07Julai2020

Agenda Daily

Anda berada di sini:Home

Artikel

RM350,000: Husam semakin terbelit...Kickdefella jemput pemimpin PAS datang rumahnya tengok bukti

husam-kickbaruIsu dakwaan Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa berii wang pampasan RM 350,000 kepada blogger [email protected] Azidi Syed Aziz seiras dengan isu video seks Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia bukan dakwaan kosong. Empunya diri yang membuat dakwaan itu sudah ke depan dan sanggup hadapi risiko disaman segala macam jika tidak betul.

Bezanya cuma trio Datuk T tampil sendiri membuat pendedahan terhadap Anwar manakala Syed Azidi pula terpaksa dedah untuk membersihkan namanya dari dakwaan lain yang dibuat oleh beberapa orang blogger terhadapnya.

Kedua-duanya melibatkan dua orang besar parti dan moral diri serta parti masing-masing.

Sama ada Husam menang atau kalah pemilihan Naib Presiden PAS, isu ini perlu ada jawapan yang pasti.

Ini berikutan dalam penafiannya Husam memberi bayangan ia ada kaitan dengan pemilihan PAS.

Dalam bahasa mudah ia cubaan untuk ‘ mandikan ‘ beliau  agar tewas dalam pertandingan enam penjuru jawatan itu.

Ini bukan soal seringgit dua atau RM1,000 tetapi RM350,000.

Duit sebanyak itu tidak mungkin jatuh dari langit ke dalam poket Kickdefella.

Yang pasti ia bukan duit pampasan dari Perbadanan  Menteri Kelantan (PMBK), bekas majikan Syed Azidi.

Dari cakap Syed Azizi bunyinya macam satu arrangement  peribadi – yakni wang itu diberikan kepadanya oleh orang tengah Husam.

Tak mungkin orang tengah itu murah hati sampai begitu tak tentu fasal nak bagi Syed Azidi RM350,000 tak bersebab.

Maka semua orang bertanya dari mana sumber wang itu?

Kalau fitnah buktikan ia fitnah. Kalau betul bagaimana?

Untuk rekod satu dunia tahu Husam yang bawa Syed Azidi bekerja di PMBK sebelum dia diberhentikan setelah membuat pendedahan mengenai CEO PMBK Ariffahmi Abdul Rahman yang juga menantu kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Syed Azidi pernah memberitahu media walaupun dia kakitangan PMBK tetapi lapor diri pada Husam.

Jadi apa reaksi Datuk Seri Haji Hadi Awang sendiri  terhadap isu ini?

Ditanya wartawan dalam sidang akhbar selepas merasmikan muktamar PAS di markas PAS di Taman Melewar, Gombak tengahari Jumaat, Presiden PAS itu mengambil sikap terbuka.

Kata PAS sebagai sebuah parti tidak ada kuasa menyiasat. Beliau menyerahkan hal itu ditentukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Baginya semua pemimpin parti itu mesti bersih.

"Walaupun exco, walaupun menteri besar sekalipun kalau tidak betul, kita pecat.  Dalam sejarah PAS (ada) kita pecat. Kita tidak mahu pelihara orang yang ada penyakit ini," katanya.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali yang ada sama dalam sidang akhbar itu mencelah bahawa hal itu tidak wujud. "Maksudnya yang menimbulkannya bukan kita, yang bertanya itu timbul. Kita respons sajalah. Kita tidak timbul sebab tak ada. Saya yang buat kenyataan dulu apabila ia berbangkit, dan tak ada. Tak wujud perkara itu," katanya.

Sementara itu isu ini nampakmya semakin panas apabila Syed Azidi menegaskan  dalam laman blotgnya Kickdefella beliau  sedia berdepan dengan tindakan undang-undang jika dakwaannya itu palsu.

“Suka saya merujuk kepada kenyataan YB Dato’ Haji Husam Musa di dalam HarakahDaily.

