27Februari2021

Agenda Daily

Kalimah Allah :Dilema Hadi dan Khalid...

khalid-hadiKEMASKINI: Nasib dua pemimpin besar pakatan PAS-PKR-DAP ini nampaknya hampir sama.Bukan sahaja Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetapi Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga nampak haru biru berdepan isu kalimah Allah.

Ada cerdik pandai berkata, dalam hidup, mustahil boleh dapat segala-galanya.

Begitu jugalah nasib Hadi dan Khalid yang terpaksa meranduk duri dalam isu yang mencetuskan rasa kecewa dan marah dikalangan ramai orang Islam di negara ini.

Kini sudah termaktub dalam hitam putih pakatan pembangkang sepakat menyatakan kalimah Allah boleh digunakan penganut agama lain.

Bayangkan Hadi sendiri mewakili parti yang mendakwa memperjuangkan Islam 'ditolak' ke depan membacakan kenyataan pendirian  itu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang duduki disisinya dalam sidang media mereka, Selasa.

Dan di situ juga Anwar seolah-olah memperkecilkan pendirian dan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui kenyataan dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bahawa kalimah Allah eksklusif bagi umat Islam.

Ketua Pembangkang itu meremehkan pendirian tersebut dengan memberi gambaran seolah-olah MAIS tiada kaitan dengan kerajaan Selangor pimpinan PKR.

Dalam situasi itu sudah tentu Khalid tersepit antara patuh titah Sultan atau akur pendirian parti berhubung isu itu.

Namun, berdasarkan kenyataan Khalid pada sidang medianya Rabu, Selangor akur dengan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata penggunaan kalimah Allah itu mengikut kepada ketetapan yang telah difatwakan dan diwartakan oleh kerajaan negeri pada 18 Februari 2010.

"Mengikut warta kerajaan, lafaz kalimah Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama serta umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam yang lain.

"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat," katanya.

Bagaimanapun, dalam pada itu, Khalid seperti tidak ikhlas dengan perakuan itu apabila mengaitkan soal lagu negeri Selangor yang mengandungi kalimah Allah dan turut dinyanyikan golongan buikan Islam.

Khalid sebenarnya mungkin tidak faham atau tidak tahu, bahawa selama ini jika lagu negeri malah NegaraKu dinyanyikan, ada menyanyikannya dan ada pula menghormati dengan bangun atau berdiri tegak.

Ini sama juga dalam program atau majlis apabila ada bacaan doa.

Mereka beragama Islam akan menadah tangan dan mengaminkan manakala bukan Islam diam menghormati doa yang dibacakan.

Tindakan Khalid cuba mengaitkan lagu negeri Selangor seolah-olah mahu menggambarkan, senikata lagu itu juga salah kerana ada Kalimah Allah.

Apapun Menteri Besar Selangor itu enggan mengulas kenyataan Anwar dan keputusan pakatan pembangkang tentang isu itu.

Sendiri mau ingat...kenapa beliau tidak berani buka mulut bab itu.

Manakala Hadi pula lebih tersepit apabila isu itu mendapat tentangan bukan sahaja daripada Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, KetuaPenerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man malah Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib menegaskan parti itu tidak akan bersetuju dengan sebarang cubaan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Harun berkata, walaupun penggunaan kalimah Allah dibolehkan untuk bukan Islam namun kalimah suci itu tidak boleh menjadi sebahagian daripada Bible versi bahasa Melayu.

"(Penggunaan kalimah Allah) bukan tak boleh diguna pakai (oleh penganut Kristian tetapi), saya rujuk kepada kenyataan Lim Guan Eng nak pakai dalam kitab Bible, nak tukar kalimah 'God' kepada kalimah
Allah yang itu saya tak setuju,” katanya.

Katanya, Dewan Syura Ulama PAS akan bermesyuarat Sabtu ini untuk mengupas isu berkenaan.

Harun berkata, beliau akan membuat kenyataan lanjut selepas mesyuarat berkenaan.

"Saya tak akan buat komen baru kecuali lepas mesyuarat (Majlis Syura),sebelum mesyuarat saya tak komen. Komen (saya) yang lalu masih kekal,”kata beliau.

Bulan lalu, Harun berkata penggunaan kalimah Allah khusus untuk Islam dan seluruh umatnya sahaja.

“Agama lain termasuk Kristian tidak berhak sama sekali menggunakan kalimah suci itu, apatah lagi untuk diguna pakai dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu,” katanya.

Apakah Dewan Ulama akan ubah pendirian selepas mesyuarat Sabtu nanti?

Kalau mengikut perkembangan setakat ini belum nampak lagi kemungkinan itu.

