18Jun2019

Itu tafsiran media…kata Anwar

Kalau buka balik sejarah pada tahun 1998 tidak ramai yang duga spekulasi wujudnya masalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang serius.
 
Malah beberapa hari menjelang dipecat pada awal September tahun itu kerana dakwaan isu liwat kedua Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kelihatan ‘baik baik’  dan seperti biasa dikaca mata umum.
 
Kini mereka berbaik semula untuk menawan kerajaan pusat pada PRU14 lalu dari BN.Namun ada pihak yang terus meragui apakah perjanjian untuk serah kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar selepas dua tahun akan terlaksana.
 
Terbaru kecurigaan ini menjadi makin hangat bila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) nampak galak nak melamar Ahli Parlimen UMNO untuk lompat masuk parti yang kini ada 14 Ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Mustapha Mohamad.
 
Bila pada Sabtu Ahli Majlis Tertinggi PPBM Datuk Kadir Jasin buka cerita dakwa 40 Ahli Parlimen UMNO mungkin lompat,ramai pemerhati yang menduga ia satu langkah untuk perkuatkan parti itu untuk sekat kemaraan Anwar.
 
Jika betul 40 Ahli Parlimen UMNO lompat masuk PPBM maka parti itu akan ada 53 Ahli Parlimen yakni komponen terbesar dalam Pakatan Harapan. 

PKR kini adalah komponen terbesar dengan 49 kerusi Parlimen.
 
Apa agaknya reaksi Anwar pada ‘ hu ha’ beliau mungkin dipotong menerusi langkah PPBM ini?
 
Ditemui wartawan di lobi Parlimen Isnin,bos PKR yang baru menang kerusi Parlimen Port Dickson itu buat seolah tidak ambil pot pada spekulasi itu.
 
Anwar dengan wajah relaks kata tidak sesekali mencurigai perjanjian dan persefahaman yang telah dicapai dalam Pakatan Harapan berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Dr. Mahathir.
 
Beliau menyifatkan spekulasi kononnya desas-desus 40 Ahli Parlimen UMNO akan menyertai PPBM bakal menjadi penamat hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri kelapan sebagai tafsiran media sahaja.
 
“Ini semua bacaan dan tafsiran media seperti sesuatu helah yang besar, konspirasi berulang dari tahun 1998, itu tafsiran media. Saya tiada sebab untuk mencurigai perjanjian dan persefahaman di antara kita,” katanya.
 
Ditanya pula sama ada kehadiran ahli-ahli Parlimen UMNO ke dalam Pakatan Harapan memberi kesan baik kepada gabungan parti kerajaan itu, Anwar berkata perkara tersebut perlu dibincangkan.
 
“Seperti mana yang disebut oleh Dr. Mahathir, teliti tengok biar bebas (rasuah) dahulu dan bincang bersama,” katanya. - 29/10/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 405  tetamu dalam talian