Dengan penuh rasa rendah diri dan insaf, saya memaklumkan bahawa saya bersedia berhadapan dengan apa-apa tindakan undang-undang dari Dato’ Husam sekiranya ada maklumat yang saya siarkan di dalam kenyataan media saya hari ini adalah palsu.

Saya juga bersedia untuk memohon maaf secara terbuka kepada Dato’ Husam dan keluarganya jika Dato’ Husam boleh tunjukkan di mana di dalam kenyataan media saya hari ini yang tidak betul.” katanya.

Malah dalam posting terbarunya Jumaat Syed Azidi  berkata pintu rumahnya  terbuka untuk pimpinan PAS datang dan melihat rakaman bukti-bukti bahawa dia tidak berbohong.


Berikut ialah tulisan penuh Syed Azidi:


Berbohong atau Tidak. Soalnya Siapa?

3 06 2011

Kenyataan YB Dato’ Haji Husam Musa terhadap penjelasan saya membawa kita ke lebaran baru. Ia bukan lagi soal pemberian wang tetapi siapa berbohong.

Pada awalnya pegawai khas Husam membuat kenyataan penafian dan membersihkan nama majikannya.

Husam membuat kenyataan penafian dan membersihkan namanya.

Kemudian saya juga membuat kenyataan penafian dan membersihkan nama saya.

Saya kemukakan bukti bahawa tidak berlaku perjumpaan di Republik Rakyat Cina. Saya juga memberi penjelasan yang jelas dan tepat bahawa saya tidak menerima wang untuk berkempen bagi pihak Husam. Tetapi saya tidak boleh menipu dengan berkata saya memang tidak menerima wang langsung dari Husam. Saya berpegang jika tiada angin masakan pohon bergoyang.

Husam melenting. Saya hairan. Di HarakahDaily, The Malaysian Insider dan di Malaysiakini saya digambarkan olehnya seolah-olah berbohong. “Bodohlah saya nak bagi duit pada dia…” antara kata-kata Husam.
Saya tidak mahu bercakap soal duit.

Husam juga menuduh seolah-olah saya membuat ‘pendedahan’ dalam tempoh 24 jam sebelum pemilihan pucuk pimpinan PAS dengan niat tertentu. Pelik.

Siapa yang memilih menimbulkan cerita ini begitu hampir dengan pemilihan itu?

Bukan saya.

Saya berdiam walaupun dicaci dan dimaki. Bukan Husam yang dicaci dan dimaki. Kenapa Husam tidak tanya kepada blogger-blogger yang menimbulkan isu ini 48 jam sebelum pemilihan, mengapa mereka memilih tempoh yang begitu hampir dengan pemilihan pucuk pimpinan PAS?

36 jam sebelum pemilihan Husam dan pegawainya memilih membersihkan nama mereka. Salahkan saya mengikut di belakang turut membersihkan nama saya?

Saya rakam segala kata-kata saya sepanjang sidang media tersebut dan Husam boleh memilih untuk mendengarnya. Saya boleh serahkan rakaman saya. Tiada sepatah pun saya memburukan Husam. Berkali-kali saya ditekan dan ditengking oleh seorang blogger supaya jelaskan dari mana sumber wang itu, saya berkali-kali menekankan bahawa saya tidak akan jawab soalan itu.

Saya diterkam dengan soalan-soalan yang berniat untuk memerangkap Husam. Saya teguh mengemudi soal pokok, tuduhan oleh blogger-blogger itu tidak tepat. Tiada ‘perjanjian syaitan’ antara Husam dan saya.
Soalnya siapa berbohong.

Saya tahu saya tidak berbohong. Pintu rumah saya terbuka untuk pimpinan PAS datang dan melihat rakaman bukti-bukti bahawa saya tidak berbohong. Bagaimanapun saya tidak berhasrat untuk menjadikan bukti-bukti itu sebagai tatapan umum. Itu dokumen peribadi. Ia juga melibatkan orang ketiga. Tetapi pintu rumah saya terbuka untuk tetamu dari PAS.

