24Mei2020

Agenda Daily

Isu cadangan Zahid bercuti…Apakah UMNO terlalu baik…?

Sejak petang Khamis isu kenyataan Pemuda UMNO Malaysia meminta agar Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi agar pertimbangan bercuti sementara kes mahkamah beliau selesai terus membara khususnya di media sosial.
 
Kalau rajin selak satu persatu komentar termasuk kalangan ahli dan pimpinan UMNO jelas ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi selepas mesyuarat Exco pergerakan itu.
 
Beliau kena hentam sakan kiri kanan depan belakang kerana membuat kenyataan itu.
 
Kemuncaknya ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam telah mencabar Asyraf  agar meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda agar beliau boleh mencabarnya dalam pemilihan semula.
 
"Ketua Pemuda UMNO sepatutnya menjadi kepala dalam memperjuang nasib rakyat...Dalam mempertahankan agama Islam, hak Melayu, bahasa Melayu dan Yang di-Pertuan Agong.
 
"Tetapi malangnya ketika presiden kita ditindas dan ditekan oleh Mahathir, kita pula menjadi bangsat dan meminta presiden untuk bercuti. Agenda siapa ini, Asyraf?" katanya.
 
Selain beliau Ketua Wanita UMNO Datuk Noraini Ahmad juga tampil meminta ahli UMNO kekal solidariti bersama Zahid.
 
“Semua pihak harus menunjukkan solidariti di saat UMNO dan pemimpinnya sedang diuji,”katanya.
 
Noraini berpendapat semua ahli juga mesti berfikiran positif dan bersikap rasional dalam apa juga keadaan.
 
“Ini termasuklah dalam isu memberi layanan adil sejajar dengan prinsip 'innocent until proven guilty' kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
 
“Jangan sampai fokus dan tumpuan kita ke arah memulih dan memperkasakan semula parti keramat ini terjejas dan teralih susulan penangkapan dan pendakwaan ke atas Presiden parti,”katanya.
 
Asyraf dan Pemuda UMNO pimpinan beliau tentu mempunyai sebab tersendiri merasa Zahid perlu bercuti dari jawatan sementara.
 
Sekalipun tidak menyebutnya secara jelas ia dipercayai tidak mahu UMNO sebagai sebuah parti terpalit dengan kes Zahid di mahkamah.
 
Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu atas 45 pertuduhan melibatkan 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.
 
"Tidak adil bebankan Ahmad Zahid dalam keadaan UMNO terus bergerak ke hadapan. Berehat bukan bukti dia bersalah atau lepaskan jawatan," kata Asyraf.
 
Sebaliknya kalangan yang menentang pendirian Pemuda UMNO itu mempunyai sebab yang kukuh untuk merasa pendirian pergerakan itu ‘ tidak boleh pakai’.
 
Ini kierana ada terlalu banyak fakta di depan mata untuk dijadikan bahan perbahasan untuk menangkis cadangan Pemuda UMNO itu.
 
Sejarah sudah membuktikan parti parti seperti DAP dan PKR semasa jadi pembangkiang dulu tidak pernah peduli apa jua dakwaan atau kes mahkamah yang dihadapkan pada ahli dan pemimpin mereka.
 
PAS juga dari dulu sampai sekarang terus berdiri teguh dengan pimpinan mereka dalam keadaan sudah dan senang.
 
Contoh terbaru ialah Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng terus goyang kaki pegang jawatan sekalipun berdepan dengan kes rasuah dan salahguna kuasa isu banglo dan tanah.
 
Malah SPRM sendiri kata terkejut bila kes mahkamah beliau digugurkan begitu sahaja.
 
Sebelum itu tidak pernah terdengar sebutir pun kalangan ahli dan pimpinan DAP mendesak Guan Eng bercuti dulu sehingga kesnya selesai.
 
Dalam PKR pula siapa pernah dengar ahli dan pimpinan PKR desak Datuk Seri Anwar Ibrahim bercuti semasa isu kes liwat pertama dan kedua di mahkamah sehingga beliau dipenjarakan.
 
Solidariti mereka terus bersama Anwar sekalipun beliau berada di dalam penjara.
 
Ingat balik semasa kehangatan isu klip video ‘China Doll’ yang papar aksi pelaku yang didakwa seiras Anwar,Pemuda PKR telah buat kecoh ‘ gempur’ sumpah laknat dibuat oleh  kumpulan ‘Datuk T’ di sebuah masjid di Sentul untuk mempertahankan dakwaan mereka.
 
Mereka bertindak mempertahan Anwar sekalipun pemeriksaan forensik oleh polis dapati video berkenaan adalah 99 peratus tulin.
 
PAS pula tidak layan langsung kes dakwaan video seks yang didakwa libatkan bekas Setiausaha Agung Datuk Mustapha Ali tidak lama dulu.
 
Mat Sabu bekas Timbalan Presiden PAS yang kini pimpin parti Amanah juga pernah selamat dalam isu dakwaan skandal dengan seorang wanita di sebuah hotel di Kota Bharu dan isu dakwaan rakaman perbualan telefon ‘panas’ dengan wanita berkenaan.
 
Ini kerana pimpinan PAS waktu itu telah mempertahankan beliau.
 
Isu penyebaran gambar Menteri Pertahanan ituu dengan seorang wanita muda sebelum pilihanraya umum ke 14 juga senyap begitu sahaja dan tidak ada ahli Amanah yang persoalkan.
 
Sebenarnya ada banyak lagi contoh bagaimana parti parti ini 'buat tidak faham' tidak peduli langsung dakwaan pihak lain terhadap ahli dan pimpinan mereka.
 
Mengambil kira ini semua ada yang bertanya apakah UMNO ini terlalu baik sangat kena patuh dan berdisplin totok dan tidak berani hendak melawan persepsi ?
 
Kes Zahid masih belum dibicarakan dan beliau juga belum didapati bersalah.
 
Lagipun melihat pada tekanan demi tekanan menerusi pelbagai siasatan dan pendakwaan keatas pimpinan yang UMNO hadapi sejak kalah PRU14 siapa pun patut merasa ini bukan masanya untuk lemah semangat.
 
Bukankah elok tunggu sehingga isu ini dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang akan diadakan pada November ini.
 
Majlis Tertinggi UMNO ialah medan terbaik isu ini dibincangkan dan apa jua keputusan nanti ia perlu dihormati kerana ia merupakan keputusan rasmi parti.
 
Polimek tidak terkawal berkaitan cadangan Presiden bercuti ini sudah tentu akan membuka ruang pada perpecahan ketika parti sedang berusaha untuk bangkit semula.
 
Dalam mana mana parti pergerakan Pemuda selalu dianggap sebagai benteng yang menjadi barisan depan untuk berentap dengan sebarang cabaran.
 
Apa cerita...kalau awal awal lagi sudah angkat bendera putih? – 26/10/2018
 
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 774  tetamu dalam talian