad memperlihatkan jelas PAS telah lari dari landasan perjuangan asas sebagai parti yang menjadikan Islam sebagai Ad-din dan falsafah perjuangan mereka.
"Ini membuktikan terdapat kumpulan rasional dalam PAS mahu kembali kepada perjuangan asal parti itu tetapi kumpulan taksub dalam PAS tidak mahu terima bahawa politik harus digunakan untuk menguatkan Islam bukan menggunakan Islam untuk kuatkan politik," katanya.
Menurut Zahid, langkah-langkah perlu diambil bagi membetulkan ketaksuban ini di mana seharusnya isu melibatkan Islam harus mengenepikan perbezaan pandangan politik kerana agama adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromikan.
Katanya, negara yang mempunya parti politik dan agenda berbeza berakhir dengan kehancuran apabila Islam hanya dijadikan alat dan mengakibatkan penganiayaan kepada orang Islam.
Zahid yang mengakui mengenali Dr Haron sejak dahulu lagi yakin pemimpin PAS itu sejak dahulu lagi tidak setuju dengan sesetengah perkara membabitkan Anwar terutama tindakan mengenepikan agama dan menjadikannya modal politik bagi capai matlamat peribadi.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim pula bersyukur kerana kesedaran itu datang daripada pemimpin PAS sendiri kerana selama ini ramai tidak percaya apabila perkara itu disebut oleh pihak lain.
“Sudah sampai masa pengikut dan penyokong PAS menilai balik kerana ini diucap pemimpin mereka Dr Haron Din dan Shahnon,” “Cuma saya harap jangan pula kata kedua-dua mereka dibayar UMNO atau agenda UMNO. Kita tak ada masa nak menggunakan orang dan jangan pula rendahkan kredibiliti kedua-dua tokoh PAS itu,” ujarnya.
Razali percaya perjuangan PAS semakin terpesong kerana pimpinan yang ada sama-sama mempertahan dan memperjuang agenda Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayob berkata situasi ini akan ditentukan oleh Majlis Syura PAS supaya ia dapat dibincangkan dan mendapat kata putus sebelum boleh dijelaskan kepada anggota parti.
"Biar Majlis Syura yang tentukan prinsip dan pendirian dalam hal ini.
Apa yang Majlis Syura tentukan, ahli parti terima. Kita tidak pasti itu pendirian parti atau pendirian peribadi (kenyataan Haron Din dan Shahnon Ahmad)," katanya.
Bagaimanapun, sudah boleh agak ada pemimpin PAS lain macam cacing kepanasan dengan kenyataan Shahnon dan Dr Haron.
Ini terbukti apabila Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Khalid Abdul Samad membidas kenyataan Shahnon itu yang melabelkan perjuangan politik PAS tidak lagi menepati kehendak Islam.
Khalid yang juga anggota Parlimen Shah Alam berkata segala ketetapan dasar dan perjuangan parti perlu dirujuk kepada Majlis Syura Ulama PAS.
"Nak tahu sesuatu itu bercanggah dengan kita atau tidak, kena rujuk majlis ulama (syura). PAS ada 12 ulama, mereka adalah yang terbaik dalam kalangan anggota PAS," katanya.
"Itu pandangan peribadinya, malah semasa beliau (Shahnon) bertanding pada 1999 dulu, PAS sudah pun berada dalam barisan alternatif,"
katanya.
Bagi mengatasi kemelut ini, cadangan PAS mengadakan muktamar khas membincang apa dikatakan Dr Haron dan Shahnon serta membuat pendirian berhubung perjuangan parti itu adalah yang terbaik.
Mungkin ini juga peluang terbaik PAS mengenali semula hati budi sesetengah pemimpin mereka yang sudah terlalu taksub dengan Anwar dengan menyokong apa sahaja dikatakan serta dilakukannya.
Selain itu, ramai juga nak tahu apa pandangan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu ini.-9/10/2012- OLEH ROSLAN BIAN
Kempen tolak Negara Islam: Haron Din 'belasah' Anwar kaw-kaw...
Semakin hari tembelang Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin koyak, lepas satu demi satu kejadian yang boleh jadi bukti kepada orang Islam terutamanya penyokong PAS untuk menilai kembali hubungan parti itu dengan Anwar apakah menguntung atau merugikan PAS dalam jangkamasa panjang.
Terbaru Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din pula 'bantai' Anwar yang disifatkan beliau bersekongkol dengan penganut Islam yang berfikiran liberal sehingga menolak kesesuaian Islam untuk membentuk sebuah negara. Ulama terkenal tersebut bahkan menuduh Anwar sebagai tidak mendirikan PKR berlandaskan Islam demi mencari keuntungan politik peribadi.
Semuanya gara-gara Anwar melancarkan sebuah buku karya bekas Ahli Parlimen India Mobashar Jawed Akbar atau juga dikenali dengan nama M.J Akbar di Lake Club Kuala Lumpur minggu lalu.
Pada majlis itu, Akbar meremehkan peranan Islam dalam pembentukan sebuah negara, yang kebetulan menjadi agenda PAS di Malaysia.
Beliau berkata Islam tidak boleh dijadikan asas untuk membentuk sebuah negara kerana (jika boleh), “sudah tentu tidak akan ada 32 negara Arab di dunia” hari ini.
Akbar turut menegaskan jika Islam mampu membentuk sebuah negara, sudah tentu Singapura tidak terpisah daripada Malaysia.
"Islam adalah sebuah persaudaraan dan bukannya sebuah negara,” tegas Akbar pada majlis yang dihadiri oleh Anwar dan pimpinan PKR yang lain.
Haron kesal kerana individu seperti Akbar yang mengakui beliau Islam tetapi “tidak semestinya sembahyang lima kali sehari,” diberi peluang untuk menyebarkan pandangan-pandangan liberal di Malaysia, menerusi PKR.
Haron meminta rakyat tidak menganggap tindakan Anwar bersekutu dengan orang-orang seperti Akbar sebagai sesuatu yang direstui PAS.
"Jangan kita rujuk kepada seorang perseorangan seperti Anwar, kerana itu tindakan dia sendiri.
"Anwar pun ada cara dia sebab dia pun bukan tubuh parti Islam tetapi parti Keadilan.
“Dia rasakan itu boleh mendapatkan keuntungan (buat) dia, maka dia buat. Itu politik Anwar Ibrahim dan dia tidak asaskan politiknya kepada Islam. Jadi dia (Anwar) tak macam kita,” tegas Haron Din.
Haron berkata partinya tidak mahu diheret dengan politik PKR.
“Kita pun tidak campur hal PKR. PAS dengan PAS, PKR dengan PKR dan DAP dengan DAP," kata Haron dipetik dari sebuah portal berita pada Ahad.
Bagaimanapun beliau menegaskan pihaknya tidak boleh menerima mana-mana pandangan yang meremehkan peranan Islam dalam membentuk sebuah negara yang sempurna.
"Kami dalam PAS, semuanya kita rujuk kepada Islam," katanya.
"Yang sebenarnya Islam itu adalah satu cara lengkap. Maknanya (meliputi) apa sahaja kehidupan manusia. Islam juga menawarkan penubuhan negara Islam yang lengkap,” kata beliau.
"Ikutlah ayat Al-Quran, dan sunnah Nabi Muhammad," tambahnya.
Anwar melancarkan buku Akbar yang juga Pengarah Editorial majalah mingguan India Today berjudul 'Tinderbox: The Past and Future of Pakistan' dalam satu majlis khas di Lake Club Kuala Lumpur minggu lepas.-8/10/2012