Bila-bila pun terbuka. - 3/6/2011


Blogger Kickdefella mengaku dapat RM350,000 cash dari orang tengah Husam Musa...duit mana tu?

husammusa-k513

Banyak duit Datuk Husam Musa!  Jika tidak... mustahil boleh bagi cash RM350,000 pada blogger Kickdefella @ Syed Azidi Syed Aziz sebagai pampasan selepas  ditamatkan perkhidmatan daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PBMK) akhir 2009. (KENYATAAN PENUH SYED AZIDI DI DALAM)

Sebelum ini, Syed Azidi pernah dedahkan bahawa Husam, Exco kerjaan Kelantan yang bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan di Muktamar PAS, Jumaat ini pernah beri RM4 juta sebagai propaganda Ops Perang Saraf menjelang PRU ke 12 bagi menjatuhkan imej Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri ketika itu.

Pendedahan bahawa Husam membayar RM350,000 dibuat Syed Azidi ketika menjawab tulisan beberapa blog yang mendakwa Husam membayarnya RM300,000 supaya membantunya berkempen memenangi jawatan Naib Presiden PAS.

“Saya menerima wang itu melalui orang tengah Husam antara akhir 2009 hingga awal 2010 beberapa bulan selepas saya diberhentikan dari PBMK,” ujarnya katanya dalam pertemuan dengan media di Kuala Lumpur Khamis.

Bayaran itu dibuat beberapa kali dalam tempoh tersebut.

Menurut Syed Azidi  RM50,000 adalah bayaran beberapa kos tertunggak ketika bertugas dengan Husam dan PMBK manakala RM300 ribu lagi sebagai ‘pampasan’ diberhentikan kerja.

alt

Beliau menafikan kononnya Husam jolok RM300,000 ribu untuk membantu kempen pemilihan PAS.

Malah Kickdefella turut menjelaskan, beliau tidak berada atau mengikut Husam ke Cina bagi ‘rundingan’ tersebut seperti didakwa dalam blog.

Menurut Syed Azidi kali terakhir beliau ke China pada 17 Disember 2009.

“Saya tak ada jam omega untuk tunjuk tapi saya ada pasport sebagai bukti saya tidak ke Cina bertemu Husam baru-baru ini,” ujarnya berseloroh sambil menunjukkan pasport miliknya.

alt

Ditanya, siapa Azman Bukit Marak yang dikatakan ‘banker’ Husam dan orang yang menyerahkan duit itu, Syed Azidi enggan menjawab.

“Saya tak mahu heret sama orang tengah ini. Mungkin nama dia lain dan yang saya kenal lain. Saya tak kenal dia sebagai Azman,” jelas beliau.

Beliau meminta wartawan dan blogger yang hadir bertanya Husam sendiri di mana beliau memperolehi wang tunai sebanyak itu.

“Elok Husam jawab,” katanya.

Walaupun sesetengah pihak melihat beliau berseteru dengan Husam namun Syed Azidi mengaku bahawa Husam yang dikenali secara peribadi amat istimewa.

“Kalau dia minta saya bantu, saya akan bantu tanpa sebarang bayaran,” ujar beliau. 

Beliau percaya cerita terima RM300,000 ribu digunakan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Syed Azidi berkata, hanya beliau dan mereka yang rapat dengan Husam saja tahu cerita pasal RM350,000 ini.

Ditanya sama ada Husam ada menghubunginya selepas cerita ini timbul, Syed Azidi berkata, “Isu peribadi...tak perlu ditimbulkan,”.

Paling menarik belau juga enggan jawab soalan apakah Husam pemimpin bermuka-muka kerana dalam isu Ariffahmi Abdul Rahman  dan PMBK serta pemberhentikan beliau, Husam dilihat menyokong Datuk Nik Aziz Nik Mat dan menantunya itu tetapi dalam masa sama memberikan RM350,000 kepadanya.
 
Katanya, beliau percaya Husam berdiri di belakangnya dalam isu PMBK.
 