Ketika beban isu Amanat Hadi masih jadi bahan bualan ramai,Presiden PAS itu mungkin boleh ajak Khalid sembang-sembang tentang dilema ini bagaimana hendak keluar dari kontroversi isu kalimah Allah yang dicetuskan oleh rakan politik mereka yakni Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menerusi perutusan Hari Krismas baru ini.-10/1/2013- OLEH ROSLAN BIAN


Kalimah Allah: Khalid akur titah Sultan Selangor...tak mau komen keputusan parti

Menteri Besar Selangor ,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim nampak jem habis dalam isu kalimah Allah.

Beliau berada dipersimpangan antara keputusan bos-bos PKR-PAS-DAP Isnin yang  bersetuju orang bukan Islam dibenarkan menggunakan kalimah Allah dan Selasa titah Sultan Selangor yang tegas tidak benarkannya.

Soalan wartawan mudah saja semasa sidang di Shah Alam Rabu.Apa komen beliau tentang keputusan mesyuarat pakatan pembangkang mengenainya yang turut disertai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalid mengambil jalan selamat.Beliau enggan mengulas.

"Di Selangor, kalimah Allah dijaga di bawah Enakmen Kerajaan Negeri supaya tiada unsur penghinaan dan penyalahgunaan berlaku dan kita mengikut apa yang telah kita wartakan," katanya.

Pada sidang akhbar berkenaan beliau memberitahu Selangor akur dengan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang  tidak benarkan sama sekali kalimah Allah digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam lain seperti diwartakan pada 18 Februari 2010..

Katanya penggunaan kalimah Allah itu mengikut kepada tetapan yang telah difatwakan dan diwartakan oleh kerajaan negeri.

"Mengikut warta kerajaan, lafaz kalimah Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama serta umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam yang lain.

"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat," katanya.

Sebarang komennya mengenai keputusan bos-bos politiknya mengenai isu itu tentu menarik untuk diketahui kerana semasa sidang akhbar pengumuman keputusan dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang...Anwar telah mempertikaikan titah Sultan Selangor yang dikeluarkan menerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Katanya MAIS merupakan badan bebas dan kenyataan MAIS tidak semestinya mewakili kerajaan negeri.

Isu kalimah Allah hangat semula bila Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Krismas menggesa kerajaan pusat membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Berikutan gesaan itu, Sultan Selangor Selasa mengeluarkan titah baginda yang berkenaan melalui Setiausaha melalui Setiausaha  MAIS ,Datuk Mohd Misri Idris.

Sultan Selangor turut menitahkan MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada orang bukan Islam atau di kalangan orang Islam sekalipun yang masih mempersoal atau memperlekeh fatwa yang telah dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada di Selangor.-9/1/2013


Isu kalimah Allah... Sultan Selangor bersuara

sultan-selangor513

Setelah isu kalimah Allah oleh bukan Islam berlarutan sejak dibangkitkan dalam perutusan Krismas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng 24 Dis lalu, hari ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersuara.

Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tuanku Sultan terkejut dan menzahirkan rasa kesal dengan kenyataan Guan Eng sebelum ini iaitu mendesak kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan di dalam kitab Bible bahasa Melayu. Kenyataan yang dibacakan oleh Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor Datuk Mohd Misri Idris itu berkata Tuanku Sultan telah mewartakan bahawa orang bukan Islam di negeri ini dilarang menggunakan kalimah Allah bagi merujud tuhan kerana ia merupakan eksklusif untuk Muslim.

"Sultan Selangor dalam satu mesyuarat khas yang turut disertai Mufti Selangor pada Ahad lalu menegaskan semula bahawa kalimah berkenaan hanya boleh digunakan boleh umat Islam.

"Kalimah Allah tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam yang lain sebagaimana yang telah difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010", kata Mohd Misri.

Menurutnya, sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, Tuanku Sultan kesal kerana titah beliau yang digazetkan pada 18 Feb 2010 berkaitan dengan isu yang sama dipandang ringan oleh 'sesetengah pihak'.

“Namun Tuanku amat kesal kerana titah Baginda tersebut telah dipandang ringan oleh sesetengah sehingga isu yang sama dibangkitkan semula,” katanya.

"Tuanku telah mengeluarkan arahan kepada Mais dan Jais agar memgambil tindakan terhadap orang Islam atau bukan yang masih mempersoalakan atau engkar fatwa yang diwartakan di Selangor,".

Seksyen 9 dalam enakmen Agama Bukan Islam (mencegah penyebaran di kalangan orang Islam) 1988 menghalang kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam dalam apa keadaan juga.

"Sultan juga mengarahkan golongan bukan Islam jangan campur tangan di dalam persoalan berkaitan Islam bagi mengelakkan salah faham di dalam masyarakat di negara ini,".

Di akhirnya titahnya Sultan Selangor meminta semua pihak tidak mempergunakan Islam untuk meraih laba politik.

Polemik penggunaan kalimah Allah timbul kembali apabila Guan Eng dalam perutusan Krismasnya pada 24 Disember lalu menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.-8/1/2013

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 349  tetamu dalam talian