Syed Azidi menjelaskan, beliau akan terus memblog untuk kepentingan rakyat dan bukan menyokong mana-mana pihak.-2/6/2011- OLEH ROSLAN BIAN


KENYATAAN PENUH SYED AZIDI YANG DISIARKAN DI BLOGNYA KICKDEFELLA.WORDPRESS.COM


alt

“I have long feared that my sins would return to visit me… and the cost is more than I can bear” – Benjamin Martin dari filem The Patriot.

Sejak 1hb Jun 2011, terdapat berita-berita yang tidak tepat telah disiarkan oleh beberapa laman blog di internet serta mencabar saya untuk tampil dan memberi pengakuan. Saya cuba untuk bertahan dan tidak memberi sebarang kenyataan kerana saya tidak mahu terbabit di dalam sebarang permainan politik terutama menjelang pemilihan pucuk pimpinan Parti Islam SeMalaysia, esok.

Semalam, sahabat saya saudara Kamarulzaman Bin Abdullah telah membuat penafian di The Malaysian Insider bagi pihak majikannya. Pagi ini YB Dato’ Haji Husam Bin Musa sendiri telah membuat penafian dari India.

Oleh yang demikian saya merasakan ini adalah isyarat bagi saya turut membersihkan nama baik keluarga dan saya yang sedikit sebanyak tercemar akibat tulisan-tulisan tersebut.

Dakwaan bahawa saya telah bertemu dan menerima wang sejumlah RM300,000 di Republik Rakyat China daripada YB Dato’ Haji Husam baru-baru ini adalah tidak tepat.

Semenjak 9 November 2009, Dato’ Husam dan saya tidak pernah bertemu, melainkan berbual di telefon dan bertukar-tukar pesanan ringkas. Pada 10hb Novermber 2009, kontrak saya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan telah ditamatkan dan semenjak itu saya tidak lagi berkhidmat secara rasmi dengan Dato’ Husam.

Pada 18hb November 2009, saya telah bertemu dengan seorang individu yang mewakili pihak Dato’ Husam. Persoalan pampasan untuk saya telah dibincangkan. Saya memohon pihak Dato’ Husam menjelaskan berberapa kos tertunggak yang berjumlah RM50,000.

Tengahari tersebut, saya dimaklumkan oleh individu itu bahawa Dato’ Husam bersetuju untuk menyelesaikan kos tertunggak itu. Saya juga ditanya sekiranya saya bersetuju dengan pampasan berjumlah RM300,000. Dengan rasa bersyukur saya bersetuju.

Pada 15hb Disember 2009 saya berlepas ke Singapura dan terus ke Republik Rakyat China di atas urusan penggambaran. Saya pulang ke Singapura pada 22hb Disember 2009. Itu adalah kunjungan terakhir saya ke Republik Rakyat China hingga ke hari ini.

Saya yakin, maklumat inilah yang telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu dan diolah menjadi satu cerita hebat untuk disalurkan kepada sahabat-sahabat siber saya, kononnya saya bertemu Dato’ Husam di Republik Rakyat China dan traksaksi dibuat di sana; kononnya pada minggu lepas.

Mereka yang menyalurkan maklumat ini adalah amat tidak bertangunggjawab dan dari sumber yang saya terima, ianya datang dari seorang individu dari luar Kelantan yang berkait rapat dengan seorang calon yang bertanding bersama Dato’ Husam bagi merebut jawatan Naib Presiden PAS.

Saya tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan terhadap sahabat-sahabat siber saya. Saya juga tidak akan memohon mereka meminta maaf kepada saya. Sebagai seorang blogger, saya sentiasa sedar cabaran yang kita hadapi.

Syed Azidi Syed Abdul Aziz

Kickdefella

2hb Jun 2011


Isu RM300,000 Husam-Kickdefella: Siapa nak jawab?

Ini kes berat. Nampaknya Syed Azidi Syed Aziz @ blogger Kickdefella tidak ada pilihan kecuali tampil segera untuk memberi penjelasan mengenai riuh rendah dalam laman-laman blog kebelakangan ini.

Hairan juga...tetapi dalam politik ni apa pun boleh jadi.

Isunya di sini ialah ada orang kanan Datuk Husam Musa didakwa sudah jolok RM300,000 kepada Kickdefella untuk membantunya dalam persaingan jawatan Naib Presiden PAS yang sengit.

Ada laman blog secara terbuka mendakwa urusan kowteam tu berlangsung di China baru-baru ini. Jauh tu. Kenapa sampai ke China?

RM300,000...banyak tu.

Syed Azidi yang mengendalikan laman blog http://kickdefella.wordpress.com ialah bekas orang kanan Husam. Dia pernah dibawa Husam bekerja di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Bagaimanapun Syed Azidi terpelanting  apabila membuat pendedahan mengenai CEO PMBK, Arifahmi Abdul Rahman yakni menantu Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Semua orang tahu lanjutan itu Arifahmi terpaksa melepaskan jawatan itu ekoran desakan pimpinan PAS Pusat sekalipun Nik Aziz asalnya cuba mempertahankannya.

Ekoran itu juga hubungan Husam dan Syed Azidi dikatakan hancur.


alt

Jadi apabila timbul desas desus mereka berdua kowteam balik menjelang pemilihan PAS ni ramai yang tertanya-tanya.

Malah ia juga menjadi gosip hangat di kalangan orang PAS sendiri sejak hal berkenaan dibangkitkan oleh laman-laman blog.

“Ini bunyi macam Husam desperate sangat nak menang jawatan Naib Presiden,” kata satu sumber PAS yang mengaku dia juga nak tahu apa kisah sebenar di sebalik cerita ini.

Selain Husam persaingan jawatan itu disertai oleh Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub yang mempertahankan jawatan itu serta Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad; AJK Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah

Namun sumber itu tidak hairan jika hal ini benar berlaku kerana Husam memang cukup teliti dalam merangka strategi  apabila nak mengharungi langkah politik begini.

Dakwanya Husam lebih percaya ‘orang luar’ dalam urusan seperti ini daripada  orang dalam’.

“Tak hairanlah.Husam juga dikenali antara mereka dalam parti yang ‘ berduit’,”katanya.

Lagipun lojiknya kalau Husam tidak menang jawatan Naib Presiden ini beliau boleh terpinggir dari arus perdana politik PAS.

Sumber itu tidak pasti sama ada Husam berani tampil menjelaskan hal ini atau tidak.

Namun katanya Syed Azidi selaku penulis perlu membersihkan namanya dalam hal yang serius seperti ini.

“Bagi kami betul ke tak betul dia kena bagi kenyataan,”kata sumber itu lagi.-1/6/2011


Salah satu laman blog : - http://ruangbicarafaisal.blogspot.com antaranya menulis :

RM300,000: Lima soalan untuk Kickdefella


Sebelum ini saya pernah terdengar tentang Syeikh Kickdefella menerima bayaran sebanyak RM 300 ribu dari orang Husam. Saya cuba juga risik sana-sini tapi tiada siapa yang boleh mengesahkannya.

Malam tadi perkara berkenaan mula kecoh di twitter dan facebook. Kalau dah kecoh, mungkinlah itu semua ada asasnya.

Saya tak nak cakap banyak, saya hanya nak tanya kepada Sheikh Kickdefella 5 soalan sepertimana soalan Datuk Eskay kepada Anwar yang ditanya melalui blog Sheikh.

Benarkah semasa PRN Sarawak, Husam telah menghantar orang tengahnya berjumpa Kickdefella ?

Benarkah Kickdefella bertemu dengan Husam di China bagi merancang strategi untuk kemenangan Husam dalam pemilihan Pas kali ini ?

Benarkah Kickdefella pernah menerima duit dari Husam sebanyak RM 300 ribu ?

Benarkah wang diberi melalui 'banker' Husam yang bernama Azman Bukit Marak ? Sini

Arah manakah kiblat politik Kickdefella sebenarnya ?

Semoga Kickdefella jawab semua seolan ini dan nyatakan secara jujur kepada semua pembaca-pembaca blog di tahap manakah sebenarnya hubungannya dengan Husam. 
 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 414  tetamu dalam talian